“Abah belilah apa yang abah teringin nak beli.” Kata anak sulung saya, Edika Armansur. Saya menjawab, “Kalaulah komputer Abah ini bersalut emas, semua yang abah ingini akan Abah beli.” Saya menjawab sambil merujuk kepada iklan Petronas 2008 yang menyebut, “Aiman, kalaulah pokok cempedak abah itu berdaun emas, jangankan kereta kayu, kereta kebal pun abah boleh belikan…”
Kesempatan saya gunakan untuk menasihati anak sulung saya itu: Walau semiskin mana seseorang itu, kalau dia pandai berjimat cermat dan melabur, dia boleh hidup senang. Walau sekaya mana orang itu, kalau mengamalkan sikap boros, akhirnya boleh menjadi papa kedana. Bak kata seorang pencipta lagu bernama Faizal atau nicknamenya Terrabye, suatu masa dulu di studio NAR menasihati, “Bukit pun kalau hari-hari diceduk dengan sudu, lama-kelamaan ia ranap juga.”
Memang keinginan saya pelbagai. Nafsu masih tinggi lagi. Wang royalti, kalau ikutkan nafsu boleh habis untuk membeli apa saja yang diingini, padahal tujuan saya, royalti tersebut adalah simpanan untuk pendidikan anak-anak. Sekali lagi saya menasihati anak sulung saya, “Dalam hidup ini mesti pandai membezakan antara keinginan dengan keperluan. Menuruti keinginan boleh menjahanamkan hidup walau sekaya mana seseorang itu. Yang perlu dipenuhi sebenarnya adalah keperluan, bukan keinginan.”
(photo)
Apa pandangan anda tentang iklan Merdeka Petronas 2008?
Nampaknya iklan karya Yasmin Ahmad kembali menyengat sesudah iklan Hari Raya 2007 agak kurang menyengat dan seperti tergesa-gesa (Burung apa?). Selepas iklan “Burung apa” tersebut, agak ramai juga yang mempersendakan dan menjadikan ia lawak di forum-forum dan SMS. Salah satu lawaknya:
“Daging apa?”
“Daging babi.”
“Daging apa?”
“Daging babi.”
“Daging apa?”
“Daging babi.”
“Daging apa?”
“Daging babi.”
Akhirnya, kerana bosan atau tersasul, si ayah menjawab pertanyaan si anak untuk kali terakhir:
“Daging apa?”
“Daginglah, babi.”
Bukan mudah untuk mencipta filem iklan yang singkat tetapi mengandungi jalan cerita yang menarik dan berbagai-bagai mesej. Bukan mudah. Hanya yang berada dan pernah berada di dalam industri ini faham bagaimana susahnya Yasmin Ahmad menyediakan iklan-iklan masterpiece. Walaupun budget iklan tersebut mewah, namun kena berhati-hati kerana jikalau produksinya mahal, ‘airtime’nya singkat. Biarlah seimbang, produksinya sederhana, tetapi ‘airtime’nya kerap, barulah mesejnya sampai kerana pemasaran adalah bergantung kepada berapa kerap manusia melihat, memandang, mendengar dan merasai (perasaan). Semakin kerap, semakin laku, semakin laris.
Keseluruhannya memang menarik sekali iklan Merdeka 2008 ini. Cuma rasanya lagu SM Salim tak berapa sesuai diselitkan dalam iklan ini. Lagu tersebut pun jarang kedengaran tak seperti lagu, “Apa nak jadi” yang amat sesuai untuk iklan Petronas, “Janda Anak 7”.
Setting filem tersebut tak payah cerita lagi, memang amat tepat. Cuba perhatikan iklan-iklan masterpiece Yasmin Ahmad. Hampir kesemuanya mesti ada sungai. Iklan terbaru ini pun memang permulaannya di sungai.
Pada pendapat saya, inilah mesej iklan Merdeka Petronas 2008:
1. Kesusahan mengajar manusia jadi pandai. Jenis manusia yang menggunakan akal, akan menjadi lebih kreatif apabila dilanda kesusahan. Tapi, bukan untuk manusia yang jenis “menyerah.” Manusia yang bijak berusaha memenuhi keinginan atau keperluannya dengan menggunakan akal dan kreativiti. Manusia menjadi lebih kreatif apabila dilanda kesusahan. Tanya kembali kepada datuk-datuk kita yang mengalami kesusahan pada zaman Jepun. Menurut mereka, daun nenas boleh dibuat benang. Tempe diperbuat dari biji getah. Bagi Aiman, hero kecil dalam iklan Petroinas 2008 ini, kelambu dijadikan jala, bahan terbuang dijadikan kereta mainan. Kerana begitu kreatif, akhirnya Aiman menjadi “Man Gyver” sama seperti “McGyver”.
2. Si ayah bukan tidak sayang anak. Ayah yang penyayang sentiasa berusaha memenuhi kehendak anak. Tapi si ayah tidak memenuhi permintaan anak. Namun jangan lupa, si ayah memang sedang memenuhi keperluan anak. “Utamakan yang utama,” kata Imam Ghazali. Ada yang lebih utama iaitu masa depan Aiman. Wang dikumpulkan bukan untuk memenuhi keinginan Aiman tetapi keperluan Aiman di masa depan.
3. Selagi kita tidak berputus asa dan mengamalkan “Ia belum berakhir selagi belum berakhir,” kita akan memperoleh apa yang kita hajati sama ada lambat atau cepat. Si ayah bercita-cita memiliki motosikal berkuasa tinggi, mungkin jenama Harley Davidson (juga idaman saya) atau mungkin Titan. Sudah sekian lama mengidam, akhirnya suatu hari, tertunailah impiannya. Selagi bernyawa selagi itulah peluang sentiasa terbuka.
4. Jikalau kita dapat memenuhi keperluan orang lain, keperluan kita akan dapat dipenuhi. Ini bukan kemestian tetapi selalunya begitu. Seorang sahabat Cina menasihati saya, “Jika kita boleh membantu orang lain menjadi jutawan, kita akan menjadi jutawan.” Si Ayah telah memenuhi keperluan Aiman dan mengenepikan keinginan sendiri. Wang yang dikumpul selama ini mungkin untuk memenuhi cita-citanya membeli motosikal besar tetapi ada yang lebih utama iaitu pendidikan Aiman. Si ayah berkorban dan memenuhi keperluan Aiman. Akhirnya keperluan si ayah tercapai apabila si ayah telah memenuhi keperluan Aiman. Si ayah mendapat hadiah motosikal besar yang diidamkan selama ini.