Minggu lepas saya banyak menghabiskan masa di Desq Publishing, turut sama memerah otak untuk menghasilkan majalah perniagaan/keusahawanan yang baru — KARISMA. Saya dilantik menjadi penasihat. Nasihat saya mudah sahaja — siapapun boleh menerbitkan majalah kalau ada duit tetapi tak semua boleh memasarkan majalah secara maksimum. Duit akan habis, majalah tidak dikenali kalau tersilap langkah.
Nasihat saya mudah. Saya membawakan cerita tentang Muhamad Ali terlebih dahulu. Pada mulanya Muhamad Ali memang berbakat besar dalam dunia tinju. Dia begitu ‘stylish’, tetapi cuma satu sahaja masalahnya, iaitu tidak dikenali. Suatu hari ketika beliau hendak ke stesen radio terserempak dengan ahli wrestling yang sedang mengaruk dan menghempas-hempas barang di stesen radio tersebut. Satu nasihat pelik dari ahli wrestling tersebut kepada Muhammad Ali, “Buat kontroversi, macam saya kalau cepat terkenal.” Sejak dari hari itu mulut Muhammad Ali memang celupar, memekak, bising. Mulutnya sama bisa dengan penumbuknya. Sentiasa ada kontroversi mengenai dirinya.
Kontroiversi memang sangat penting untuk menaikkan nama. Kontroversi lebih penting dari publisiti dan iklan. Tapi jangan tersilap langkah. Kontroversi adalah untuk ‘menggilap’ atau mengiyakan apa yang sudah ada. Kalau misalnya cara bertinju Muhammad Ali tidak hebat, sejuta kontroversi pun tidak ada kesan. Buat kontroversi mengenai majalah KARISMA.
Kemudian saya membawakan contoh Airasia. Kebetulan memang saya tahu cerita asal Airasia dari Encik Mukhtaza di NAR Record yang dulu pernah sama-sama bekerja dengan Tony, Aziz, di BMG. Saya juga pernah bercerita selama hampir 2 jam di tepi Pencala Link semasa Aziz Bakar mencari-cari tanah untuk banglonya. Bagaimana syarikat penerbangan yang hampir bungkus dan mengalami kerugian bertahun-tahun akhirnya boleh maju dan hampir menenggelamkan nama MAS. Bagaimana mereka yang sebelumnya berkecimpung dalam bidang muzik boleh menerajui syarikat penerbangan? Bagaimana boleh mendapat keuntungan RM500 pada tahun pertama operasi semuanya saya tanya dengan penuh minat kepada Encik Aziz Bakar. Walaupun tahun pertama untung RM1 tetap mengkagumkan kerana untung RM1 bukan rugi RM1 setelah bertahun rugi ratusan juta. Apa yang menarik, bagaimana dalam usia kurang dari 5 tahun, Airasia sudah menjadi sebut-sebutan? Itu yang hendak ditiru untuk majalah KARISMA.
Sama dengan Muhammad Ali. Buat kontroversi. “Tambang Murah” dilaung-laungkan. Salah? Tak salah…. Memang murah tetapi kena booking dulu mungkin 4 — 5 bulan lebih awal. Pergilah ke kaunter Airasia…. betulkah harga tiketnya lebih murah dari tiket bas? Jawapannya anda akan tahu sendiri. “Now everyone can fly” slogan yang sangat cantik dan tepat. Sebelum ini kononnya hanya golongan berada sahaja boleh naik kapal terbang. Seolah-olah kapal terbang itu kenderaan untuk orang-orang yang elit atau perasan elit sahaja, macam mula-mula telefon mudah alih yang sebesar dan seberat batu bata itu masuk ke Malaysia sekitar 1986. Sekarang anggapan sudah berubah lebih-lebih lagi bila ramai yang mengatakan, “Eh lebih murah dari tambang bas?” Buat kontroversi untuk majalah KARISMA.
Bagaimana pula dengan NTV7 yang muncul entah dari mana-mana tiba-tiba menjadi kuasa penyiaran yang mampu mengalahkan TV3, apatah lagi RTM. Kontroversi. Sebelum membuat kontroversi, pastikan diri layak untuk kontroversi tersebut. NTV7 layak. Dengan adanya rancangan kontroversi “Edisi Siasat” lagilah nama NTV7 makin menjulang. Dalam dunia media ada satu petua iaitu, “No News Is Good News”. Maknanya pembaca, penonton taknak berita baik?. Penonton, pembaca suka berita buruk yang penuh kontroversi. Orang kena tanduk kambing is good news. Orang menanduk kambing is bad news. Inilah yang disukai. Jadi NTV7 menggunakan sikap naluri semulajadi manusia yang sentiasa hendak tahu dan suka berita-berita buruk.
“Mydin murah, Mydin murah….” tercetuslah iklan dari mulut ke mulut (percuma) menyebabkan gedung Mydin tak pernah sunyi dari pembeli. Pernah melihat Mydin lengang? Selama setahun sahaja, pada awal pembukaan, perkataan Mydin murah berkumandang di udara bertlegar di antara manusia-manusia, menyebabkan di dalam fikiran tertanam, “Mydin Murah”. Kalau nak cari barang murah, carilah di Mydin. Betulkah murah? Memang murah. Sepit rambut, bekas air, atau benda-benda yang kita tak mati kalau tak beli memang murah. Tapi oleh kerana sudah tercetus kontroversi Mydin Murah, tetap menganggap murah sehingga terlupa, tambang, parking, minyak, masa, berasak-asak, kena seluk, dan lain-lain. Kontroversi lebih penting dari publisiti kerana kontroversi boleh menghasilkan publisiti, sedang publisti belum tentu boleh menghasilkan kontroversi.
Sebelum ada Google, kita biasa dengan Altavista, MSN Search. Tapi sejak munculnya Google, ke mana perginya enjin pencari yang lain? Tak lama; dalam masa yang singkat, Google telah mencipta nama. Penciptanya tiba-tiba menjadi billionaire. Itu baru betul menjadi jutawan melalui internet ? bukan menjual kerepek melalui internet tetapi menjadi sebahagian dari internet. Kekal ? rahsia Google ialah kontroversi. Carian Google memang berkualiti kerana itu berani untuk membuat kontroversi. Apa kontroversinya? Menjadi sebut-sebutan kerana kualiti dan kepantasan cariannya. Dalam masa yang sama publisiti amat meluas. Dihebohkan pula pencipta dan pemegang sahamnya menjadi billionaire di majalah-majalah utama seperti Fortune, Forbes, Time, Newsweek, Business Weekly. Kontroversi menghasilkan publisiti dan publisiti pula menambahkan kontroversi. Anda mesti pandai mencipta kontroversi. KARISMA mesti menjadi kontroversi atau akan berkubur dikalahkan oleh penanding.