Razzi Armansur

Be End… Sudah berakhir atau akan berakhir?

Hari ini, genap seminggu perayaan atau pesta atau pilihanraya ke 12. Apa yang anda perhatikan sesudah seminggu berlalu? Yang saya perhatikan betapa kelakarnya media perdana di Malaysia ini, masih berterusan memperbodohkan rakyat. Benar, rakyat masih ada yang bodoh dan rela diperbodohkan, tetapi lebih ramai rakyat yang pandai.

Semestinya, media arus perdana yang dimiliki oleh UMNO dan MCA itu terus menegakkan benang basah. Berita Harian, Utusan, TV3, TV1, TV2, The Star kekal menegakkan benang basah. Mudah sangat: diibaratkan pokok tersebut sudah layu dan mati, tetapi media tersebut membuat persepsi, menukar pandangan masyarakat bahawa pokok tersebut masih subur. Yang bijak tertawa besar, yang bengap mengatakan, “Memamg, memang masih subur lagi. Aku nampak subur.”

Be End… itulah gelaran BN sejak dari zaman Reformasi lagi. Kini kian menjadi kenyataan, kian berakhir. Berbagai singkatan dicipta untuk BN, seperti Beban Negara, Barang Naik dan sebagainya.

Berakhir, akan berakhir… Be End…

Jadi, malam Sabtu lepas, genap seminggu hari ini, saya duduk mengadap TV. Mulanya memang sudah kecewa sebab sebagaimana biasa, seperti biasa, kalau kemenangan berpihak kepada BN akan disiarkan segera. Kalau kemenangan berpihak kepada parti lawan tidak akan atau terlalu lambat disiarkan. Tahukah anda, sehingga hari ini tidak berbunyi langsung perkataan “BN Selangor tewas”. Orang kata, Khir Toyo tak perlu bimbang, tetap ada jawatan khas untuknya, jawatan yang sangat penting iaitu “Ketua Pembangkang.” Dari menteri Besar berubah menjadi Ketua Pembangkang satu pertukaran yang menarik seperti bertukar kulit hitam pekat kepada putih merah. Atau sebaliknya.

Sampai kini juga media enggan belajar dari sejarah. Rakyat membenci media yang asyik menyuburkan pokok mati, menyebabkan beralih kepada media internet yang pantas dan tepat. Sampai hari ini, tidak kedengaran sebarang patah perkataan pun bahawa BN tumbang di 5 negeri dan 1 Wilayah Persekutuan.

Sebaliknya media mula menyalahkan rakyat kerana memilih PAS, DAP, PKR. Melayu tidak patriotik mengundi DAP, kata media. Peliknya, selama ini Melayu patriotikkah mengundi MCA, GERAKAN?

Jika anda membaca akhbar atau menonton Berita TV hari ini, siapakah sebenarnya yang meniupkan api perkauman? Alangkah kelakar dan bengapnya apabila isu DEB yang sudah lapuk itu dibesar-besarkan. Bahkan lebih kelakar lagi, selama ini memang DEB akan dihapuskan dan digantikan dengan MAPEN kerana gagalnya DEB mendekatkan jurang kemiskinan. Kita sendiri tahu siapa kroni yang kaya hasil dari DEB. Rakyat kekal miskin dan menganggung beban yang tidak pernah habis. Kelakar di antara kelakar, mereka yang bengap biul tidak tahu apa itu sebenarnya DEB (Dasar Ekonomi Baru) dan mula mengaitkan dengan ketuanan Melayu. Kelakar atau bengap?

DEB memang hendak dihapuskan sejak sekian lama, tetapi bila Lim Guan Eng mengatakan akan menghapuskan DEB hanya di Penang, digantikan dengan MAPEN, tiba-tiba menjadi gegak gempita. Selama ini mengapa senyap dan sunyi? Siapa sebenarnya yang meniupkan api perkauman? Isu Melayu Pulau Pinang sudah berlarutan sejak Gerakan, MCA, UMNO berkuasa di Penang sejak 30 tahun lalu, tetapi apabila baru seminggu DAP menguasai Penang, mengapa isu Melayu Penang dihebohkan? Heboh pula pasal akan jadi seperti Melayu Singapura, sedangkan hakikatnya Melayu Singapura jauh lebih baik kehidupannya berbanding Melayu Pulau Pinang. Badan yang menentukan halal haram di Singapura lebih dihormati dari Jakim di Malaysia. Pemerintah Singapura akur dengan penentuan halal dan haram yang ditetapkan oleh badan ulamak tersebut kerana ia salah satu daya tarikan pelancong.

Kita bersyukur, Selangor ditadbir oleh orang besar dan pakar. Orang bisnes yang terkenal, Tan Sri Khalid yang mana suatu masa dulu pernah menjadi CEO konglomerat Guthrie dan PNB. Rakyat amat yakin, Selngor akan maju dan tidak lagi merobohkan surau, mengunci surau, mengUMNOkan masjid, surau selepas ini. Tan Sri Khalid memang mahir dalam pengurusan, jadi, kita tunggu kemajuan pesat Selangor, rohani jasmani. Mentadbir negeri bukan semudah mentadbir klinik gigi atau mentadbir muka, mengatur jadual suntikan botox.

Selangor yang dikatakan kawasan amat selamat dan menjadi maruah utama BN akhirnya jatuh ke tangan Barisan Rakyat. Kedengaranlah Khir Toyo (ketua pembangkang) berkata, “Akan memastikan nasib rakyat Selangor terbela.” Selama ini adakah mereka terbela? “Akan memastikan mereka melaksanakan manifesto mereka.” Orang mempersoalkan kembali, selama dua penggal, adakah Khir Toyo yang mengetuai Selangor telah melaksanakan manifesto BN sepenuhnya?

Kita bayangkan begini: kalau misalnya, ulamak, orang yang dihormati kalah, ramai yang simpati dan bersedih. Tetapi apabila Khir Toyo kalah, ramai yang mempersendakan dan menjadi bahan senda gurau. Tiba-tiba tempe dan penyapu menjadi popular. Tak percaya? Klik CARI.COM.MY >> GENERAL >> CURRENT ISSUE. Cari.com.my adalah forum bebas yang dikategorikan sebagai tepat dan ganas. Ia diselang-selikan dengan kelucuan. Antara posting lucu di Forum Cari, “Jadi pembangkang tak perlu handsome.”

Memang tak terduga. Sebagaimana pada tahun 2004, memang tak terduga banyak kerusi yang dirampas kembali BN, pada pilihanraya ke 12, memang tak pernah diduga sama-sekali kemenangan mengejut menyebelahi Barisan Rakyat atau Barisan Alternatif. Negeri yang kononnya paling selamat (Selangor) menjadi negeri yang paling tak selamat bagi BN, dengan kemenangan besar BA.

Ramai yang cuba menganalisis kekalahan teruk BN. Tidak ramai yang menganalisis punca kemenangan besar BA. Tak ramai. Tapi sebagaimana biasa, media mengatakan itu pilihan rakyat. Tetapi malangnya selepas itu menyalahkan rakyat kerana mengundi BA.

Saya yang kurang arif ini cuba mengaitkan kekalahan teruk BN dengan beberapa sudut, termasuk sudut Seni Peperangan. Banyak yang boleh kita aplikasikan ke dalam bisnes dan kehidupan harian. Hanya sebahagian sahaja:

1. Jangan sekali-kali memandang rendah kepada kekuatan doa. Percayalah, kini makin ramai yang memandang remeh kepada kekuatan doa. Apabila memandang remeh kepada kekuatan dan keperluan doa, bermakna memandang remeh kepada kekuasaan Allah SWT. Belajar dari sejarah: Dalam peperangan Badar tentera Islam 313 orang sahaja termasuk kanak-kanak dan wanita tetapi mampu mengalahkan tentera musuh berjumlah lebih 1,000 orang. Bagaimana? Doa, usaha, strategi.

Kelantan menang besar, sambil mereka yang kononnya hendak merampas Kelantan malu sendiri, terus senyap tanpa suara adalah kerana solat hajat dan doa sampai menitiskan airmata diketuai oleh Tuan Guru Nik Aziz. Mereka datang pukul 3 pagi ke stadium dengan penuh pengharapan dan pergantungan semata-mata kepada Allah SWT. Dalam forum Cari.com.my ada yang posting yang menyebut, “BN pun melakukan begini hingga pukul 3 pagi apabila merayakan tahun baru, menyambut merdeka, Jom Heboh, Perkampungan Hadhari.”

Bukan hanya di Kota Bharu saja solat hajat, bahkan di seluruh Malaysia kebanyakannya berpuasa pada Hari Khamis dan melakukan solat hajat pada malamnya.

Saya lebih suka menyebut bahawa ini semua kekuasaan Allah dan peringatan dari Alllah SWT. Apa yang Allah lakukan semuanya bersebab. Bukan saja-saja.Salah satu syarat doa makbul ialah pengharapan — tidak ada pergantungan dan pengharapan lain selain dari Allah.

1. Expect Unexpected. Ini amat penting sekali dalam kehidupan seharian kita. Maknanya kita sentiasa berwaspada sebab tidak ada zon selesa sebenarnya. Sentiasa bersedia dengan perkara yang tidak dijangka. Siapa sangka, Selangor negeri paling selamat boleh jatuh ke tangan Barisan Rakyat? Siapa sangka sejarah nyaris kalah tahun 1969 hampir sangat terjadi pada tahun 2008. Penganalisis politik mengatakan kekalahan teruk BN tahun 2008 ini tidak pernah terjadi dalam sejarah negara. Bahkan dengan isu yang amat besar pada tahun 1999, BN masih mengekalkan majoriti lebih 2/3. Tidak ada 5 negeri 1 wilayah persekutuan BN yang tumbang seperti tahun 2008.

Sebenarnya, ramai yang menganggap pilihanraya kali ini memang tidak ada isu dan agak hambar. Bahkan sebahagian besar sudah menjanggakan BN akan menang. Itu jangkaan semasa penamaan calon. Bahkan dengan jawatan Rashid dilanjutkan setahun lagi setelah bersara wajib, orang ramai sudah menjangkakan ada sesuatu muslihat. “Jika tidak ada apa-apa masakan tempua bersarang rendah.”

Tetapi, apa terjadi? Dalam kehidupan kita seharian, hendaklah sentiasa menjangkakan apa yang tidak dijangkakan. Jika anda pernah memulakan ‘peperangan’ jangan sekali-kalai anggap anda akan menang selesa sebaliknya sentiasa bersedia untuk tindak balas. Dan selalunya tindak balas itu terjadi pada saat yang tidak disangkakan. Menjangkakan apa yang tidak dijangkakan. Menyerang ketika dalam keadaan leka adalah salah satu strategi peperangan.

2. Nampak lemah tapi kuat. Ini yang terjadi di Kelantan. Kelihatannya PAS sudah lemah di Kelantan dan begitu yakin akan dikuasai BN. Tapi apa yang terjadi? Persepsi selalu memperdayakan kita. Siasat dengan mendalam. Salah satu strategi peperangan Rasulullah ialah, “Mengenali kekuatan diri, mengenali kekuatan musuh.” BN sepatutnya mengenali kelemahan diri bila berhadapan dengan negeri yang dipimpin oleh tokoh ulama yang disegani.

3. Mengenali kekuatan diri dan mengenali kekuatan musuh nampaknya telah dipergunakan sepenuhnya oleh BA. Mereka mengenali di mana kelemahan-kelemahan pentadbiran BN lalu diserang pada kawasan yang lemah itu. Media saja yang melebih-lebih apabila yang sakit diberi gambaran sebagai sihat dan diminta rakyat mengakui sihat. Tanpa disedari, itulah ‘harga yang perlu dibayar’ kerana membuat persepsi yang silap.

4. Sekali lagi media memberi gambaran seolah-olah sokongan padu oleh rakyat terhadap BN. Laporan media itu menyebabkan pihak BN selesa dan amat yakin akan menang besar dan mudah. Sekarang BN terpaksa membayar “harga yang patut dibayar” kerana media perdana memutar-belitkan fakta. Tapi pernahkah media arus perdana mengambil pengajaran? Tidak. Sampai hari ini masih memutar-belitkan fakta.

5. Sekali lagi: nampak lemah tetapi kuat. PKR hanya tinggal ‘sebatang kara’ sahaja. Hanya satu kerusi sahaja. Tetapi jangan sekali-kali lupa akan ‘nampak lemah tapi kuat’ dan ‘mengenali kelemahan dan kekuatan musuh’. Persepsi selalu menipu kita lebih-lebih lagi jika disemarakkan oleh media yang suka membelit.

6. Mengulang kisah gembala kambing dengan serigala. Berkali-kali menipu akhirnya tertipu. Tak ada siapa percaya apabila berkali-kali menipu walaupun ia perkara benar. Sehari sebelum parlimen bubar, PM menipu atau kononnya membuat trick, kononnya parlimen tidak akan dibubarkan dalam masa terdekat. Esoknya tiba-tiba parlimen bubar. Rakyat marah kerana berasa ditipu. Jadi bila PM mengatakan, “Anwar bukan lagi faktor, sudah tidak relevan lagi,” rakyat mula mentafsirkan bahawa “tidak” PM adalah sebenarnya “Ya!”.

7. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. BA telah membaca gerak lawan, bagaimana BN keterlaluan hendak menawan Kelantan dan Terengganu. Telah ditemui gas cecair asli di perairan Kelantan dan boleh bertahan sehingga 500 tahun lagi, itu yang perlu sangat Kelantan dirampas dari tangan PAS. Kerana menumpukan hendak melawan Kelantan, negeri-negeri lain mula diabaikan kerana percaya negeri lain adalah ‘selamat dan dalam tangan’. Siapa yang melaporkan ‘selamat dan dalam tangan’ itu? Media milik sendiri!

8. Perkataan ‘Hadhari’ memang memualkan dan ramai umat Islam yang marah dengan istilah Islam Hadhari. Ini menyumbang kepada kekalahan BN. Seandainya Paklah tidak menambah perkataan ‘Hadhari’ pada Islam tentu keadaan berbeza. Orang keliru kerana menyangka Paklah hendak mengubah Islam.

9. Masalah dalaman tidak dirawat sebaliknya hendak menawan. Contohnya, kalau kebajikan tentera tidak dijaga, mampukah berperang dan menawan negara lain. Kesimpulan yang kita baca di mana-mana analisis kekalahan BN ialah: rakyat bukan menyokong BA sebaliknya enggan mengundi BN. Apa sebabnya? Ini yang perlu dikaji bukan mempercayai kepada laporan media.

10. Kata Imam Ghazali, “Utamakan yang utama”. Mana lebih utama? Kebajikan rakyat atau segala rupa koridor yang pelik-pelik dan berada di langit sana? Aman, Makmur, Selamat itu untuk siapa? Rakyat menderita kerana perbelanjaan sentiasa melebihi pendapatan, sibuk pula hendak membina projek-projek mega.

11. Tidak mengenali Hukum Angka. Apabila ceramah BN lesu dan lengang walau diserikan dengan artis (termasuk artis nasyid yang buta politik dan menyokong BN, JAKIM kerana percaya rezeki di tangan mereka. Kalau tak sokong tak ada show dan tak dapat masuk TV, Radio), mereka mengatakan, “Tak penting. Yang penting ialah sokongan senyap rakyat. BN tetap akan menang.” Apabila melihat ceramah BA yang dihadiri puluhan bahkan ratusan ribu penyokong, mereka mengatakan, “Mereka datang hanya untuk suka-suka mendengar ceramah.” Betulkah begitu? Bagaimana kalau 1/2 saja yang akan mengundi BA, 1/2 lagi hanya untuk suka-suka. Bagaimana kalau 1/4, 10% atau hanya 1% dari hadirin itu sahaja yang akan mengundi BA?

12. Dalam satu strategi peperangan ada menyebut: kelihatan mengalah dan kemenangan berturut-turut pihak lawan menjadikan pihak lawan angkuh dan leka. Serangan yang dibuat semasa sedang lalai dan leka dan tidak bersedia akan menghasilkan kemenangan besar. Benar begitu? Kemenangan besar BN dalam setiap pilihanraya dan pilihanraya kecil menjadikan angkuh, leka, lalai dan tidak bersedia. Bersyukur pada Allah SWT kerana Paklah mengumumkan pilihanraya pada tahun ini sedangkan ada masa setahun lagi. Pilihan raya diadakan semasa BN sedang angkuh, leka dan lalai. BA telah menyerang pada masa yang tidak disangka-sangka.

13. BA telah menggunakan sepenuh-penuh senjata yang ada. Apa sebenarnya senjata yang paling berkuasa dalam kempen pilihanraya? MEDIA! Dan kemenangan sekali lagi menyebelahi BA kerana rakyat sudah tidak percaya kepada media arus perdana yang hanya mengabarkan ‘indah-indah belaka’ sedangkan prinsip berita ialah, “No news is a good news” dan “Give what they want.”

Ke mana rakyat mengalihkan perhatian? Sudah tentu kepada internet! Namun BN masih tidak menyedari ‘the power of internet’. Kenyataan purba sejak tahun 1998, “Internet tak boleh percaya…” masih menjadi pegangan. Memang tidak boleh percaya kalau ada yang menyebut, “Jutawan internet.” tetapi dari segi media dan komunikasi , ia amat dipercayai dan pantas.

Buktinya? Pada malam pengumuman keputusan, hit Malaysiakini.com adalah 500,000 dan ‘domain host’ terpaksa ‘auto shut-off dan redirect’ kerana menyangka telah berlaku spam. Malaysia-today.net juga jammed kerana hit yang melampui batas dan memakan ‘resource’ yang tinggi. Harakahdaily.net pun jammed disebabkan resource. Bukan bandwidth kerana kesemua laman tersebut hanya teks dan grafik yang amat minumum. Tak tahulah, mereka yang sibuk dengan “Jutawan internet” itu faham atau tidak istilah-istilah ini.

Bukankah itu bukti bahawa rakyat beralih kepada internet sesudah muak dengan putar-belit media perdana? Sekali lagi mereka tidak tahu hukum angka (yang diajar di dalam pemasaran) — berapa jumlah pengguna internet di Malaysia ini dan berapa peratuskah anggaran penyokong BA di antaranya?

Hampir tidak ada blog untuk calon BN. Tetapi dengan mudah sekali anda akan menemui blog calon BA. Hampir setiap wakil rakyat BA mempunyai blog sendiri untuk berkomunikasi dengan rakyat. Ini yang patut diberi perhatian serius oleh BN, bukan mengatakan, “Internet tak boleh percaya…”

Jadi sekarang, siapa yang lebih dekat di hati rakyat?

14. BN masih menggunakan stail tradisi lama iaitu mengutuk lawan. BA sudah amat kurang mengutuk lawan di dalam kempen mereka. Lihatlah iklan TV bagaimana dalam iklan tersebut diselitkan mengutuk BA. Zaman sudah berubah. Sikap semula jadi manusia, yang dikutuk itulah yang dicari. Misalnya, kalau saya dikutuk, saya bersyukur sebab buku saya makin dicari-cari, makin laris dan royalti saya makin meningkat dari sebulan ke sebulan.

Anwar Ibrahim dikutuk? Makin ramai yang datang mendengar ceramah beliau. Majoriti Wan Azizah bertambah dengan drastik: dari 500 menjadi 13,000! Nurul Izzah menang di kawasan kerusi panas milik BN secara tradisi. Tuan Guru Nik Aziz dan PAS dikutuk? Makin bertambah undi untuk PAS di seluruh negara. Makin banyak kerusi BN melayang di Kelantan. DAP dikutuk? Berduyun-duyun orang datang tak berganjak dalam hujan lebat dan akhirnya dapat menguasai satu negeri penting — Penang!

Inilah kehendak Allah SWT dan telah berlaku sejak wujudnya bumi ini. Kalau kita hendak membakar rumah orang, kita yang terbakar terlebih dahulu. Kalau kita mengutuk orang keburukan akan kembali kepada kita. Di depan mata kita sering terbukti, bagaimana yang menghina semakin terhina dan yang dihina semakin makmur.

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.