Razzi Armansur

Buku yang merosak!

Seminggu sebelum Pesta Buku 2008, saya berbincang bersama 2 pegawai pengedaran PTS, Encik Zaharin (Zet) dan Zain. Perbincangan ringan di gerai ‘Makkal Sakhti’ di depan pejabat PTS Batu Caves membincangkan tentang isu yang berkaitan dengan buku. Sudah tentu saya perlu mendapat info terkini tentang buku bagi mengenalpasti dengan tepat senario industri buku ini dan akan datang.

PTS bukan mementingkan wang dan nama sahaja. Memanglah wang penting kerana overhead PTS setiap bulan adalah ratusan ribu ringgit. Pekerjanya saja sudah lebih 60. Tetapi ada yang lebih penting lagi yang perlu diutamakan iaitu “perjuangan.” Yang dikatakan perjuangan itu selalunya hasilnya kemudian atau lambat atau tidak berhasil langsung. Perjuangan selalunya tidak dikaitkan dengan wang atau keuntungan.

Wang dan keuntungan amat penting untuk meneruskan bisnes, tetapi “perjuangan” lebih utama.

Perjuangan PTS pada pandangan saya, dan selalu diuar-uarkan oleh Mbakyu Ainon Mohd. ialah:

  1. Memandaikan Bangsa Melayu
  2. Memertabatkan Bahasa Melayu.

Itulah puncak perjuangan yang menjadi panduan perjalanan selama ini.

Seandainya tanpa perjuangan tersebut, hanya mementingkan keuntungan dan wang, sudah tentu akan menjadi seperti sesetengah penerbit lain. Wang dan keuntungan diutamakan, kualiti dikemudiankan. Perjuangan? Tak perlu sama sekali sebab tak dapat apa.

Buku yang kandungannya merosak, main hentam, fakta yang jauh meleset atau main reka-reka, ejaan yang berterabur, bahasa pasar, adalah contoh mudah buku yang merosak. Buku seumpamanya lebih mementingkan hiasan berbanding ilmu. Ilmunya mungkin sejengkal atau tidak ada langsung tetapi hiasannya sedepa. Pendek kata hiasan lebih utama dari ilmu.

Inilah yang dikatakan buku merosak kerana fungsi buku adalah menyampaikan ilmu bukan menyampaikan hiasan. Memang hiasan itu penting tetapi ilmu lebih penting dari hiasan. Pentingkan ilmu lebih dulu berbanding hiasan.

Seminggu sebelum itu pula saya bertemu dengan sahabat lama dalam nasyid, Faizal Osman atau Abai Os, di Tesco. Saya bertanya soalan mudah kepada Abai, “Zal, setuju tak kalau aku katakan, yang merosakkan sesuatu adalah manusia di dalam kumpulan itu.” Saya memberikan contoh kepada Faizal, yang merosakkan industri nasyid adalah orang nasyid sendiri termasuklah persatuan, kumpulan yang kononnya menjadi pemimpin kumpulan nasyid.

Saya memberikan contoh seterusnmya, “Dalam industri buku, yang merosakkan industri ini adalah orang buku sendiri, penulis dan penerbit buku.” Penulis menulis tanpa memikirkan impak dan fakta, penerbit seperti tidak mahu memeriksa dengan teliti kandungan manuskrip, seperti terdesak, seperti hanya memikirkan wang dan untung terus menerbitkan buku tersebut. Jadilah ia buku yang merosak!

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.