Razzi Armansur

Jangan terbalik. Yang mana dulu? Mental atau fizikal?

Mana satu yang dikehendaki? Tidak ada siapa boleh menghalang anda. Maksud di sini, set yang mana? Fizikal dan mental kita ini boleh diset. Set yang mana yang dikehendaki? Set boleh atau set tak boleh? Tidak ada siapa yang menghalang.

(photo)
Set boleh! Fokus boleh! Peluang bola itu untuk masuk lebih tinggi berbanding jika ‘set dan fokus tidak boleh’.

(phot)
Set boleh strike! Peluang untuk strike lebih tinggi jika set dan fokus boleh strike!

(photo)
Set boleh menang! Peluang untuk menang No. 1 lebih tinggi berbanding set dan fokus kalah.

Apa akan jadi selepas set fizikal dan mental kepada boleh? Boleh buat, boleh menang, boleh kaya, boleh berjaya? Apa yang akan terjadi adalah impak. Dan impak ini bergantung kepada fokus dan set fizikal mental.

Saya tak kata mental sahaja. ‘Motivasi abad 19’ hanya mementingkan mental sahaja. Fizikal dan mental bergabung, tidak boleh salah satu. Kalau hanya mental dan fikiran positif itu ‘motivasi purba’.

Mental bergantung kepada fizikal. Itu teori saya. Jangan terus percaya. Fizikal mempengaruhi mental. Kalau mental (terlebih dahulu) mempengaruhi fizikal, itu ‘Motivasi fesyen lama’. Contoh mudah: bagaimana anda bergembira pada masa lalu? Katalah anda melompat-lompat semasa bergembira. Fizikal anda melompat, mental anda menjadi riang. Hari ini anda bersedih, cuba melompat (fizikal) sama seperti anda riang. Apa akan jadi? Dalam masa 1 saat, mental anda menjadi riang! Mental bergantung kepada fizikal. Masih ingat kata-kata bijaksana? “Jika anda kelihatan bagus, anda akan berasa bagus.” Kelihatan (mata) adalah fizikal. Berasa (perasaan) adalah mental. Atau sudah lupakah kata-kata yang sudah berdekad, “Badan sihat, otak cergas.” Bukan terbalik. Badan, fizikal dulu yang sihat baru otak cergas.

Atau bagaimana keadaan anda berduka pada masa lalu? Termenung, dahi berkerut, menongkat dagu, kelam, malap, dibuai lagu-lagu menyayat hati? Bagaimana kedudukan fizikal anda? Sekarang kembalikan kedudukan fizikal semasa berduka itu kepada hari ini, serta-merta, walaupun ada sedang riang, anda menjadi sedih. Fizikal sedih mempengaruhi mental menjadi sedih.

Fizikal dulu baru mental. Namun jangan terus percaya 100% teori saya ini.

Bagaimana cara set dan fokus boleh? Seperti yang dikatakan, fizikal terlebih dahulu. Anda melihat BMW 7 Series terlebih dahulu kemudian dimasukkan ke dalam mental dan ‘set boleh’ — anda boleh memilikinya. Hilang perkataan mustahil kerana sudah beribu-ribu manusia di dunia ini memilikinya. Mata (fizikal) melihat terlebih dahulu baru menanamkan keinginan dalam mental dan akhirnya keinginan itu menjadi keperluan. Setuju?

Hendak masukkan bola pool ke dalam lubang? Tetapkan fizikal dulu, kedudukan yang membolehkan menjolok bola tersebut masuk ke dalam lubang. Takkan secara baring. Sudah tentu membongkok. Sesudah fizikal tetap barulah mental ‘set boleh’ masuk bola itu ke dalam lubang.

Hendak strike? Sama prosesnya. Badan berkedudukan yang membolehkan bola bowling meluncur dan melanggar pin bowling. Kedudukan sudah tetap, barulah mental ‘set boleh’ strike!

Hendak menang pilihan raya? Fizikal terlebih dulu. Mencalonkan diri atau dicalonkan, berkempen, tampal poster dan sebagainya. Kesemuanya menggunakan fizikal terlebih dahulu, barulah mental boleh ‘set menang’. Tidak mungkin terbalik, ‘berfikir positif’ terlebih dahulu baru pergi tampal poster.

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.