Hati tertanya-tanya, adakah kita ini dikasihi, disayangi. Hati juga tertanya-tanya, adakah kita ini tidak dikasihi dan tidak disayangi. Kalau disayangi, beruntung dan menjadi inspirasi untuk berusaha supaya lebih disayangi lagi. Bagaimana jikalau tidak disayangi? Apa ikhtiar supaya dikasihi dan disayangi? Adakah semua jangan sudah buntu supaya kembali disayangi, dikasihi?
Maksudnya, bukan disayangi dan dikasihi manusia. Yang dimaksudkan disini ialah disayangi Allah. Allah ituj Maha Pemurah lagi Maha Penyayang tetapi mengapa kita terlepas dari dikasihi dan disayangi? Bagaimana mahu mengetahui kita ini disayangi Allah atau sebaliknya?
Dari bacaan Bismillah… kita mengetahui bahawa Allah swt itu Maha Pemurah. Kerana amat, Maha, maka semua makhluk, hamba-hambaNya diberi rezeki yang banyak, bahkan berlebih-lebih, lebih dari cukup. Siapa yang nak lebih , mesti beruysaha lebih. Yang tak terdaya hendak berusaha seperti batu-batan, pokok-pokok, tetap menerima rezeki yang banyak dari Allah swt. Islam atau bukan Islam, percaya atau tidak percaya Allah, tetap mendapat rezeki kerana Allah swt itu Maha Pemurah. Syaitan, Iblis, yang menentang Allah, tetap memperoleh rezeki, asalkan berusaha mendapatkan rezeki yang amat banyak di sekeliling. Itu tandanya Allah Maha Pemurah.
Bagaimana dengan Maha Penyayang di penghujung Bismillah. Tidak semua orang mendapat kasih sayang dan disayangi Allah, tetapi semua orang berpeluang mendapat kasih dan sayang dari Allah swt, setelah mendapat limpah pemurah Allah. Tidak ada siapa dapat membayangkan bertuah dan beruntungnya manusia yang dikasihi dan disayangi Allah. Adakah mudah untuk mendapat kasih sayang Allah? Jikalau mudah, tidak perlulah berusaha untuyk mendapat kasih sayang Allah. Perkara yang amat besar, bolehkah diperoleh tanpa berusaha? Bayangkan anda mahu mendapatkan jutaan ringgit (sesuatu yang amat besar dan sukar) tetapi tidak mustahil — adakah senang saja usaha anda untuk mendapatkannya? Atau adakah tanpa usaha, duduk-duduk boleh dapat wang sebanyak itu? Begitulah juga untuk mendapatkan kasih sayang Allah, bukan mudah, malah amat susah tetapi boleh dan tidak mustahil sama-sekali.
Bagaimana hendak mengetahui kita ini dikasihi dan disayangi Allah atau sebaliknya — tidak disayangi dan dikasihi, malah dibenci, dimurkai dan tidak dipedulikan. Ikuti cerita ini. Cerita ini diambil dari buku Fikah Harian karya Dato’ Dr. Harun Din.
Seorang sahabat bernama Zaid Alkhair bersusah-payah datang dari jauh bertanyakan kepada Rasulullah,apakah tanda-tanda seseorang itu dikasihi Allah. Rasulullah menyoal kembali, “Apakah yang terlintas di fikiran saudara apabila bangun tidur dan apakah yang saudara ingat sepanjang masa?” Zaid menjawab, “Saya sentiasa memikirkan kebaikan, mengingati kebaikan, suka kepada orang yang melakukan kebaikan dan saya berusaha untuk melakukan kebaikan sepanjang hayat saya.”
Rasulullah saw menjawab kembali, “Ya! Itulah tanda-tanda seperti orang yang dikasihi Allah. Sebaliknya apabila seseorang itu sentiasa ingat dan berfikir ke arah kejahatan dan kemungkaran serta sering melakukannya, maka itu menunjukkan orang seperti dibenci Allah.”
Mudah saja bukan? Kalau bangun tidur sahaja memikirkan kejahatan, keburukan manakala hati dan fizikal sentiasa terdorong untuk melakukan keburukan dan kejahatan ditambah pula sentiasa bergaul dengan orang-orang yang menjadikan keburukan dan kejahatan sebagai amalan hidup, sahih, sah, memang manusia yang dibenci Allah swt. Malang beribu-ribu juta malang di atas muka bumi dan di akhirat apabila sekarang ini dibenci Allah. Namun, kerana Allah Maha Pengasih dan Penyayang, kita sentiasa diberi peluang untuk bertaubat dan taubat kita sentiasa diterima selagi nyawa belum sampai di kerongkong.
Jadi, jawab dengan jujur sejujur-jujurnya, di manakah kedudukan kita? Terdorong kepada kebaikan atau terdorong kepada kejahatan dan keburukan? Hanya kita yang tahu ke mana arah tujuan pemikiran dan perbuatan kita setiap hari.Dengan menjawab jujur, kita akan tahu sama ada kita sedang dikasihi Allah atau sedang dibenci dan dimurkai Allah. Adakah kita akan meneruskan lagi, jikalau kita sedang dibenci Allah? Sudah tentu kita akan menambahkan lagi supaya lebih, lebih, lebih dikasihi Allah, apabila sekarang ini sedang di kasihi Allah.
“Sesungguhnya Allah mengasihani orang yang berbuat kebaikan” (al-Baqarah: 195)
Ke mana fokus kita ke situlah perbuatan kita. Oleh kerana fokus kita hanya kepada kebaikan sudah pastilah perbuatan kita akan hanya kepada kebaikan di mana akhirnya membawa impak kebaikan. Kebaikan akan menarik kebaikan dan juga menghasilkan kebaikan. Seluruh kehidupan kita di atas muka bumi ini depenuhi dengan kebaikan dan semoga di akhirat pun sama. Bukankah itu matlamat kita? Siapa yang mahu hidup di dunia dan akhirat diselubungi keburukan dan kejahatan?
Pada bahagian mana yang perlu kita fokus supaya memikirkan kebaikan dan terus melaksanakan kebaikan supaya diselubungi dengan kebaikan?
- Hubungan dengan Allah, sentiasa dipertingkatkan. Jangan, jangan, jangan sesekali renggang dari Allah. Jangan! Jangan! Jangan! Sebaliknya sedaya-upaya walau apa cara sekalipun cari jalan dan cara supaya rapat, dekat dengan Allah swt.
- Hubungan sesama manusia. Hubungan yang berlandaskan kebaikan. Berbuat baik kepada manusia-manusia yang kita kenali dan tidak dikenali. InsdyaAllah, jkalau fokus kita kepada kebaikan semata-mata, Allah akan temukan kita dengan manusia-manusia yang baik dan sealiran dengan kita (Burung sejenis terbang bersama).
- Hubungan dengan alam sekitar. Sentiasa berbuat baik untuk menambah kebaikan ‘rumah’ kita ini iaitu alam sekitar. Jangan mencederakan, merosakkan alam sekitar.
- Bekalan ke alam baqa, jangan, jangan, jangan, jangan sesekali diabaikan walau seminit pun. Setiap saat mendekatkan kita kepada alam baqa bukan menjauhi, jadi, mengapa tidak menyediakan bekalan supaya kita beroleh kebaikan berpanjangan di alam baqa?
Peringatam kepada diriku sendiri dan sahabat-sahabat — sama ada hendak dikasihi Allah atau dibenci, ia adalah pilihan kita sendiri. Semestinya tidak boleh menyesali atas pilihan kita itu.