Setiap kali lalu di salah sebuah restoran, saya pasti tak tahan menghidu bau busuk, melihat suasana tunggang terbalik dan pekerja-pekerjanya yang tidak ada sivik.
Pendek kata kalau tak ada yang ajak atau nak belanja makan tak mungkin saya duduk makan di kedai tersebut. Melainkan saya akan mati kebuluran barulah saya masuk ke kedai yang tunggang terbalik, panas, pengap, busuk, menjijikkan itu. Setiap kali lalu, pasti terlihat pekerjanya berebut-rebut nak duduk di kaunter, konon nak menunjukkan kepada umum dialah tauke, atau taukenya sedang mengira duit. Pandangan yang lazim.
Saya bertanya kepada kawan saya, “Mengapa restoran ini macam tak pedulikan apa-apa? Dibiarkan tunggang terbalik? Tak pernah nak buat dengan sehabis baik?” Tak ada jawapan. “Sebab tak ada pesaing. Ikan di kolam akan lebih sihat kalau ada ular.” Kalaulah ada penanding di sebelahnya, pasti tauke kedai tersebut akan kelam kabut. Bukan kelam kabut hendak memperbaiki keadaan, sebaliknya kelam kabut berulang-alik rumah bomoh. Budaya pekedai Melayu, bomoh diutamakan.
Bukan kata nak mempertingkatkan keadaan — memberi didikan sivik kepada pekerja, meningkatkan tahap kebersihan kedai, persekitaran dan pekerja, memberi layanan terbaik, meningkatkan kualiti, tetapi sibuk di mana nak tanam tangkal di kedai penanding. Bukahkah itu sememangnya budaya kebanyakan pekedai Melayu sejak dahulukala? Bomoh sentiasa tersenyum kegembiraan sebab masih ada manusia yang boleh ‘disembelih’.
Pesaing amat penting. Pesaing menjadikan maju. Perhatikan, di mana ada KFC, sebelahnya mesti ada McDonald. Persaingan yang sihat. Kedua-duanya sama-sama maju. Kemudian pergilah ke Pertama Kompleks atau Plaza Sungai Wang, lihatlah sendiri. Lebih 300 gerai telefon bimbit bersaing, tanpa dengki mendengki. Bukankah itu budaya peniaga Cina? Berbezakah dengan peniaga Melayu? Bagai langit dan bumi! Pandai marah pulak kalau Cina jauh lebih maju ke depan?
Budaya peniaga atau usahawan Cina, masing-masing bersaing untuk kemajuan bukan untuk menjatuhkan yang lain. Di mana-mana ada persaingan kerana persaingan itu penting kalau tahu kepentingan pesaing. Yang tak ada persaingan cuma kedai jual keranda. Yang saya tahu cuma ada dua ? satu di Jalan Bandar dan satu lagi di Jalan Pahang, sebelah Restoran Yusof Haslam.
Kebanyakan orang Melayu, bangsaku sendiri, memang tak pernah bersedia bila menceburi perniagaan. Amalan mereka adalah, “Hanya kerana”. Hanya kerana orang lain buka restoran, dia pun nak buka restoran. Hatta, mereka tak pernah tahu apa beza perniagaan atau berjualan. Yang telah menjadi korporat atau sekurang-kurangnya berniaga besar, tak pernah bersedia untuk membimbing peniaga yang terhegeh-hegeh baru nak naik. Budaya peniaga atau usahawan Melayu, begitulah.
Contoh lagi: satu ayat sangat lazim bila membeli di kedai atau gerai Melayu tetapi tak pernah kedengaran di kedai Cina ialah: “Ada duit kecik?” Ayat yang sangat lazim, terlalu lazim dan telah pun menjadi budaya peniaga Melayu sepanjang zaman. Adakah mereka bersedia? Kalau bersedia, pasti telah menyediakan wang siling, jadi tak payahlah meminta, “Ada dua puluh sen tak?” Dengan mudah saya menjawab, “Kamu yang kena sediakan sebab kamu yang menjual. Saya dah bagi RM10 nak 20 sen lagi?”
Satu lagi kelaziman yang pasti anda lihat ialah mengira duit. Setiap kali saya lalu di depan gerai atau kedai, pasti akan terlihat seseorang di kaunter sedang mengira duit. Pernahkah anda melihat tauke Cina mengira duit di kaunter bagai orang yang kemaruk duit, tak pernah tengok duit atau terkena badi duit? Nampaknya hanya sebahagian besar peniaga Melayu sahaja yang sangat rajin mengira duit di kaunter. Bukankah nanti bila pulang ke rumah boleh dikira? Mereka tak pernah bersedia untuk mengira duit bukan pada waktu berjualan. Mereka tak pernah bersedia. Kalau bersedia pasti mereka akan sentiasa peka dengan kehendak dan kepentingan pelanggan. Pelanggan adalah keutamaan. Kerana pelangganlah kedai dibuka. Jadi, tak bolehkah mengutamakan pelanggan dan memenuhi kehendak pelanggan?
Pelanggan hendakkan kedai yang bersih, selesa — berikan suasana yang bersih dan selesa. Pelanggan tak suka melihat pekerja yang tak ada sivik ? didik pekerja supaya mengamalkan sivik dan sopan santun. Pelanggan nak servis kelas pertama — berikan servis kelas pertama. Pelanggan tak suka melihat sesiapa saja duduk mengira duit di kaunter, jadi kiralah duit di rumah. Tak ada pelanggan tak akan ada perniagaan. Mereka tak pernah bersedia untuk berniaga. Adakah mereka bersedia? Kalau bersedia tentu mereka mempelajari pelbagai ilmu perniagaan sebelum mendaftar perniagaan. Mereka ?main masuk? sahaja. Kalau hendak menjawat jawatan yang bergaji kurang dari RM2,000 sanggup belajar berpuluh tahun dari tadika ke universiti, mengapa kalau hendakkan pendapatan berpuluh kali ganda tak pernah hendak belajar? Mereka tak pernah bersedia. Tapi mereka memang sentiasa bersedia untuk memperolehi hiburan, bukan untuk memperolehi ilmu perniagaan. Mereka juga lebih bersedia ke rumah bomoh berbanding bersedia sejak awal sebelum ada penanding. Mereka sentiasa bersiap sedia untuk menanam tangkal di depan kedai penanding berbanding “Menggali telaga sebelum kehausan.”