Razzi Armansur

Amaran-amaran Bisnes

Razzi Armansur menulis: Jangan mulakan bisnes sebelum benar-benar bersedia dan berilmu. Bukan untuk menakutkan tetapi dalam bisnes ada banyak gaung. Mesti tahu cara mengelakkan gaung, barulah sampai ke matlamat.

Buku “Memulakan Bisnes Sendiri” karya Canselor Universiti PTS dan Pengerusi PTS, Puan Ainon Mohd ini sangat anda perlukan jika matlamat anda adalah busnes dan usahawan. Oleh kerana sekaum, saya memanggilnya Mbakyu (panggilan hormat untuk kakak dalam bahasa Jawa).

Saya sudah selesai membaca buku tersebut dan sangat mengesyorkan anda membacanya jika mahu memulakan bisnes. Baca dan amalkan. Dipenuhi dengan tip, ilmu, panduan, pengetahuan dan ilmu yang sangat anda perlukan untuk memulakan dan meneruskan bisnes. Apa yang sangat penting sekali ialah amaran-amaran supaya anda tidak jatuh ke dalam gaung, sebagaimana yang lain — main terjah saja — orang bisnes, dia pun bisnes, bila kita jengok, dia sudah berada nun jauh kat bawah sana — dalam gaung. Bila kita cuba memberikan sedikit panduan, katanya, “Kau ni siapa?” Sekarang bila sudah berada di dalam gaung, tanyalah, “Apa khabar?”

Buku ini berdasarkan “real life”. Banyak idea-idea bernas di dalamnya yang selama ini kita anggap remeh. Sesungguhnya tidak ada yang remeh dalam bisnes. Batu kecil yang anda anggap remeh, jika tersandung boleh menyebabkan anda jatuh gaung.

Inilah yang kita pelik dan semakin pelik. Hendak makan gaji dengan gaji bawah RM2,000 sanggup belajar dari Tadika hingga ke Universiti. Hendak berniaga, sehari pun tak mahu belajar. Jadi, kalau lebih ramai orang Melayu yang gagal dalam bisnes berbanding yang berjaya, layak atau tidak?

Pelik atau tidak, kalau hendak mengadakan kenduri kahwin persiapannya sampai setahun tetapi bila hendak bisnes, persiapannya zero? Tak perlu berasa hairan memandangkan jumlah kegagalan bisnes Melayu makin bertambah hebat. Kalaulah begitu teliti sama seperti persediaan mengadakan perkahwinan, pasti tidak ramai yang gagal dalam bisnes.

Di dalam buku ini, dibuktikan mitos-mitos lama yang sememangnya hanya mitos. Kepercayaan lama, “Cina menipu” adalah tidak benar. Saya sendiri ramai berkawan dengan usahawan Cina yang mana mereka jauh lebih jujur dan menepati janji. Saya sangat bimbang dengan branding yang sedang dicipta, “Melayu menipu”. Sekarang ini pun sudah mula terasa, bila hendak membuat sesuatu, kita mencari usahawan Cina terlebih dahulu. Usahawan Melayu terutamanya yang berlegar di Medan MARA itu semakin dihindari kerana takut berurusan dengan mereka (takut terkena).

Pada penghujung buku ini ada bab yang sangat penting iaitu cara mencapai GOL atau matlamat dalam bisnes. Ini sangat penting sekali kerana kebanyakan peniaga Melayu tidak mempunyai matlamat. Tak percaya, tanyalah, pasti anda akan mendengar jawapan yang agak sayu, “Ala cukup makan sudahlah… buat apa nak kaya… bukan boleh bawa mati.” Kata-kata yang merosakkan dan membawa imej buruk kepada seluruh kaum usahawan Melayu. Kalau itu matlamat atau GOL, itulah yang diperolehi. Bukan kejayaan yang menjadi matlamat sebaliknya matlamatnya ialah gagal dan kecil-kecilan.

Menurut Nazrul (buku ini diterbitkan oleh PTS PRO) buku ini laris dan cetakan pertama habis dalam masa yang singkat. Jika anda tidak menemui buku ini di rak buku kedai-kedai buku, anda boleh mendesak agar mereka (PTS PRO) menyegerakan cetakan berikutnya. Buku sebagus ini mesti dimiliki segera!

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.