Semalam bertemu dengan Nazrul, Pengarah Urusan PTS Profesional. Sambil berurusan sambil melihat beliau menyenaraikan judul-judul buku bisnes, inspirasi yang dirancang untuk diterbitkan pada tahun 2007. Judul, frame, standard telah disediakan, penulis dicari, dididik untuk menulis judul-judul tersebut. Atau kalau berkemampuan, penulis yang sedia ada, yang pernah menghasilkan buku bersama PTS bolehlah menghantar manuskrip.
Bila saya berhasrat untuk menerbitkan semula buku-buku inspirasi yang saya tulis dalam bentuk fiksyen, Nazrul berhajat untuk melihat dan menilainya. Jika sesuai diterbitkan, akan diterbitkan semula. Buku yang saya maksudkan:
- Rahsia Dari Damansara: Kisah anak muda mendapat 19 Rahsia Kewangan, diamalkan.
- Mendaki Puncak Kejayaan: Kisah 5 sahabat mendaki Bukit Jugra di Banting — dijadikan iktibar untuk mendaki puncak kejayaan.
- Misi Orang Kaya Baru: Kisah tukang gunting menjadi kaya. Memang agak karut tetapi itulah kenyataannya.
- Kampung Kaya: Bagaimana sebuah kampung daif miskin berubah menjadi Kampung Kaya setelah mengusahakan perusahaan sekaya.
Soalnya sekarang, saya tidak ada lagi buku-buku tersebut. Tak ada simpanan. Teks asal pun dah tak ada. Inilah kelemahan saya. Dan juga salah saya — banyak buku-buku asal saya, buku-buku klasik yang amat sukar ditemui kebanyakannya dipinjam orang. “Pinjam ye…” Elok saja ganti dengan “Ambil ye…” Di mana nak cari buku klasik terbaik “Khalilah dan Dimnah”? Penerbitnya ada lagi — Pustaka Nasional Singapura. Bagaimana dengan novel karya Awang Had Salleh — “Biru Warna”? Kira macam P. Ramlee — skrip-skrip filem lama sudah hilang entah di mana-mana. Sebab itulah tak ada skrip atau screenplay di Pustaka Peringatan P. Ramlee.
Suatu masa dulu semasa belajar hal-hal penerbitan, singgah masuk ke pejabat pelakon terkenal Ahmad Mahmud, yang bersebelahan dengan pejabat typesetting, di Pantai Bharu. Setiap hari berulang-alik dari Banting ke Kuala Lumpur — kalau lewat, tak ada bas ekspres untuk balik ke Banting (tamat pukul 11 malam — sampai Bandar Banting dalam pukul 12 malam, jalan kaki lalu estet balik ke Sungai Lang — advanture), tidurlah kat mana-mana di KL — semata-mata untuk belajar. Bertemulah dengan penulis-penulis besar seperti Khadijah Hashim. Di pejabat Ahmad Mahmud itu terlihatlah skrip-skrip filem lama yang tersusun rapi dan dijaga dengan elok. Pernah melihat ribbon mesin taip berwarna hijau? Biasanya hitam dengan merah tetapi kali ini hijau. Skrip filem klasik “Isi Neraka” ditaip dengan menggunakan ribbon berwarna hijau. Jangankan ribbon, mesin taip pun generasi sekarang sudah tak kenal. Semasa menulis ini, saya bertanya kepada anak bongsu Ezika Armansur, “Kenal disket?” Dah tak kenal. Jangankan ribbon dan mesin taip, disket pun dah tak kenal. Padahal, dengan mesin taip itulah ayahnya ini memulakan karier sebagai penulis.
Lepas ditaip tak tahu macam mana nak jadikan ia sebagai buku. Merayau belajar cara menjadikan ia sebagai buku. Langkah pertama ialah typesetting — menjadikan tulisan mesin taip itu kepada typesetting dalam bentuk bromide. Bromide itu ditampal dengan cermat dan tepat di atas satu kertas khusus sebelum dihantar ke pencetak.
Seniman Ahmad Mahmud begitu baik hati mengizinkan saya fotostat lakonlayar filem “Ranjau Sepanjang Jalan.” Lakonlayar oleh Jamil Sulong. Ahmad Mahmud berlakon sebagai “Lahuma” Dari situ saya belajar cara nak buat lakonlayar. Memang begitulah, kalau saya hendak, saya akan belajar tak kira dari sesiapa pun. Sebab itu juga saya marah benar kepada siapa pun, sama ada anak sendiri, kalau enggan belajar dan nak semuanya terhidang di depan mata. Manusia mencari ilmu, bukan ilmu mencari manusia. Bagaimana dengan adanya internet yang berkunjung ke Malaysia mulai 1990? Ilmu mencari manusia atau masih manusia mencari ilmu?
Ingatan kembali ke Bangunan Pantai Bahru, di depan Plaza Pantai (LRT). Di situ dulu dikatakan kegiatan ekonomi orang-orang Melayu. Di situ ada Syarikat Azam (saya rasa wujud sampai hari ini) — bisnesnya servis mesin taip ke sekolah-sekolah dan jabatan kerajaan di samping menjadi pembekal peralatan pejabat. Di situ juga saya kenal dengan UDA-Sinbor (menjual peralatan), Pantai Bharu Leasing dan di belakang sana, “Knight Publisher” penerbit melayu yang agak terkenal kerana terkenal dengan penerbitan lucah dan semi-lucah. Dalam masa yang sama terkenal dengan buku-buku masakan. Pengarah merangkap penulisnya ialah Helmy — walaupun menulis dan menerbitkan buku-buku seks, khabar yang bertiup kencang, akhirnya ditinggalkan isteri. Selang beberapa tahun kemudian beliau melolong-lolong, menjadi gila dan terpaksa dirantai.
Jadi, pada masa itu setiap kali ke Kuala Lumpur, memang tak lengkap kalau tidak singgah ke Bangunan Pantai Bharu. Ada satu tarikan mengapa saya suka sekali ke situ — dikatakan sebagai pusat kegiatan ekonomi orang Melayu dan dalam masa yang sama — mudah saya berurusan di situ — ada typesetting, pencetak, pengedar. Sesekali melihat gadis-gadis sekolah lawa-lawa, bertudung hitam dari Yayasan Anda yang diterajui oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Majalah Gila-Gila baru bermula. Tanpa segan silu, kerana hendak belajar saya masuk ke pejabat kecil mereka di situ, bertemu dengan Zainal Buang Hussin, Jaafar Taib. Mereka banyak membantu dengan memperkenalkan kepada saya Haji Aris. Di situ jugalah dulu saya kenal dengan dunia penerbitan. Saya sangkakan, penerbitan mestilah lengkap — ada mesin cetak yang berharga ratusan ribu itu. Rupanya tak perlu. Setiap sesuatu ada peranan masing-masing. Penulis dengan peranananya, penerbit dengan peranannya begitulah juga pencetak dan pengedar.
Orang yang banyak mengajar saya ialah Haji Aris, menantu Seniman Ahmad Mahmud. Beliau pemilik syarikat Aris Typesetting yang terkenal di era tersebut. Pada masa itu typesetting tidak semudah hari ini — menggunakan DTP dan program Pagemaker, Framemaker dan sebagainya kemudian tukar kepada PDF dan hantar kepada pencetak.
Keterangan: Buku saya ada di Ebay. Tak tahu siapa yang menjualnya. Memang saya nak beli sebab saya sendiri tidak ada simpanan buku tersebut.
Jika hendak tahu, memang prosesnya sukar. Tulisan yang kita taip akan ditaip semula dan kemudian keluar dalam bentuk bromide. Bromide ini lebih kurang macam kertas foto tetapi nipis. Ia akan keluar memanjang, kita potong-potong mengikut saiz panjangnya buku. Ia kemudian dilekatkan di atas kertas khas yang bergaris dan menggunakan gam “Cow”. Saya bertanya bertalu-talu tentang penerbitan (lebih-lebih lagi typesetting) dan beliau mengajar saya dengan sabar. Saya sangat terhutang budi kepada beliau. Itulah secebis kenangan bagaimana susahnya untuk menyediakan bahan “pre-press” pada masa dahulu tetapi jangan sekali-kali lupa, bagaimana bermutunya buku-buku lama seperti buku “Revolusi Mental” karya Datuk Senu Abd Rahman.