Razzi Armansur

Angguk-angguk bukan semestinya setuju

Dua hari lepas, berbincanglah dengan seorang sahabat yang baru dikenali. Saya suka kawan baru ini kerana semasa perbincangan sentiasa dia menyebut, “Tak semestinya apa yang saya kata ini betul. Harap dapat cari sumber lain untuk mengesahkan.” Ini jauh berbeza dari sebahagian kawan-kawan saya yang mana dalam perbincangan banyak sekali menyebut fakta yang salah, rekaan dan sentiasa ‘hendak di atas’ dan ‘sentiasa hendak mengatasi dan lebih’.

Paling menyakitkan hati ialah apabila dalam perbincangan seseorang itu sentiasa mengangguk tetapi mengangguk itu tabiat, bukan mengiakan pendapat kita. Tak percaya? Tanya kembali apa yang telah kita perkatakan, pasti tidak tepat sebab semasa mengangguk-angguk itu fikirannya tengah melayang jauh hendak mencari “apa yang akan saya perkatakan selepas ini.” Itulah kesilapan besar dalam perbincangan.

Suatu masa dulu, seseorang pernah mengajar saya (dia seorang penyanyi tahun 80-an, yang berpendidikan, namanya Sham) tentang perbincangan. Amat mudah untuk dilaksanakan. Perbincangan, sembang bermanfaat adalah seperti permainan takraw, menurut penyanyi yang pernah berduet dengan Datin Rafeah Buang itu. Mudah saja. Sentiasa waspada dengan apa yang pihak lawan sepak. Tumpu, beri perhatian. Biarkan dia menyepak, barulah kita menyambut. Ada masa menyepak dan ada masa menyambut. Giliran kita menyepak akan sampai juga. Ikut giliran. Masa lawan menyepak, kita beri perhatian kerana giliran kita menyepak belum sampai. Takkan semasa lawan kita sedang menyepak, kita pun sedang menyepak sama. Apa yang akan disepak? Bola takraw satu sahaja. Begitulah permainan sentiasa selesai. Takkan semasa bermain berhenti pula sebab nak menyabit rumput. Begitu juga dalam perbincangan, jangan berpindah ke topik lain selagi belum selesai, jangan lompat parti seperti di Perak… errrr… jangan lompat topik kecuali topik tersebut sudah dibincangkan dan selesai.

Paling, amat dihindari dalam perbualan, perbincangan ialah menyebut, “Dia gini…” Ini kebencian semua orang. Seolah-olah dia sahajalah yang betul, sentiasa di atas dan kita hendaklah mendengar cakapnya sekalipun kata-katanya itu hanya rekaan. Mesti setuju dengan cakap-cakapnya. Perhatikan dengan lebih dekat — anda tidak akan mendengar, “Dia gini…” dari orang yang bijak, tetapi akan kerap mendengar dari orang yang memandai dan bercakap bukan berdasarkan fakta.

Masih lagi dalam permainan takraw. Tanyalah mereka yang bermain apa saja permainan berpasukan seperti bola, takraw, badminton, tenis dan sebagainya. Jawapan mereka adalah sama — setiap sepakan, pukulan, tendangan pihak lawan adalah amat penting, sama penting dengan setiap sepakan, tendangan, pukulan kita sendiri. Kerana penting, ia diberi perhatian yang amat serius. Kerana ia penting, tidak mungkin kita hanya angguk-angguk semasa pihak lawan membuat sepakan. Setiap sepakan, tendangan, pukulan adalah bersebab dan bertujuan, bukan saja-saja. Ia penting, tetapi adakah kita melihat kepentingannya? Selalunya kita hanya memikirkan kepentingan sepakan, tendangan dan pukulan kita sendiri. Jurulatih yang bijak akan menekankan bagaimana supaya jangan hanya memikirkan kepentingan sepakan sendiri, bahkan sepakan pihak lawan juga amat penting.

Memang mudah tetapi amat jarang yang melaksanakan. Perbincangan adalah seni dan sains. Dalam sebuah buku psikologi menyebut — 90% manusia di kalangan kita tidak memberi perhatian apabila orang lain bercakap dalam perbincangan. Mengapa? Kerana perhatian itu digantikan dengan sibuk memikirkan, mencari-cari apa yang hendak dikatakan selepas ini. Kerana itulah sering terjadi memotong cakap, angguk-angguk tetapi tidak tahu apa yang diangguk. Sama seperti orang yang tidur semasa khutbah dibacakan, angguk-angguk kerana hendak ‘cover’ tidurnya. Kita sangkakan angguk-angguk itu untuk mengiakan, menyetujui khutbah, rupanya untuk menutupi tidurnya. Atau angguk-angguk itu supaya tidak terus terlelap dan terjatuh. Nampaknya kena reka peribahasa baru

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.