Tahun 1998, zaman Reformasi, zaman setiap Sabtu demo di Jalan Tuanku Abd Rahman dan Kampung Baru, zaman kena sembur asid, kena tembak gas pemedih mata, kena hambat dengan FRU, seseorang bertanya kepada saya, “Kamu pembangkang ya?”
Saya menjawab, “Ya, kenapa?”
Tak ada jawapan.
Tanya kembali, “Kenapa?”
Masih tak ada jawapan.
“Kamu tanya aku ni pembangkang, aku dan jawab ya. Aku tanya kamu balik, kalau pembangkang kenapa?”
“Tak ada apa”
Jadi, saja dia bertanya, sedangkan dia tak tahu sebab dia bertanya begitu. Pelik atau tidak, jika sebenarnya tidak tahu dan tidak pasti dengan apa yang ditanya.
Begitulah hasil branding media bahawa pembangkang itu jahat dan perlu dihindari. Hakikatnya, parti pembangkang adalah keperluan dalam parlimen dan negara, untuk kepentingan rakyat.
Elok ditanya kembali, “Kamu ini di negeri Selangor. Siapa pembangkang? Siapa pemerintah sekarang?”
Begitu juga di Kelantan, Kedah, Perak, Penang sekarang ini, siapa pembangkang dan siapa pemerintah? Bagaimana pula kalau di Kuala Lumpur? Siapa pembangkang dan siapa pemerintah. BN menjadi lone ranger di Kuala Lumpur apabila BA merampas 9 kerusi selesa BN. (Sesuaikah perkataan pemerintah untuk lawan perkataan pembangkang?)
Hanya TV3 sahaja yang enggan mengakui dengan mencipta perkataan baru, “Pakatan Pembangkang.” Siapa yang dimaksudkan dengan pakatan pembangkang? Sesuaikan ia digunakan untuk gabungan PAS, PKR dan DAP? Siapa sebenarnya pakatan pembangkang kalau di 5 negeri campur satu wilayah persekutuan itu? UMNO, MCA, MIC, GERAKAN sebenarnya adalah “Pakatan Pembangkang.” Kalau di Selangor, siapa ‘Ketua Pakatan Pembangkang?” Khir Toyo yang mukanya berubah menjadi cun berkat makan tempe. Dalam forum Cari.com.my orang memanggilnya, “Pak Mat Tempe” dan berbagai-bagai lagi gelaran yang melucukan.
Bilalah nak insaf? Sudah ‘membayar harga yang sangat tinggi’ pun tak mahu insaf lagi. Sudah tahu media salah satu penyebab kekalahan teruk BN — rakyat muak dengan media kerajaan yang memutarbelit fakta dan masih lagi menganggap rakyat hidup di tahun 80-an, lalu rakyat beralih kepada media internet yang pantas, bahkan amat pantas dan sentiasa update. Bahkan ada yang update berpuluh kali sehari (seperti tranungkite.net)
Ada yang berkata, “Tapi DAP jahat, pembangkang jahat…” Bagi saya mudah sangat hendak memusingkannya. “Boleh tak tolong senaraikan 10 kejahatan DAP dan Pembangkang?” Satu pun tak tersenarai. Kenapa? Kerana hanya dengar-dengar dan berpunca dari branding media kerajaan. sama branding selama ini Kelantan miskin, daif, sebaliknya Johor (kononnya negeri kuat BN) kaya belaka dan tidak ada yang daif. Hakikatnya? Jangankan di Johor, di Kuala Lumpur ini pun ramai yang melarat!
Ada pula yang mengatakan Melayu Pulau Pinang akan terpinggir sekarang kerana DAP yang memerintah. Otak bukan untuk perhiasan. Tinggal berapa peratuskah tanah orang Melayu di Penang sekarang? Siapa yang menggasaknya? DAP yang tak sampai sebulan memerintah atau pakatan UMNO, GERAKAN, MCA yang telah memerintah selama 50 tahun?
Kembali kepada zaman Reformasi dan sesudah tertubuhnya Parti Keadilan. Seseorang di sebelah saya menghulurkan kad Parti Keadilan. Yang menerimanya berkata, “Seram saya.” Saya dengan segera bertanya, “Kenapa seram?” Tak ada jawapan. Saya meneruskan, “Parti hantu ke?” Tak ada jawapan. “Kalau nak tahu, ini parti yang sah berdaftar.” Sekali lagi putar belit media berjaya membina persepsi sebagai parti yang menyeramkan dan ganas.
Itu dulu. Kini PKR memiliki kerusi yang tertinggi di Parlimen dalam di antara PKR, DAP, PAS. Masih seram? Atau hormat?
Seperkara lagi, satu perubahan mendadak yang amat ketara sekarang ini ialah mereka semakin malu. Bila satu pihak makin malu, satu pihak lagi makin bangga. Suatu masa dulu, puak-puak UMNO amat berbangga dengan gelaran “orang UMNO” itu. Tetapi sejak kekalahan teruk BN pada pilihanraya ke 12, apa yang terjadi sebaliknya. Ramai yang malu dan tersipu-sipu mengakui dirinya sebagai ‘orang UMNO’. Sebaliknya, yang diejek sebagai pembangkang suatu masa dulu, kini makin disenangi. Perhatikan dan bezakannya sendiri.