Penghujung bulan puasa lepas, singgah di Masjid Al-Naim, Batu 7 Jalan Kebun, Klang atas urusan menziarah manusia yang perlu diziarahi. Terlihatlah saya akan tulisan tersebut di atas. Amat menarik minat walaupun nahunya salah. Mesej dan peringatan dari tulisan itu amat menarik minat kita semua dan perlu diberi perhatian serius. Kita sering alpa, selama ini, rupa-rupanya kita sendiri yang menyempitkan rezeki.
(photo)
Kebetulan pada hari tersebut ada program di dalam masjid tersebut. Duduklah seketika mendengar ceramah ringkas, selain menumpang solat Asar di masjid tersebut.
Apa yang menyebabkan saya gembira bila berada di Jalan Kebun dan masjid tersebut? Sudah tentu saya seperti kembali ke habitat asal saya. Di sini 90% adalah kaum Jawa. Seronoknya saya kembali ke habitat. Lalu memasang cita-cita, suatu masa kelak apabilla sampai masa, saya akan membeli tanah dan membina rumah di perkampungan Jawa yang masih mengamalkan komunikasi dan adat Jawa.
Pada pintu pagar masuk ke masjid Al-Naim itu ada papan tanda yang mengingatkan, “RUANG LALUAN JANGAN SEMPITKAN, AKAN MENYEMPITKAN REZEKI ANDA.” Walaupun maksud tujuannnya ialah peringatan supaya jangan lepak, meletakkan kenderaan, berdiri pada pintu pagar itu atau apa saja perbuatan yang boleh menyempitkan laluan, namun maknanya adalah luas. Memang luas. Bukan hanya laluan pintu pagar masjid tersebut tetapi ada berjuta-juta laluan lain di muka bumi ini, jikalau kita menyempitkannya, maka pasti, tanpa ragu-ragu dan dolak-dalik lagi, akan terbalas di muka bumi ini, laluan rezeki kita menjadi sempit.
Bayangkan di depan kita adalah jalan yang luas. Oleh kerana luas, maka lancarlah laluan, apa saja objek yang melalui di atasnya. Bayangkan objek itu pula ialah rezeki yang mendatangi kita. Pasti laju dan lancar. Tapi, jangan salah faham. Kebanyakan kita apabila menyebut rezeki, terbayanglah wang. Wang hanya sebahagian dari rezeki. Apakah rezeki yang paling besar dalam hidup kita? Nyawa dan masa! Itulah rezeki utama. Apa yang terhasil dari nyawa dan masa? Kehidupan! Jangan ambil ringan, jikalau kita menyempitkan laluan orang lain, apa saja laluan, yang pasti kehidupan kita sempit, tersekat-sekat, tidak lancar dan penuh pancaroba. Pendek kata lebih banyak pahit dari manis.
Kadang-kadang kita tidak sedar, atau pun sedar tetapi buat-buat tidak sedar. Kita meletakkan kenderaan kita mengikut suka hati kita sahaja tanpa memikirkan ia adalah laluan orang lain juga. Tanpa disedari kita sebenarnya sedang menyempitkan rezeki kita sendiri sama ada lambat atau cepat.
Atau kita sengaja meletakkan kenderaan, walaupun kita tahu ia menyempitkan laluan kerana kita mementingkan diri sendiri, maka tunggulah akibatnya — kita sebenarnya sengaja menyempitkan rezeki kita sama ada lambat atau cepat.
Kita sesuka hati membina banguinan, pagar, tanpa disedari telah menyempitkan jalan orang lain. Keselesaan bagi kita kesempitan bagi orang lain; maka tunggulah, keselesaan itu akan berubah menjadi kesempitan sama ada lambat atau cepat. Percayalah. Ia akan terjadi tanpa disedari.
Sama anda kita menyempitkan laluan orang dengan objek, perbuatan atau kata-kata, tetap akan terbalas — laluan rezeki kita menjadi sempit. Percayalah dengan sepenuh hati. Perkara ini sudah setua sejarah.
Katalah, kita mempunyai wang yang lebih. Datanglah seorang hamba Allah yang kesempitan memohon bantuan atau pinjaman kita. Bagaimana? Jikalau kita menyempitkan laluannya untuk mendapat pinjaman, maka pasti, kita sedang menyempitkan laluan rezeki kita ini. Kalau ada duit lebih, berilah pinjaman atau bantuan. Dia kesempitan, kita kelapangan, menjadi tanggung jawab kita untuk melapangkan laluan rezekinya dengan duit kita itu. Jangan sekali-kali kedekut kerana kedekut itu mengurangkan harta, menjadikan harta kita itu menyiksa kita kembali. Percayalah. Sejarah membuktikan begitu. Sudahlah laluan rezeki sempit, ditambah pula harta yang ada menyiksa diri sendiri.
Bagaimana jikalau benar-benar kita tidak kecukupan wang untuk membantu atau memberi pinjaman? Beritahu dengan jelas dan sertakan dengan kata-kata baik dan doa. Ingat, jikalau ada wang yang lebih dan mampu membantu, memberi pinjaman tetapi mengatakan tidak mempunyai wang, maka tunggulah kata-kata “tidak mempunyai wang” itu akan menjadi kenyataan sama ada lambat atau cepat. Mula-mula rezeki menjadi sempit, lama-kelamaan benar-benar tidak mempunyai wang. Salah siapa? Salah sendiri sebab kita lupa atau tak sedar orang yang datang meminta bantuan atau hendak meminjam itu dihantar Allah SWT untuk menguji kita.
Jangan juga lupa, kadang-kadang bahkan selalunya kata-kata kita sama ada sengaja atau tidak disengajakan telah menyempitkan rezeki orang lain. Kata-kata kita itu didorong oleh rasa iri hati atau perasan, “Aku lebih tahu.” Contohnya, katalah seorang kawan mempunyai idea dan kemampuan untuk memulakan satu usaha. Entah macam mana dia gatal mulut bertanya dengan kawan B. Sepatutnya tak perlu bertanya apa jikalau ilmu dan kemampuan sudah lengkap. Mungkin bertanya itu kerana hendak menunjuk. Kawan B pula jenis “Aku lebih tahu” atau “Kau tahu apa?”. Hanya dengan satu perkataan sahaja, kawan tadi akan menamatkan hasratnya untuk memulakan usaha. Kawan B, acuh tak acuh antara mahu dengan tidak mendengar mengatakan, “Susah…” tanpa dia sendiri tahu bahagian mana yang susah dan bahagian mana yang senang. Perkataan itu keluar dengan spontan kerana sikap buruk, “Aku lebih tahu.” Dia sendiri pun tidak sedar mengapa dia mengatakan, “Susah…” itu. Atau kemudian, selepas menyebut “Susah,” dia akan menambah lagi, memulakan ceramahnya dengan ayat, “Dia gini…”
Patah semangat kawan tadi. Mula memikirkan dan memfokus, “Mengapa aku akan gagal.” bukan “Bagaimana aku boleh sukses.”
Kalau bukan dengan kata-kata, kadang-kadang dengan mimik muka sahaja. Buat tak dengar, memandang ke arah lain, membuat ekspresi muka ‘heleh…’ adalah antara mimik muka yang menyempitkan laluan orang yang sedang bertanya atau begitu ghairah hendak memberitahu usaha yang akan dijalankan.
Tahukah bahawa kawan B tadi sebenarnya sedang menyempitkan laluan orang lain melalui kata-kata. Bahkan sebenarnya dia bukan saja menyempitkan laluan kawan tadi sebaliknya menyempitkan laluan rezekinya sendiri.
Untuk mengelak dari menyempitkan laluan secara sengaja atau tidak sengaja adalah dengan memikirkan dan melakukan sebaliknya. Jangan menyempitkan laluan orang lain, itu saja yang perlu dilakukan. Semak terlebih dahulu: adakah perbuatan, objek, kata-kata saya ini menyempitkan laluan orang lain? Itu saja caranya. Tidak ada cara lain.
Selepas itu, sudah tentu melakukan sebaliknya iaitu memberi dan meluaskan laluan orang. Bagaimana? Apa saja perbuatan, kata-kata yang boleh meluaskan laluan, lakukan! Jikalau anda boleh menyempitkan laluan, sudah tentu anda boleh meluaskan laluan. Sepanjang masa, jadikan ia agenda dan matlamat: tidak ada lain selain hendak meluaskan laluan dan memudahkan laluan.
Sudah berpuluh tahun kita mendengar kata-kata berikut ini, tetapi kita selalu lupa. Mari ingati kembali dan laksanakan setiap hari:
“Apabila kita memudahkan jalan orang, Allah SWT akan memudahkan jalan kita. Apabila kita meluaskan jalan orang, Allah SWT akan meluaskan jalan kita. Apabila kita membantu meringankan beban manusia, Allah SWT akan meringankan beban kita.”