Razzi Armansur

Mengapa Mesti Cover line?

Tidak bolehkah berlaku jujur? Konon membawa mesej dakwah tetapi mengapa mesti diselang-selikan dengan kelentong? Di akhir zaman begitulah, apa nak dirisaukan.

Apabila nasyid moden mula muncul di Malaysia ia satu kejutan. Masa itu muncullah satu kumpulan nasyid yang kononnya membewa era perubahan. Sambil melalak, kononnya berdakwah, tak sudah-sudah mulut penyanyi utamanya kelentong. Pertama kali saya “ter”tengok show mereka di Balai Islam Taman Tun Dr. Ismail — “Macam semalam kami buat show di Pahang….” Lebih kurang macam orang jual ubat di kaki lima — 99 peratus kelentong. Selepas itu terdengarlah kelentong besar-besaran ? album pertama terjual 600,000 unit. Beberapa kali saya dah kata — dunia ini akan segera kiamat jika telah masuk ke dunia artis tetapi meninggalkan kelentong.

Selepas itu muncul kumpulan lain pula. Sebagaimana biasa, kata mereka, mereka hendak menarik golongan muda supaya tertarik pada Islam. Mereka nak berdakwah melalui muzik dan nyanyian. Betul begitu? Sekali lagi, sebagaimana biasa bila telah masuk ke dunia hiburan tak kiralah nasyid, rock, dangdut, balada — kelentong mesti wujud. Pembohongan, penipuan, kelentong seakan wajib. Salah seorang anggota kumpulan tersebut yang paling tua sangat suka kelentong dan gempaq. Kemudian kumpulan itu menggunakan anak-anak muda kononnya untuk menarik anak-anak muda lain berubah dari meminati rock, hip-hop kepada nasyid. Itu “cover line” mereka.

Apa yang sangat anda dan saya marah, janganlah menggunakan perkataan “dakwah” tersebut. Janganlah “cover line” nak berdakwah, hakikat sebenarnya nak cari populariti dan duit. Kalau betul nak berdakwah kenapa tak buat post-mortem — sudahkah anak-anak muda beralih dari rock, hip-hop kepada nasyid. Kenapa tak buat kajian? Sudahkan orang-orang tua berubah dari balada, dangdut kepada nasyid? Kalau sudah berapa peratus? Berjaya atau gagal? Kalau berjaya apa yang mesti diteruskan? Kalau gagal, apa yang mesti diubah? Rasanya tak mungkin dilakukan sebab mereka sentiasa sibuk mencari duit untuk maintain gaya hidup kononnya yang sudah tinggi. Juga cari bahan-bahan kelentong baru bagi mengekalkan kedudukan.

Selepas itu, ada pula “Featuring” — saya tak tahu siapa mulakannya dan apa motif. Featuring ini menjemput penyayi rock atau balada yang sudah menapause di dalam album mereka. Contoh — Sawie, Nash(ik), Jrengjreng, dijemput berpadu suara dalam album. Terkejut beruk saya mendengar petikan gitar sekuat-kuatnya dalam lagu nasyid paduan kumpulan nasyid dengan Sawie. “Cover line” sudah disiapkan — kita cuba menarik golongan tersebut meminati lagu nasyid.

Tidak cukup lagikah pembohongan dan “cover line”? Dakwah? Siapa yang hendak dibohongi? Mengapa pula nyanyian dan muzik dijadikan medium alternatif untuk berdakwah sedangkan ia pilihan terakhir? Ini bukan zaman “Wali Songo” yang mengadakan persembahan wayang kulit untuk menjemput orang ramai datang menonton wayang kulit sambil diselitkan unsur-unsur dakwah.

Habis bab nasyid yang kini sudah sampai ke lantai paling bawah. Akibat perbuatan dan akhlak buruk sebahagian besar anggota nasyid, kini nasyid sudah merudum dan kehilangan arah. Setahun dua lagi nasyid sudah boleh dimuziumkan. Telaga Biru mula mengalih kepada penerbitan buku-buku menggantikan nasyid yang sudah sampai penghujung. Kalau betul sesuatu genre irama itu boleh bertahan 10 tahun sahaja, maka nasyid akan berakhir tahun ini (2006). Dangdut 10 tahun, rock, blues, semuanya 10 tahun.

Satu lagi “cover line” ialah penerbitan buku-buku berasaskan CINTA — konon untuk peralihan dari cinta terlarang, cinta harian, cinta monyet kepada cinta hakiki. Lucunya! Sudah lama cintan-cintun pelik berada di bumi Malaysia, muncul seseorang yang cuba menarik kepada Cinta Hakiki. Cinta hakiki apa saya tak faham kalau sebut nama ALLAH pun enggan? Lebih lancar sebut TUHAN berbanding ALLAH SWT ? itukah orangnya yang hendak menarik kepada Cinta Hakiki. Memanglah TUHAN itu jika diniatkan menjadi ALLAH tetapi mengapa tak mahu menyebut ALLAH? Apa yang menghalang dari menyebut ALLAH, kenapa lancar menyebut Tuhan. Mereka bertanya, “Apa salahnya menyebut Tuhan.” Saya bertanya, “Apa salahnya menyebut Allah?” “Tuhan itu global.” Begitu rupanya orang-orang yang “memperjuangkan” cinta hakiki — Tuhan global, Allah tak global. Allah ekstrim, Tuhan tak ekstrim.

Cinta Hakiki, tak hakiki, sakit kaki, kuku kaki, harakiri, atau apa pun tak wujud bahkan hanya sekadar “cover line”. Yang ada cinta duit dan nak cari glamour. Sebab, segala rupa buku yang ada kaitan dengan CINTAN dan JIWANG memang laris. Tak kiralah sama ada cinta hakiki atau tak hakiki, asal ada perkataan CINTAN-CINTUN dan JIWANG-JIWANG memanglah laris. Nak dibawa ke mana pembaca Malaysia? Kita hendak membina generasi sekarang bukan hendak merosakkan. Nak berdakwah — banyak alternatif lain. Kegilaan sekarang adalah pada internet. Gunakan medium itu untuk berdakwah, tanpa perlu “cover line”.

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.