Razzi Armansur

Sangka baik? Mengapa penipu semakin galak menipu?

Mengapa penipu semakin galak menipu adalah kerana ‘bersangka baik’ sesama manusia. Penipu akan terus menipu selagi ada yang rela ditipu. Menjadi rela ditipu kerana percaya dengan istilah ‘bersangka baik’. Jangan sangka baik.

Jadi adakah kita dilarang bersangka baik? Tidak sama sekali. Kita boleh bersangka baik hanya pada Allah, Rasulnya dan Para Sahabat.

Waspada dan berhati-hati sejuta kali lebih baik dari bersangka baik pada manusia zaman sekarang, bahkan pada manusia zaman dulu.

PENIPU DISANGKA BAIK
Kerana bersangka baik, pada zaman Rasulullah SAW masih hidup lagi, ramailah pengikut Nabi palsu bernama Musailamah al-Kadzab (Musailamah Si Penipu). Orangnya berpersonaliti tinggi, bijak tutur kata, menyebabkan ramai bersangka baik padanya, dan menjadi pengikut si penipu ini.

Dikatakan ramai pengikut bersebab dia dipercayai dan bersangka baik, si penipu ini, setelah kewafatan Rasulullah SAW, berani melancarkan perang kepada Abu Bakar, khalifah pertama.

Kalaulah tidak ramai pengikut dan kecil saja pasukannya, tentu tidak berani melancarkan perang pada Abu Bakar, yang dikenali sebagai peperangan Yamamah.

Pada sekitar tahun 40 Hijrah, muncullah hadis palsu. Selepas dari itu semakin bertambah-tambah banyak hadis palsu. Bahkan pada zaman Tabiin (antara tahun 1 hijrah hingga tahun 300 hijrah) berleluasalah pengeluaran hadis-hadis palsu.

Melihat pada ketokohan mereka, ‘orang agama’ ini memang sukar untuk tidak mempercayai, sebaliknya terlalu mudah untuk bersangka baik, diiringi dengan fatwa ciptaan sendiri, “Takkanlah.”

KENAPA ‘ORANG AGAMA’ DIPERCAYAI
Jadinya, adakah dengan berperwatakan ‘orang agama’ sahaja, setiap kata-katanya terus dipercayai kerana bersangka baik?

Jika itulah sebabnya, maka tak hairanlah begitu ramai yang terpedaya, hanya kerana melihat pada pemakaian dan perawakan, sambil beranggapan, “Takkanlah…”

Jikalau pada zaman ini, ‘orang agama’ ini lebih lagi dipercayai, disanjung dan sudah tentu disangka baik. Bagaimana gambaran ‘orang agama’ itu? Celaknya, serbannya, janggutnya, jubahnya berlapis-lapis — berlebih-lebihan. Ditambah pula dengan meletakkan Syeikh, Habib, Ustaz di depan nama dan beberapa ‘al’ di belakang nama.

Dengan serta-merta orang berpenampilan begini terus digelar ‘ulama’. Jikalau tidak ada imam solat, orang berperwatakan begini terus dipersilakan dengan penuh penghormatan untuk menjadi imam solat.

Atau tanpa penampilan ‘orang agama’, tutur katanya lembut dan sentiasa dikaitkan dengan ‘agama’ dan hadis (tak diketahui hadis sahih atau palsu) — orang-orang begini sentiasa disangka baik kerana wujudnya satu ‘sokongan’ dalam hati berbunyi, “Takkanlah…”

WASPADA, BUKAN BERSANGKA BURUK
Jadi, bagaimana supaya tidak tertipu, terpedaya? Perlukah sebaliknya, ‘Bersangka buruk’? Hanya perlu sentiasa waspada supaya tidak akan terpedaya, tertipu, lebih-lebih lagi pada mereka yang terlalu menonjolkan ‘simbol-simbol agama’.

Agama Islam tidak pernah diasaskan, ditegakkan melalui simbol-simbol. Apatah lagi terlalu diketengahkan dan terlalu ditonjolkan. Islam ditegakkan melalui akidah dan akhlak. “Jikalau melebih-lebih ada kekurangan yang sedang ditutupi.”

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.