Razzi Armansur

Pernah baca ‘Aku Di Sebuah Pulau’?

Saya masih lagi mencari buku klasik “Khalilah dan Dimnah”. Memang terlalu klasik. Bukunya sangat tebal terjemahan dari bahasa parsi. Kisahnya berkisar pada dunia haiwan. Dalam satu bab ada berpuluh-puluh cerita lain — cerita dalam cerita dalam cerita.

Contohnya: pokok cerita asal adalah Dimnah di penjarakan kerana memfitnahm kemudian masing-masing menceritakan cerita. Di dalam cerita itu ada lagi berlapis-lapis cerita. Bukan cerita kosong macam novel jiwang atau penglipurlara tetapi cerita mengandungi mutiara yang sangat berguna untuk panduan hidup.

Cuma sekarang ini di mana saya hendak mendapatkan buku tersebut. Pernah mencari di perpustakaan negara, ditunjukkan buku dengan tajuk saya sama tetapi nipis dalam bahasa jawi. Bukan itu. Buku itu saiznya macam novel jiwang, menggunakan kertas bulky, tebal lingkungan 800 hingga 1000 muka surat, masih menggunakan ejaan lama. Contoh ejaan lama: cantik dieja chantek.

Saya juga pernah mencari di arkib negara. Tak ada. Atau mungkin saya tak pandai mencari agaknya. Kemudian saya menulis kepada penerbitnya: pustaka nasional di singapura — yang peliknya mereka sendiri tidak tahu mereka pernah menerbitkan buku tersebut. Saya masih ingat logo penerbit buku tersebut: gambar buku terbuka, di tengah-tengahnya ada keris. Logo pustaka nasional. Kalau gambar pelita aladin menyala, itu logo sinaran bros, pulau pinang, antara penerbit buku tertua di malaysia. Slogannya, “Tak Kunjung Padam.” Memang tak pernah padam, sampailah ke hari ini.

Mesejnya? Mudah saja, industri buku adalah industri yang kekal sepanjang zaman dan selamat. Ada orang kata, ia industri “tak ada lantai” — maksudnya tak ada had — selagi masih ada bulan dan bintang.

Bagaimanapun, dalam setiap industri, ada yang cuba merosakkannya. Dalam industri buku yang murni ada yang cuba mencemarkannya — sepanjang zaman. Contohnya: pada tahun 80’an industri buku dibanjiri dengan cerita-cerita seks yang memang laris dan merosak akal remaja dan anak-anak muda. Orang tua pun. Buku-buku seks dan lucah seperti karya cikgu Sabar Bohari memang laris tetapi ia merosak. Selepas itu muncul cerita tahyul seperti “Bersembang dengan Jin”. Pun merosak, menanam budaya takut. Kemudian muncullah novel-novel jiwang sangat laris tetapi memberi impak negatif. Menjelang 90’an dan millenium pun ada juga yang merosak. Skopnya berbeza — mengenai kewangan. Dalam kewangan, yang sangat penting ialah f & f (fact and figure). Kebanyakan buku yang merosak dalam kewangan adalah berbentuk penglipurlara

Satu lagi buku klasik yang sangat saya sukai ialah buku “Aku Di Sebuah Pulau” terbitan DBP. Buku yang sangat menarik mengandungi 10 cerpen (cerita pendek. Majalah gila-gila dulu cipta, “cerpus” — cerita kampus), kalau tak silap. Dimulakan dengan cerita “Aku Di sebuah Pulau” — mengisahkan sebiji kelapa yang hanyut, pengalaman-pengalaman hanyut kemudian terdampar di pulau dan tumbuh sebagai pohon kelapa. Putaran hidupnya, nanti akan ada juga sebiji kelapa dari pohon itu hanyut dan tumbuh di pulau lain. Menarik sekali.

Di dalam buku tersebut, paling saya suka ialah cerita, “Memutihkan Burung Gagak” karya Aziz Jahpin. Kisah seumpamanya masih terus berlaku sehingga kini kerana kita sebenarnya hanya mengulang sejarah. Saudara A meminjam wang dari saudara B untuk belanja perkahwinan. Janjinya akan segera dipulangkan selepas selesai kahwin. Saudara B tak ada duit pergilah mengusahakan meminjam dari ceti. Selepas kahwin terus lesap. Kerana tak tahan lagi, pergilah ke rumah saudara A untuk mendapatkan hutang. Kena serang oleh emak A, “Kau ajar anak aku pinjam dengan ceti! Kalau kau tak pinjam dengan ceti, anak aku tak terlibat dengan hutang!” Lebih kurang begitu. Sekarang, siapa sebenarnya yang meminjam dan melepaskan diri dari berhutang dan siapa yang menanggung hutang. Persamaannya: zaman sekarang, ramai sangat yang melepaskan diri dan membebankan kesalahan itu kepada yang menolong. Contoh mudah, “Kalau kau tak bagi pinjam kereta, aku tak terlibat dalam kemalangan.” Atau, “Kalau kau dulu tak bagi pinjam modal, aku tak jadi bangkrap.” Biasa mendengar dan melihatnya begitu? Kita hanya mengulang sejarah. Dalam psikologi NLP ia disebut, “reframing”.

Di hujung cerita itu ada kata-kata shakespeare, “meminjam jangan, memberi pinjam pun jangan, nanti kawan menjadi musuh.” Kebenarannya memang begitu, berulang-ulang selagi belum kiamat. Cuma, kita ini selalu sangat terlupa.

Di dalam buku tersebut juga sudah diajar tentang bisnes dalam cerita yang berjudul, “Perlumbaan Wang Seringgit”. Jadi, siapa kata hanya masyarakat sekarang sahaja yang tahu bisnes? Tahu dengan pandai dua perkataan berbeza.

Dunia ini kecil sahaja. Saya membaca cerita di dalam buku itu semasa kecil dahulu. Satu lagi cerita yang menarik ialah, “Hidup Ini Susah.” Pada zaman itu kata-kata begitu mungkin biasa, tetapi untuk zaman sekarang, jangan sebut begitu kerana itu adalah doa dan juga ‘mindset’. Sepanjang hidup boleh susah. Kisahnya hampir seperti “Putih Bunga” yang juga terdapat di dalam buku tersebut. Cerita “Hidup Ini Susah” mengisahkan kisah hidup Dr. Bibah yang bersusah-payah hingga berjaya menjadi doktor medik.

Cerita karya Mohd Noor Azam ini memang mampu memberikan inspirasi. Cuma judulnya yang berbentuk “affirmation” itu kurang sesuai. Suatu malam, di dalam masjid Sungai Pencala, berpuluh tahun sesudah saya membaca cerita tersebut, saya bertemu dengan penulisnya. Pada mulanya saya main agak-agak saja. Asalnya dia seorang cikgu dan sangat gemar membaca, kemudian meningkat menjadi setiausaha media Mahathir, selepas itu menjadi usahawan yang sangat berjaya. Pernah memiliki bank UMBC dan Pengerusi TV3. Hari ini kerjanya hanya melancong dan ke masjid. Namanya serupa dengan nama pengarang “Hidup Ini Susah.”

“Apa khabar Dr. Bibah, Datuk?” Tanya saya kepada Datuk Noor Azam. Dia terkejut, maknanya tekaan saya benar belaka. Bila saya menyebut judul tersebut, beliau gelak besar dan bertanya kembali, “Macam mana boleh tahu ni?” Saya bertanya lagi, “Dr. Bibah itu wujud atau tidak.” Dr. Bibah itu adalah isterinya. Bukan Dr. Dan cerita tersebut ditulis ketika sedang bercinta, zaman muda-muda dulu. Mesejnya: apa yang anda tulis pada hari ini, suatu hari nanti akan ada orang yang menemui anda bertanya tentang tulisan anda. Suatu hari itu mungkin 10, 20, 50 tahun akan datang.

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.