Kata seorang “pakar motivasi” suatu masa dulu: “Jangan berbelanja ketika perut sedang lapar.” Kononnya, kelaparan itu menyebabkan hendak berbelanja lebih dari yang diperlukan, sebagaimana perut lapar hendak makan dengan banyak.
Saya tak tahu kitab psikologi mana yang menjadi rujukan tetapi sepanjang yang diketahui tak pernah terjumpa pun fatwa begitu dalam kitab psikologi. Atau saya yang tidak tahu, mungkin kajian dari Al-Quran, Hadis, kitab 4 imam besar, ulamak. Atau tanpa kajian, hanya rekaan sendiri. Saya tak tahu.
Hakikatnya, pada masa perut sedang lapar dan perit, orang Melayu dan Islam sibuk berbelanja. Bulan puasa inilah, orang Islam sibuk berbelanja untuk menyambut Hari Raya. Satu lagi pesta penting selama 2 bulan ini — Ramadan dan Syawal yang tersedia 3 pesta penting: pesta makanan, pesta berbelanja, pesta maut di jalan raya. Ke mana perginya ‘pesta ibadat’? Entah. Sepanjang yang diketahui, ramai yang menjayakan Rukun Islam ke 3, tetapi mengabaikan rukun Islam ke 2. Tiang, asasnya tidak ada tetapi hendak ditampal dinding. Bahkan yang menyedihkan dan menyebabkan kita tidak tentu arah apabila ada yang menjawab, “Tak ingatlah Bang… Rukun Islam itu apa… ada berapa ye?”
Jadi, orang Islam sedang galak berbelanja sekarang ini. Fatwa entah dari mana-mana, “Jangan berbelanja ketika perut sedang lapar,” tidak kedengaran. Yang kedengaran ialah, “Berbelanja ikut kemampuan, elakkan berhutang,” dalam ceramah-ceramah agama. Saya nak tambah sedikit: “Selagi kita tahu membezakan antara keperluan dengan keinginan, InsyaAllah, kehidupan dan kewangan kita akan selamat.” Hajat di hati hendak beristeri dua tapi adakah itu “keperluan atau keinginan”?
Hajat di hati hendak tukar langsir baru tapi adakah itu keperluan atau keinginan? “Nanti apa pula kata orang.” Inilah penyakit paling merbahaya sejak sekian lama, terutama pada bangsa kita Melayu — hidup dengan berlandaskan sudut pandangan orang. Di mana nak letakkan sudut pandangan kita sendiri? Apa kena-mengena sudut pandangan orang dengan kehidupan kita sedangkan kita tahu ini adalah kehidupan kita yang diuruskan oleh kita sendiri bukan diurus oleh orang lain melalui kata-kata dan pandangan. Selagi hidup berpegang kepada, “Nanti apa pula kata orang,” selagi itulah kita Melayu Islam akan terus mundur. Selagi yang kita buat adalah kebaikan dan tidak melanggar hukum Allah, selagi itulah tak perlu sama sekali kita mengeluarkan istilah, keraguan dan fatwa yang merosak, “Nanti apa pula kata orang.” Orang nak kata apa, katalah. Tak jadi kudis pun.
Hajat di hati nak tambah aksesori kereta supaya menjadi seperti kereta sarkis, supaya balik kampung nanti akan menjadi perhatian sambil orang ramai menilai tahap pemikiran dan pendidikan berasaskan kereta elok-elok tetapi dihias seperti kereta sarkis, sarat dengan aksesori pelik. Keinginan atau keperluan? Ia keinginan yang merosakkan imej. Keperluan sebenar ialah membeli polisi insurans takaful. Keinginan untuk membeli aksesori kelakar itu lebih baik untuk membeli atau menambah polisi insurans takaful. Antara aksesori kereta yang menjadikan kereta seperti sarkis dengan polisi insurans takaful, mana satu keinginan atau keperluan?
Berbalik kepada linking. Tahu apa itu linking. Ada yang hanya “tahu sedikit adalah merbahaya.” Dengar-dengar saja tentang linking dan NLP.
Linking tidak ada dalam NLP. Kalau ada pun mungkin istilah lain. Mungkin juga seakan linking. Linking bukan ciptaan baru, sebaliknya ia sudah setua sejarah. Lima modality penting dalam diri manusia menghasilkan perasaan dan perasaan itu menghasilkan tindakan yang tidak disedari. Seolah-olah ada yang menyuruh melakukan tindakan tersebut. Itulah linking. Ia terus masuk ke dalam otak dan otak mengarahkan fizikal bertindak tanpa sebarang paksaan.
Lima modality penting manusia atau selalu disebut sebagai lima pancaindera, menyerap keadaan keliling tanpa disedari, menimbulkan perasaan, kemudian dihantar kepada otak; otak pula menghantar arahan kepada fizikal untuk bertindak secara natural. Dalam NLP disebut 3 modality utama. Ada lima modality tetapi kebanyakan manusia lebih respon kepada 3 modality utama: penglihatan, pendengaran, perasaan (pandangan dan pendengaran menghasilkan perasaan). Selain itu ialah deria rasa, bau. Deria bau sebenarnya apa kuat responnya pada perasaan. Jikalau 10 tahun dahulu semasa itu anda sedang bergembira dan tercium bau wangi minyak wangi Polo, Tabac, Aramis, Drakkar, Paco Robbane atau YSL, hari ini sesudah 10 tahun kemudian, anda mencium minyak wangi yang sama, ingatan anda akan kembali kepada 10 tahun lalu dan dapat merasai perasaan gembira 10 tahun lalu pada hari ini. Linking — dikaitkan bau minyak wangi itu dengan perasaan pada masa lalu untuk dibawa ke hari ini.
Begitu juga dengan pendengaran. Tanpa disedari, sekarang ini, semasa pesta membeli-belah, linking terjadi dan membeli dengan banyaknya sehingga tidak dapat membezakan antara keperluan dengan keinginan.
Lagu Hari Raya sudah bersama kita sejak kita kecil lagi. Contohnya lagu Raya nyanyian Fazidah Joned dan Saloma itu sudah setua sejarah, sudah berkumandang sebelum kita lahir lagi. Lagu itu diulang-ulang berulang-ulang kedengaran sejak kita kecil sehingga sebati.
Kemudian, kesemua lagu-lagu dalam album 16 Lagu Hari Raya nampaknya sudah sebati dalam diri kita kerana kita telah berulang-ulang kali mendengarnya sejak dari kecil lagi. Bahkan kita boleh hafal susunan lagu tersebut kerana ulangan, kita telah mendengarnya berulang-ulang kali sepanjang penghujung Ramadan berpuluh kali dalam sehari sejak kita kecil lagi.
Apabila kita mendengarnya semula dan susunannya tidak betul, kita serta-merta boleh mengatakan, “Eh, salah susunannya ni…” Bahkan apabila satu-satu lagu itu dalam album itu sedang dimainkan, kita sudah tahu apa judul lagu berikutnya.
Bukan kerana kita taksub atau terlalu minat sebaliknya kerana kita mendengarnya secara sengaja atau tidak sengaja berulang-ulang sejak dari kecil lagu-lagu ini:
01 – Black Dog Bone – Cahaya Aidil Fitri
02 – Sharifah Aini – Suasana Hari Raya
03 – Aman Shah – Kepulangan Yang Dinanti
04 – Saloma – Selamat Hari Raya
05 – Hail Amir & Uji Rashid – Seloka Hari Raya
06 – Sudirman – Dari Jauh Kupohon Maaf
07 – Ahmad Jais – Selamat Hari Raya
08 – Junainah – Suasana Riang (Di Hari Raya)
09 – Sanisah Huri – Aidil Fitri
10 – Noorkumalasari – Pulang Di Hari Raya
11 – DJ Dave – Menjelang Hari Raya
13 – Rosemaria – Di Pagi Aidil Fitri
14 – P. Ramlee – Dendang Perantau
15 – Sanisah Huri – Bersabarlah Sayang
16 – Rafeah Buang – Bila Takbir Bergema
Apa kaitannya dengan linking? Zaman dahulu, apatah lagi jika kita masih kanak-kanak, Hari Raya memang dinantikan dengan debaran. Semasa lagu tersebut berkumandang, 10, 20, 30 tahun dahulu diiringi dengan aroma bahulu yang baru dibakar bercampur dengan bau belerang mercun dengan suasana penuh keriangan kita pergi ke pekan bersama ayah untuk membeli ala kadarnya baju baru, kasut baru. Itulah maksud ringkasnya. Semasa lagu tersebut berkumandang berulang-ulang kali suatu masa dahulu kita sedang gembira, beria-ia dan berperasaan seronok sedang membeli.
Sebagaimana yang dijanjikan, apabila mendengar lagu yang sama, perasaan kita terbawa kepada perasaan yang penuh keriangan pada masa lalu. Sekarang, di mana-mana kompleks membeli-belah sedang dipasang lagu-lagu hari raya tersebut. Mungkin pengurusan kompleks tidak menyedari kewujudan linking tetapi itulah hakikatnya. Apabila kita mendengar lagu raya tersebut, perasaan kita menjadi gembira dan tanpa dipaksa keinginan untuk berbelanja memuncak. Seketika itu lupa membezakan antara keinginan dan keperluan.
Tetapi, perasaan tersebut tidak mungkin akan terjadi jikalau tidak mendengar lagu yang original. Banyak sekali lagu-lagu Hari Raya namun tidak mampu mengatasi 16 lagu tersebut. Perasaan dan linking tidak akan terjadi jikalau bukan 16 lagu Hari Raya tersebut. Juga, 16 lagu hari raya tersebut telah digubah, didangdutkan, dibawakan oleh penyanyi lain, menyebabkan muak. Bukan terjadi linking tetapi mendatangkan rasa mual dan muak. Bayangkanlah lagu “Dari Jauh Kupohon Maaf” digubah dan dinyanyikan semula oleh kumpulan yang menggelabah. Bukankah itu mendatangkan rasa muak dan mual.
Kerana itulah jugalah pengurusan kompeks yang bijak akan hanya memainkan 16 lagu Hari Raya yang klasik itu mengikut urutannya, berulang-ulang untuk membina linking secara automatik.