Kudin (nama sebenar) pulang dari merantau dengan bergaya sekali, menunggangi kereta kuda yang cantik sekali. Bertahun merantau mencari kekayaan akhirnya berjaya mencapai impiannya.
Ayam-ayam yang selalu berkumpul di halaman rumah bertempiaran lari bersembunyi, sebaik saja melihat Kudin yang pulang dengan penampilan ‘orang kaya’ itu.
Sampai di tempat yang agak selamat, bapak ayam berpesan kepada anak-anak buahnya, “Kudin dah jadi orang kaya, pasti akan ada kenduri besar-besaran menyambutnya. Kalau ada kenduri, siapa yang akan jadi mangsa? Jadi, menyorok!”
Dua tahun kemudian Kudin balik kampung lagi, kali ini dengan mengunggang kuda. Ayam-ayam yang di laman serta-merta lesap, tetapi tidaklah sejauh dulu menyorok. Antara waspada dengan selamba. Bapak ayam pun tidak pesan apa-apa.
Setahun kemudian, Kudin balik semula ke kampung dengan berjalan kaki. Ayam-ayam yang setiap hari berkerumun di laman rumah tetap di situ, tidak ke mana. Selamba sahaja. Bahkan ada yang berak di kaki Kudin.
Malam itu bapak ayam menjadi ‘Tifu’ mengadakan seminar motivasi untuk anak buahnya yang ramai, “Jangan menunjuk-nunjuk mempunyai wang; jangan menunjuk-nunjuk tidak mempunyai wang. Dan… ini penting sekali — jangan sesekali, never, ever, ever kehabisan wang.”