Razzi Armansur

Ada 20 sen?

Razzi Armansur menulis: Nampaknya, untuk sesuatu yang lagha dan supaya dipandang gah, persiapannya memang rapi, bahkan sangat rapi. Untuk majlis perkahwinan misalnya, masa yang diambil untuk bersiap sedia, selalunya mengambil masa setahun. Kalau yang nak kahwin itu penyanyi atau pelakon, persediaan termasuklah publisiti kelentong jumlah hantaran dan jumlah perbelanjaan yang kononnya jutaan ringgit (atau realitinya: jutaan rupiah, rupee, taka). Wujud dan kekalnya kaki kelentong adalah kerana wujud dan kekalnya manusia yang rela dikelentong

Perhatikan pula untuk perkara yang lebih utama dalam hidup ini. Pernahkah membuat persiapan atau bersiap sedia sebagaimana majlis perkahwinan tersebut? Jarang sekali orang yang bersiap sedia untuk perkara yang amat penting dalam kehidupan ini. Bahkan lebih ramai yang tidak tahu bahawa segala tindakan di muka bumi ini perlu bersiap sedia.

Contoh yang paling mudah ialah peniaga-peniaga Melayu. Apabila anda membayar RM1, RM5, RM10 atau RM50, mereka akan meminta lagi, “Ada 20 sen?” Sudah beri RM10, meminta lagi 20 sen. Apa maknanya? Maknanya mudah saja — tidak bersiap sedia untuk berkedai atau menjual. Jikalau bersiap sedia pasti telah menyediakan ‘duit kecil’ untuk tukaran, jadi tdaklah meminta dengan ayat yang menyakitkan jiwa, “Ada duit kecil tak?”

Mengapa apabila anda membeli dari kedai Cina tidak kedengaran langsung ayat meminta wang kecil itu? Kerana mereka telah bersiap sedia sebelum membuka kedai. Mereka telah menyediakan setimbun wang syiling. Perhatikan.

Ada pula orang yang menyangka dirinya pandai atau memandai mengatakan, “Kalau sudah tahu peniaga Melayu begitu, pembeli perlu bersedia dengan duit syiling.” Pandai atau biul orang yang mengatakan begitu? Lain kali kalau ada orang yang akan mengadakan majlis perkahwinan, kita yang akan menghadiri perlu bersiap sedia.

Dari segi alasan memang tak cukup tanah untuk menyediakan alasan. Antaranya ialah, “Susah nak sediakan duit syiling. Kena potong, kena bayar servis charge, bla, bla, bla… ” Untuk menambahkan alasan, dikatakan servis charge itu sebagai riba’. Pandai atau memandai? Sudah tahu ia adalah keperluan, diusahakanlah untuk mendapatkannya, Itu namanya bersiap sedia.

Sesiapa yang tidak mahu bersiap sedia — mereka akan gagal. Sudah terbukti di depan mata.

Untuk skop yang lebih luas pula — apabila hendak menjadi doktor perubatan, sanggup bersiap sedia sejak dari Tadika hingga tamat pengajian universiti. Tetapi apabila hendak bisnes, sehari pun enggan belajar dan bersiap sedia, kenapa? Adakah bisnes ini berlainan — tidak perlu belajar dan bersiap sedia? Maksudnya benar-benar ilmu bisnes dan pengurusan bukan ‘motivasi-motivasi’. Yang tidak pernah bersedia untuk menjadi Doktor ialah orang-orang MLM, penceramah motivasi dan beberapa orang penulis — mudah saja — letak saja ‘Dr.’ di depan nama. Kalau tak cukup, letak sahaja Prof. atau Prof Madya., walau tak pernah menjadi pensyarah IPTA atau masih menjadi pensyarah IPTA kerana menyangka Prof. Madya, Prof., Prof. Emeritus itu gelaran bukan jawatan. Hanya Prof. Emeritus dan Prof. DiRaja saja yang boleh kekal diletak di depan nama walau setelah tidak lagi menjadi pensyarah IPTA.

Alangkan hendak ke tandas pun mesti bersiap sedia, kenapa apabila hendak bisnes, langsung tidak bersiap sedia? Adakah bisnes ini suatu bidang yang terlalu istimewa sampaikan tidak memerlukan ilmu dan kepandaian untuk mengandalikannya? Adakah, apabila masuk sahaja bab bisnes, tiba-tiba secara automatik terus pandai? Adakah bisnes ini sesuatu yang mudah hingga tidak memerlukan kepandaian untuk menguruskannya? Adakah sentiasa keliru atau dikelirukan menyebabkan tidak boleh membezakan antara ‘berjualan’ dengan ‘bisnes’? Adakah terpedaya dengan laungan ‘jutawan’ — jual barang di internet, pembeli menyerbu dapat menjual juta-juta dan bergelar ‘jutawan internet’? Kita ada kaki, jadi berpijaklah di bumi nyata.

Namakan apa saja pekerjaan yang tidak perlu bersiap sedia, anda akan gagal menemuinya. Peri pentingnya bersiap sedia, Allah swt telah menyeru dengan 4 seruan pada surah Ali-Imran, ayat 200 — “Bersabar, kuatkan kesabaran, bersiap sedia, bertakwa.” Jikalau Allah telah memerintahkan kita bersiap sedia, mengapa kita enggan? Kerana itulah mereka yang enggan bersiap sedia akan menemui kegagalan.

Untuk skop yang lebih luas dan paling utama — Adakah kita telah bersiap sedia untuk menghadapi kematian? Itulah yang sering didengar — orang yang bijak adalah orang yang sentiasa mengingati kematian. Ramai yang tersalah sangka — mentafsirkannya sebagai menunggu kematian. Kalau menunggu kematian — tak payah berbuat apa, diam sahaja sambil menunggu kematian.

Maksud sebenar ialah bersiap sedia untuk menghadapi penamat atau kematian itu. Bersiap sedia untuk kehidupan baru selepas kematian. Apakah persiapan kita untuk menghadap Allah di padang Mahsyar kelak. Sebelum itu, apakah persiapan kita untuk menghadapi keadaan di dalam kubur, di alam barzah? Itulah maksud bersiap sedia. Bersediakah kita dengan keadaan yang pasti ditempuh itu? Bilakah masa bersiap sedia? Semasa masih hidup ini dan diberi peluang untuk bersiap sedia.

Setiap perbuatan, perkara, pekerjaan sekarang dan akan datang memerlukan kita bersiap sedia. Jangan sesekali sambil lewa dengan perkara ini.

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.