Razzi Armansur

Nanti apa pula kata orang…

ITULAH didikan kita sejak dari kecil — hidup berasaskan sudut pandangan orang lain. Hidup yang singkat di muka bumi ini sebahagian besarnya digunakan untuk memenuhi hasrat dan sudut pandangan orang lain. Siapa yang bodoh? Kita atau orang lain kalau kehidupan ini disia-siakan demi memenuhi ‘sudut pandangan orang lain’. Kenapa mesti dipedulikan, “Nanti apa kata orang?” Di mana perlunya “Apa kata orang” itu dalam kehidupan kita yang amat berharga ini. Bahagian mana dalam “Apa kata orang” itu yang begitu penting dan berkuasa hingga menghalang tindakan baik kita?

Yang paling penting — kehidupan siapakah ini? Bagaimana kehidupan kita yang sangat berharga ini boleh dikuasai oleh orang lain yang tidak ada kena mengena langsung dalam kehidupan ini. Bagaimana kehdiupan yang sangat berharga ini boleh diurus oleh orang lain dengan hanya menggunakan pandangan dan kata-kata. Bagaimana manusia bijak seperti kita ini boleh dikuasai dan kemudian keseluruhan hidup kita rosak hanya dengan, “Nanti apa pula kata orang” dan “Nanti orang pandang apa pula?” Mengapa, mengapa, mengapa, kehidupan kita ini dibawah kawalan pandangan dan kata orang lain. Berhenti sejenak, bukankah itu yang sentiasa kita fikirkan selama ini dan ia telah merosakkan sebahagian besar hidup kita sejak dahulu.

Kalau sudah tahu ia merosak, mengapa mesti diteruskan? Semesti ayat, “Nanti apa pula kata orang” dan “Apa pula pandangan orang,” dimusnahkan dari muka bumi ini.

Kemudian, kenapa menyalahkan orang lain jikalau kehidupan kita rosak, tindakan kita terbantut atau tidak bermula langsung kerana asyik memikirkan kata dan pandangan orang? Salahkan diri sendiri sebab akur dengan ‘perintah’ dan ‘kawalan’ orang lain yang hanya menggunakan kata-kata dan pandangan itu.

Banyak, bahkan terlalu banyak kegagalan kerana tiada pelaksanaan. Bagaimana hendak melaksanakan sedangkan sepanjang masa takut tidak memenuhi kehendak, pandangan dan kata-kata orang lain. Kerana mementingkan rasa takut dan kawalan orang lain itu, lupa bahawa kata dan pandangan diri sendiri lebih utama dan diutamakan.

Soalnya benarkah begitu? Benarkah ada orang peduli? Kalau ada berapa orang semuanya? Ada sampai 1000, 100, 10? Siapa dia? Bila ia berlaku? Zaman dahulu, zaman kanak-kanak atau sekarang? Atau hanya perasaan sendiri takut bertindak, melaksanakan kerana bayangan, “Nanti apa kata orang” atau “Apa pula pandangan orang.” Kalau begitu — paling tepat istilahnya ialah “Syok sendiri.” Orang lain tidak apa-apa, tidak peduli tetapi diri sendiri perasan ada orang peduli. Jadi, siapa yang merosakkan diri sendiri, kehidupan dan keluarga? Diri sendiri meracun dan merosakkan diri sendiri. Atau lebih tepat lagi: Bunuh diri.

Apa puncanya? Mudah amat. Puncanya ialah “terlalu menyayangi diri sendiri” Semua orang sayang diri sendiri tetapi terlalu menyayangi dan mahu sentiasa dipandang sempurna, tidak mahu satu mata pun memandang buruk, atau satu mulut pun mengata buruk tentang diri, itulah punca utama mengapa berpegang teguh kepada “Nanti apa pula kata orang” dan “Apa pula pandangan orang.” Yang nak dilakukan itu untuk diri sendiri atau untuk orang lain? Apa pula sumbangan orang yang nak mengata dan membuka mulut itu kepada usaha kita?

Lagi satu ialah supaya orang lain mempunyai anggapan dan perasaan yang baik-baik terhadap kita. Kita mengalah, akur dengan kata dan pandangan orang lain supaya imej kita yang baik-baik kekal pada pandangan dan kata orang lain. Bila ditanya kembali, “Untuk apa begitu?” atau “Benarkah begitu hasilnya?,” tidak ada jawapan. Apabila ditanya, “Bagaimana kamu tahu orang pandang baik terhadap kamu? Ada buktinya?” Pun tidak ada jawapan. Akhirnya, apabila ditanya, “Boleh beri 1 saja kebaikan yang diperoleh dari mementingkan sudut pandangan dan kata orang lain?” Terus senyap sunyi. Jadi sahlah, sebahagian besar pandangan dan kata orang lain itu hanyalah rekaan semata-mata. Tidak ada bukti kukuh.

Tetap akan ada orang yang memberi pandangan negatif dan kata buruk walau kebaikan anda amat hebat. Ia normal. Ia mengganggu kehidupan kita kerana kita mempedulikannnya. Sepatutnya kita “buat tak tahu” bukan beria-ria mecipta persepsi dan beria-ia mencari-cari sudut pandangan dan kata orang lain. Walaupun kita menjual emas dengan harga RM10 sekilo sekalipun, pasti, wajib, yakin, tetap ada pandangan tak kena, tetap ada mulut yang mengata. Ia normal. Kalau ia normal, buat apa dipedulikan?

Tetap ada pandangan dan suara tersebut. Soal utama di sini ialah, mengapa kita mengalah dengan pandangan dan kata orang lain itu? Lebih utama lagi, adakah mereka bertanggung jawab terhadap pandangan dan kata-kata mereka. Maksudnya — katalah kita akur dengan “Nanti apa kata orang” dan “Apa pula pandangan orang,” kemudian kita berhenti dari melaksanakan apa yang hendak kita laksanakan. Akibatnya — tiada tindakan, maka tiadalah hasil. Soalannya, adakan mereka yang mengeluarkan kata dan pandangan itu bertanggung jawab atas kegagalan anda mendapatkan hasil yang sepatutnya diperoleh? Sudah tentu tidak mungkin. Jikalau sudah pasti memang pasti dan yakin “Tidak mungkin” maka jawapan paling sesuai untuk menghindarinya ialah dengan mengatakan, “Peduli apa!” Benar, “Peduli apa dengan kata dan pandangan orang lain. Apa aku dapat dengan pandangan dan kata orang lain itu?”

Begitulah manusia di sekeliling kita ini, bahkan termasuk kita ini. Sepanjang hayat hanya ambil tahu sahaja. Ambil tahu dengan ambil berat dua perkara berbeza. Ambil tahu lebih kepada ‘badan sibuk’ (busy body) — sibuk hendak tahu apa yang berlaku untuk kepuasan hati. Selepas tahu buat tak tahu sebab sudah puas hati, tahu apa yang terjadi. Orang beginilah yang perlu dihamburkan dengan, “Peduli apa! Kamu nak badan sibuk atau apa pun, apa kena-mengena dengan hidup aku?”

Ambil berat pula lebih kepada membantu. Sesudah tahu akan berusaha hendak membantu sedaya upaya, bukan buat tak tahu, pandang ke arah lain. Sesudah tahu kemudian membantu, itulah ambil berat. Zaman ini, malangnya amat jarang sekali manusia bersikap begini. Yang ada adalah jenis ‘badan sibuk’ dan yang ‘hendak mengena’.

“Mana hud-hud?” Tanya Nabi Sulaiman A.S. Inilah contoh ambil berat — bimbang sesuatu yang tidak baik berlaku pada burung hud-hud kerana burung kecil ini tidak pefnah gagal menghadirkan diri dalam perhimpunan. Ini juga contoh kepimpinan, bagaimana perkara yang kecil pun tidak terlepas pandang — adil, sama rata — bukan yang besar sahaja yang kelihatan, yang kecil pun diambil berat dan kelihatan.

Kesimpulannya, untuk mengatasi dan mengelak dari dikuasai oleh, “Apa orang kata” dan “Apa pandangan orang”:

1. Hidup ini singkat bahkan amat singkat apabila dunia sedang menuju kiamat sekarang ini. Setahun rasa sebulan. Sudahlah singkat disia-siakan pula, asyik hendak mendapat ‘pelepasan’ dan ‘kelulusan’ dari pandangan dan kata orang. Apabila kita menyedari dan tidak mahu lagi mensia-siakan masa / umur yang tinggal, maka kita serta-merta akan berhenti dari mencari-cari, merayu-rayu untuk mendapat kelulusan dari pandangan dan kata orang. Serta-merta terus mementingkan apa kata dan pandangan diri sendiri. Serta-merta berhenti dari membiarkan dan membenarkan orang lain menguasai kehidupan yang amat singkat ini HANYA melalui kata dan pandangan.

2. Terbalikkan. Bayangkan, dengarkan kata-kata dan pandangan orang lain yang merosakkan itu menjadi sebaliknya. Rekaan semata-mata: bayangkan, pandangan yang penuh minat dan kata-kata sokongan penuh perangsang terhadap usaha yang sedang hendak dimulakan itu. Dengar juga dan gambarkan juga tepuk tangan gemuruh memberi sokongan kepada anda.

3. Menyedari tidak ada manusia yang sempurna termasuklah diri kita ini, maka dengan sendirinya persepsi, khayalan, perasan dan perasaan, “Apa orang kata” dan “Apa pandangan orang” lenyap dengan sendirinya.

4. “Peduli apa!” Itulah yang sebaik-baiknya. Memang benar, peduli apa — sebab kita sendiri yang membayar bil, beli beras, mengisi usia, mengapa orang lain cuba menguasai kita hanya dengan menggunakan kata dan pandangan. Lemah sangatkah kita sampaikan begitu mudah dikuasai hanya dengan mata dan mulut? Hidup kita tanggung jawab kita, bukan orang lain. Selagi apa yang kita lakukan tidak melanggar hukum Allah, peduli apa!

Nota: Ini artikel pendek. Akan diulas dengan lebih panjang dan mendalam dalam buku saya berikutnya nanti — REVOLUSI DIRI.

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.