Zulkifli Ismail, sahabat lama menghantar SMS, “Wah Kang, banyak dapat royalti ye… Pakcik kayo.” Maksud beliau ialah royalti PTS. Bagi tahun 2007, PTS mengeluarkan RM1.01 juta untuk membayar royalti. Saya tidak tahu pula berapa puluh penulis PTS yang mendapat royalti kiraan tahun 2007 itu. Kalau ada 100 orang penulis, RM1.01 juta itu dikongsi bersama 100 penulis
Sudah tentu ada penulis yang mendapat lebih dan ada yang kurang, mengikut jumlah buku yang terjual. Tahun 2007 industri buku masih ‘boleh tahan’ sebab harga minyak belum naik. Dengan kenaikan harga minyak yang melampui batas, fikiran manusia memikirkan perkara yang lebih aula’ berbanding buku. Jadi, kreativiti penulis amat diperlukan untuk menulis buku yang dianggap aula’ dan dijadikan aula’.
Ada 35 penulis PTS yang berkongsi separuh dari jumlah royalti PTS bagi tahun 2007, sejumlah RM500,000.00. Mungkin itu yang dimaksudkan oleh Zulkifli. Mungkin Zul menyangka saya tergolong di dalam 35 penulis itu.
Saya tidak tahu dan rasanya tidak termasuk di dalam golongan 35 orang penulis itu kerana ada ramai penulis-penulis taiko di PTS. Saya belum layak dimasukkan dalam komuniti tersebut.
Penulis-penulis taiko yang saya maksudkan ialah Mbakyu Ainon Mohd (yang buku-bukunya evergreen dan berpuluh kali ulang cetak dan sentiasa dicari-cari), Dr Danial Zainal Abidin yang bukunya penuh dengan fakta yang tepat. Jualannya berpuluh ribu naskhah dan berterusan diulang cetak.
Bagi saya, mereka ini dua teratas. Kemudian menyusul taiko-taiko lain seperti Pak Latif, Shamsuddin Kadir, Dr Hassan Ali, Ayahanda Dr Haron Din, Tuan Guru Hadi Awang (semua royalti beliau disedekahkan), Ustaz Ann Wan Seng, Tengku Asmadi, Dr Fadzillah Kamsah, Farihah Iskandar (Dear Yayah), Saridah Hamid dan ramai lagi.
Mesejnya di sini, PTS memang membayar royalti. Menjadi cerita biasa banyak syarikat penerbitan yang tidak mampu membayar royalti atau berbelit-belit dalam membayar royalti. Atau hanya cakap besar tetapi tidak mengotakan kata-kata besar tentang royalti itu.
Mendengar jumlah royalti yang agak besar itu, bimbang nanti berduyun-duyun hendak bernaung di bawah PTS. Tidak semudah itu kerana PTS menyediakan standard sendiri. Bukan sudah ada manuskrip kemudian hantar ke PTS dan diterbitkan. Bukan begitu. Bakal penulis mesti mengikut standard PTS melalui siri kursus penulisan yang disediakan oleh Universiti PTS. Pendek kata, untuk menjadi penulis PTS, ada liku-liku yang mesti dilalui.