“Juwitaku… Engkau datang lagi. Datang dengan…” Begitulah lagu J. Mizan. Siapa J. Mizan itu? Penyanyi lama yang terkenal dengan lagu, “Hari ini dan Semalam” sekitar pertengahan tahun 70-an.
Begitulah lagu mengalu-alukan kekasih yang disayangi. Bolehkah berlagu riang gembira apabila mengalu-alukan kedatangan Ramadhan? Hanya segelintir sahaja yang mengalu-alukan kedatangan Ramadhan. Selebihnya mengalu-alukan apabila Ramadhan berakhir. Kerana itulah pentingnya latihan sejak kecil lagi, riang gembira menyambut kedatangan Ramadhan. Malangnya kita dididik supaya riang dan gembira ketika Ramadhan akan berakhir. Riang sebab sudah sampai Hari Raya, tak payah lagi berpuasa.
Jadi, apa yang terjadi kini adalah terbalik — berakhirnya puasa sebenarnya yang dialu-alukan. Semoga ia hanya berlaku kepada kanak-kanak yang belum berakal sahaja. Bagi kita orang dewasa, marilah kita berusaha sedaya-upaya supaya sentiasa riang gembira, menanti-nantikan kedatangan Ramadhan.
Hanya jikalau kita mempunyai sebab khusus untuk meraikan Ramadhan, barulah kita akan menyambutnya dengan penuh riang. Barulah kita tidak akan terbalik — bersedih apabila Ramadhan tiba dan bergembira apabila Ramadhan berakhir.
Kita mesti sedar dan sama-sama berusaha untuk mencegahnya. Cegah sebelum parah. Bagaimana? Mulakan dengan rumah tangga kita terlebih dahulu kemudian meningkat setapak demi setapak kepada jiran-jiran. Kita ada mulut dan kuasa.
Apa yang dicegah? Sejak 5 — 10 tahun kebelakangan ini, jikalau anda sensitif dan prihatin ada usaha untuk ‘rebranding’ Rukun Islam. Atau sekurang-kurangnya meremehkan Rukun Islam supaya pada suatu hari kelak, ia dipandang remeh dan dianggap tidak perlu. Siapakah yang sedang berusaha ‘penjenamaan semula’ Rukun Islam? Musuh Islam. Siapakah musuh Islam? Orang islam sendiri yang memusuhi dan anti-Islam. Bilangan mereka semakin bertambah di sekeliling kita. Tidakkah kita berasa takut? Bukankah ini tanggung jawab kita? Bukan orang kafir sebab kafir di Malaysia ini tidak memusuhi Islam. Tugas mereka telah diambil oleh orang Islam sendiri. Apa peranan kita?
Ada 3 Rukun Islam yang sedang di’rebranding’: 1. Sembahyang, 2. Puasa, 3. Haji. Ia telah menjadi terang dan nyata di sekeliling kita. Cuma ramai di antara kita yang tidak mahu tahu.
Pertama: Sembahyang. Tiang agama. Tak solat bermakna runtuhlah tiang agama. Cuba lihat buku bacaan kanak-kanak (selain buku Tadika Islam). Sembahyang sentiasa dilangkah. Bangun pagi, gosok gigi, mandi, berpakaian, sarapan dan ke sekolah. Mana solatnya? Wataknya bernama Ali tetapi mana solatnya? Sedari kecil diserapkan bahawa solat itu tidak perlu maka sekarang ini, di sekeliling kita, perhatikan — usaha yang diterapkan sejak kecil itu benar-benar menjadi. Di sekeliling, dari kanak-kanak, remaja hinggalah dewasa, sukar sekali melihat orang yang mengutamakan solat. Bahkan sudah seperti biasa pula melihat orang Islam tidak solat. Bibit-bibitnya sudah kelihatan sekarang — sembahyang kelihatan kolot, tidak moden. Tidak sembahyang barulah nampak moden dan mengikut perkembangan zaman. Ini ditambah dengan kata-kata pemimpin kita suatu masa dahulu, “Kalau nak pakai hukum Islam maknanya kita balik ke zaman unta.” “Kita sudah 1500 tahun di depan, tidak sesuai hukum Islam digunakan.”
Percayalah, jikalau kita tidak berusaha untuk mengatasinya, suatu masa nanti, apabila kita solat, kita akan dipandang serong sebagaimana suatu masa dulu orang yang tidak solat dipandang serong.
Bagaimana melaksanakan, “Cegah sebelum parah?” Bermula dengan diri sendiri kemudian keluarga sendiri. Beri peringatan, tunjukkan teladan betapa amat pentingnya solat. Bukan sekali-sekala tetapi setiap hari. Beritahu dengan tegas bahawa solat itu dilaksanakan bukan mengejar syurga atau mengelakkan neraka tetapi kerana ia WAJIB, tanpa ada pilihan lain. Kerana Allah dah suruh, jadi jangan diingakari.
Kedua: Puasa. Usaha-usaha, iklan-iklan, hiasan-hiasan sejak 5 tahun kebelakangan ini kelihatan seperti “tak ada puasa, yang ada hanya Hari Raya.” Percayalah, jikalau kita tidak berusaha mendidik diri kita, keluarga kita bahawa puasa itu lebih utama berbanding hari raya, suatu hari nanti pasti orang yang berpuasa dipandang serong. Pasti kelak, bebas orang Islam (Islam keturunan) makan di khalayak ramai. Lebih malang lagi, sesiapa yang menegur orang yang tidak berpuasa akan dipenjarakan atau dipecat sebagaimana suatu masa dulu Mufti selangor, Dato’ Ishak Baharom menegur pertandingan ratu cantik, terus dipecat.
Usaha-usaha sedang dibuat ke arah itu. Lihat sajalah iklan-iklan yang mendahului masa (belum puasa sudah ada iklan Raya) — seolah-olah tidak ada puasa. Seolah-olah puasa itu tidak penting; yang penting Hari Raya. Seolah-olah yang ada hanya Hari Raya sahaja kerana bulan Ramadhan sedang ditengelamkan. Seolah-olah Hari Raya adalah wajib dan puasa itu tidak wajib.
Dan yang paling menyedihkan, puasa boleh saja mereka melaksanakan tetapi sembahyang tidak pula dibuat sedangkan kedua-duanya mesti dibuat serentak kerana kedua-duanya adalah wajib. Dinding saja yang ada, hendak ditampal pada apa dinding tersebut kerana tiangnya tidak ada.
Pesta makanan dengan munculnya pelbagai bazaar di bulan Ramadhan (berjualan setahun sekali) juga menyumbang kepada tanggapan bahawa puasa itu hanya menahan lapar dahaga sahaja. Hanya puasa perut dan tekak. Hanya sekadar ritual sahaja. Penghayatan dan rohnya tolak ke tepi. Buktinya, segala rupa makanan yang dijual adalah untuk menjamu selera sambil ‘membalas dendam’ kerana tak dapat makan minum seharian.
Ketiga: Haji. Rata-rata kedengaran dan kelihatan Haji sudah dikemudiankan. Sudah terbalik pula, Umrah didahulukan dari Haji. Kenapa? Berbagai-bagai alasan. Ada yang melakukan Umrah sampai lebih 3 kali tetapi tidak ada niat langsung untuk melaksanakan ibadah Haji. Umrah bukan ibadat wajib. Ia adalah menziarah dan mengikut tertibnya dilakukan selepas Haji. Jikalau mampu mengumpul wang untuk melaksanakan Umrah sudah tentu mampu untuk mengumpul wang bagi melaksanakan ibadat yang wajib iaitu Haji. Simpan duit itu dulu atau jadikan pelaburan pokok sehingga cukup untuk menduhulukan ibadat yang wajib iaitu Haji.
Jikalau sekarang ini sudah semakin jelas seolah-olah Umrah diutamakan, didahulukan, Haji pula dikemudiankan atau tak payah ditunaikan, cukup dengan Umrah sahaja, bagaimana akan datang?
Lebih menghairankan sekali mereka dengan sepenuh hati rela dan amat suka mengerjakan (tak boleh disebut menunaikan ibadat) Umrah tetapi sangat keberatan menunaikan ibadat Haji, walaupun cukup (bahkan berlebih) syarat.
Yang paling pasti inilah jawapannya apabila ditanya bagaimana sesudah sampai di Mekah, “Menitis air mata apabila melihat Kaabah.” Saya suka bertanya kembali, “Mengapa sampai menangis?” Tak ada jawapan. Saya kemudian bertanya kembali, “Bukankah Kaabah itu hanya penanda sahaja, bukan kamu menyembahnya, jadi mengapa seperti sayu sangat apabila terlihat Kaabah. Sepatutnya kamu berkata — sayu dan amat terharu akhirnya sampai juga ke tanah suci, bumi Anbiya.”
Begitulah, satu per satu rebranding dibuat tanpa disedari. 3 Rukun Islam sedang dilakukan rebranding. Oleh siapa? Bukan oleh musuh Islam tetapi oleh orang Islam yang anti-Islam. Awas, memang terlalu ramai orang Islam yang anti-Islam. Apa cara kita mengatasinya? Bermula dengan mendidik diri sendiri kemudian didiklah keluarga kita sendiri. Jika setiap keluarga Islam terdidik maka, seluruh keluarga Islam akhirnya terdidik. Apabila seluruh keluarga Islam terdidik maka meningkat seluruh umat Islam nanti terdidik dan tidak akan terpedaya dengan rebranding yang sedang dilaksanakan.
Jadi, apakah sebenarnya mesej Ramadhan. Setiap perintah Allah ada mesejnya sendiri. Walaupun tanpa mesej, tetap kita melaksanakannya sebab ia adalah suruhan Allah SWT. Namun, kerana Allah SWT menyediakan mesej untuk setiap suruhannya maka kita mencari mesej tersebut:
1. Perubahan. Untuk kejayaan mesti ada perubahan atau penghijrahan. Berubah dari keadaan biasa memang sukar bagi setengah orang melainkan dengan kemahuan yang bersungguh-sungguh barulah boleh melaksanakan perubahan tersebut. Perubahan pada bulan Ramadhan adalah mudah: dari makan minum tanpa henti di bulan-bulan lain, selama sebulan di bulan Ramadhan tidak makan selama lebih kurang 14 jam. Itu perubahan besar yang boleh dijadikan inspirasi dan perangsang setiap kali mahu berubah ke arah kebaikan. Mesejnya: siapa yang menetapkan ‘tak boleh’ selain diri sendiri? Diri sendiri yang menetapkan boleh atau tidak boleh berubah ke arah kebaikan.
2. Kesanggupan. Mudah saja — tanpa kesanggupan tidak akan ada kejayaan. Kesanggupan menahan lapar dahaga dan berpuasa keseluruhan badan, menahan diri adalah perangsang dan inspirasi yang sangat besar. Pada bila-bila masa, lain kali, jikalau terasa tidak sanggup melakukan kebaikan, ingati kesanggupan berpuasa.
3. Kekurangan adalah kelebihan (untuk sesetengah perkara). Di bulan puasa ini segalanya mesti dikurangkan. Makan, minum, tidur menjadi paling minimum. Sesungguhnya Rasulullah sendiri manusia yang paling kurang makan minum, kurang tidur tetapi lihatlah betapa cergas dan bersemangatnya Baginda menjalankan tugas dan tanggung jawab setiap hari. Terlebih makan minum, tidur, sebenarnya membawa mudarat kepada tubuh badan. Pernah mendengar orang mati disebabkan oleh kurang makan, minum dan tidur? Tidak pernah. Pernah mendengar orang sakit dan mati disebabkan oleh terlebih makan minum dan tidur? Hampir setiap hari.
4. Menghentikan alasan dan helah. Apabila diseru untuk bersedekah, maka helah dan alasannya setimbun. “Tak ada duit” atau “Tak cukup duit” adalah alasan yang biasa. Bulan puasa sedekah mesti lebih dari bulan-bulan biasa, bukan alasan lebih. Jikalau berhenti mencari alasan pasti akan mula mencari penyelesaian. Sungguh mudah penyelesaiannya namun diakui agak liat dan sukar pelaksanaannya. Wang belanja makan pagi dan tengahari, sepanjang bulan puasa ini boleh digunakan untuk bersedekah. Itulah penyelesaian bagi memperbanyakkan sedekah di bulan nan mulia ini.
Sesungguhnya banyak lagi mesej yang boleh dicari dan dilaksanakan. Kesemua mesej tersebut adalah untuk kebaikan dan kejayaan kita. Allah SWT tidak memerlukan kita; sebaliknya kita memerlukan Allah SWT.