Razzi Armansur

Di mana ada fokus di situ ada perolehan

Yang lama berbunyi, “Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.” Setakat kemahuan tak mencukupi dan belum tentu akan mendapat jalan.

(photo)
Keterangan gambar: Kalau tak laku macam mana? Itu yang difokus, itulah juga yang diperolehi. Deretan kedai bunga di Jalan Masjid India ini sudah melebihi 20 tahun berada di sini. Sesiapa yang mempertikai “Boleh laku ke? Takkan Sammy Velu nak pakai kalungan bunga setiap hari,” lihatlah sendiri, setiap hari, sejak 20 tahun lepas tak henti-henti peniaga menganyam dan menjual bunga. Kalau tak laku tentu dah lama tutup. Kita memperolehi apa yang difokus.

Ia lebih dari kemahuan seperti yang diterangkan dalam APA YANG DIAJAR DI AKADEMI JUTAWAN:

Keinginan >> Kemahuan >> Kemahuan yang kuat >> Keperluan. (Bagaimana menukar keinginan kepada keperluan yang mendadak).

Setakat keinginan dan kemahuan tak mambawa impak apa-apa. Tetapi bila kemahuan menjadi kemahuan yang kuat kemudian menjadi keperluan yang mendadak barulah akan menemui beberapa jalan. Jadi, mulai hari ini, tukar kepada, “Di mana ada keperluan, di situ ada jalan.”

Bila ada keperluan barulah boleh fokus. Dengan fokus barulah boleh mendapat jalan. Dengan fokus barulah kita boleh memperolehi jalan (atau cara) dan apa saja yang kita perlukan.

Keajaiban fokus ini akan saya masukkan dalam buku baru saya akan mula ditulis pada awal bulan April. Buku berjudul RAHSIA AJAIB itu banyak menyentuh tentang fokus dalam apa saja bidang.

Buku ini, asalnya, lintasannya (ilham atau idea) datang dari Presiden Ukhwah.com, Cik Hanan Alam Faizli bila beliau mengharapkan supaya saya fokus semasa hendak menulis buku APA YANG DIAJAR DI AKADEMI JUTAWAN (kini sudah siap). Perkataan FOKUS itu tiba-tiba menarik pemikiran saya. Kemudian, idea itu semakin menebal bila Nazrul dari PTS PRO menunjukkan satu buku best-seller “Who Moved My Cheese” (yang selama ini kelihatan di MPH, Borders tetapi saya tak peduli). Saya membuka buku yang simple tetapi sangat menarik mengisahkan tikus mencari keju (bukan tikus Malaysia, sebab tikus Malaysia tak makan keju). Seumpama itulah buku RAHSIA AJAIB itu. InsyaAllah akan mula ditulis 1 April 2007 dan semoga siap (jika fokus) pada 17 April 2007 sempena hari lahir Presiden Ukhwah.com (sebagai ucapan terima kasih kerana memberi idea). Seperti biasa, buku ini akan diterbitkan oelh PTS PRO di bawah label “Fiksyen Inspirasi”.

Bila kita memfokus sesuatu — kita akan bergerak ke arahnya. Imbas kembali masa lalu, benarkah begitu? Perolehan anda pada masa ini adalah hasil usaha anda memfokus pada masa lalu. Setuju? Jadi, perolehan, pencapaian anda pada masa depan adalah hasil usaha anda memfokus pada masa sekarang. Setuju?

Sebagai contohnya dalam bisnes. Sepanjang yang saya ingat, bila sebut pasal bisnes, bangsaku akan terus mencari sebab untuk tidak bisnes. Antaranya ialah menyebut perkataan lazim, “Boleh laku ke?” Mempertikai sebelum bermula. Serta-merta membina tembok tinggi untuk menghalang diri sendiri. Gagal sebelum bermula. Betul? Tembok itu dibina kerana takut tak laku, sebab tumpuan atau fokus adalah kepada “Tak laku”. Seandainya, dengan kuasa ajaib, terbina bisnes, pasti produk atau servis yang dijual tidak akan laku kerana sepanjang masa hanya memfokus kepada “Tak laku.” Sepanjang masa, sepanjang mengusahakan hanya fokus, “Kalau tak laku macamana?”

Kita perhatikan kepada kaum yang menjadikan bisnes sebagai budaya iaitu kaum Cina. Bila diajak bisnes, fokus utama ialah, “Bagaimana nak bagi laku,” bukan “Bagaimana kalau tak laku.” Impaknya? Serta-merta mencari rakan kongsi untuk memulakan bisnes. Selang beberapa bulan kemudian, semasa menjalankan perniagaan, produk atau servis yang dijual begitu laris kerana setiap hari, sepanjang masa, fokusnya adalah, “Bagaimana nak bagi laku.”

Jadi, lihat sendiri keajaiban fokus. Di mana ada fokus, di situ ada perolehan. Di mana fokus anda, di situlah perolehan anda.

Satu lagi contoh: Bila hendak bisnes kebanyakannya risau tak mampu membayar gaji pekerja. Fokusnya, “Bagaimana kalau tak mampu bayar gaji.” Itu yang difokus, itu yang diperolehi. Memang tepat, akhirnya tak mampu hendak membayar gaji.

Berbanding jika memfokus kepada, “Bagaimana supaya bisnes ini mampu membayar gaji yang banyak dan dapat memberi kehidupan yang lebih baik kepada pekerja.” Keajaiban fokus terjadi — memang sentiasa diusahakan supaya pekerjanya memperolehi gaji yang banyak dan penghargaan berdasarkan ‘performance’. Wang adalah motivasi pekerja selain dari penghargaan. Bila gaji bertambah, mereka semakin produktif. Ia berterusan — oleh kerana pekerja adalah aset utama bisnes — bila mereka produktif, bisnes menjadi maju.

Sebagai orang Islam mesti memahami konsep rezeki. Setiap pekerja di bawah naungan kita tersedia rezekinya masing-masing. Kita hanya menjadi perantara menyampaikan rezeki dari Allah SWT. Dan jangan sekali-kali lupa, setiap pekerja di bawah naungan kita akan membawa rezeki kepada kita. Setuju?

Ke mana fokus kita? Jangan sambil lewa. Bila anda ke kedai, adakah anda membeli barang yang tidak anda kehendaki?

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.