Minggu lepas, sementara menunggu masuk solat Maghrib, bersama kawan-kawan di Cafe Istana Budaya, ada sedikit perbincangan yang sangat menarik. Mengenai suasana sekitar dan bagaimana suasana itu membentuk, membina keperibadian dan keheidupan kita.
Buat pertama kali menonton teater pentas. Kalau zaman dulu menonton pertunjukan pentas ala teater — pentas bangsawan. Konsepnya sama.
Judul ceritanya: Natrah. Dikatakan cerita yang telah sebati dan telah difahami. Dikatakan juga, ia adalah ‘jalan cerita’ yang terbaik sekali. Di akhir persembahan, mengamat-amati jalan ceritanya, barulah kita mengesahkan ia sememangnya adalah ‘takdir’ ‘qada dan qadar’. Dalam hati asyik berkata-kata, “Kalaulah…” Kalaulah…” Kalaulah…” “Kalaulah Natrah tidak muncul menjadi pemenang pasukan tarian sekolahnya…” “Kalaulah konsulat Inggeris tidak terlihat kanak-kanak sekolah yang berwajah Belanda…” “Kalaulah… Aminah tidak terpedaya lalu pergi ke Singapura…” “Kalaulah… Natrah dan Mansor Abadi bernikah di luar Singapura. Takdir.
Simbolik-simbolik di dalam teater tersebut berjaya menambahkan ‘misteri’ cerita Natrah. Pada penghujung cerita, Natrah memakai baju putih bersih, masuk ke dalam gereja kemudian ditutup oleh pintu besar yang kebal. Misterinya: Bagaimana penghujung dan kematian Natrah? Adakah beliau mati dalam Islam? Mengapa seperti ‘rela paksa’ masuk ke dalam gereja dengan berpakaian putih? Kontrasnya, orang-orang di dalam gereja berpakaian serba hitam. Apa makna pintu besar yang menutup seluruh kisah Natrah itu?
Kekuatannya sudah tentu pada cerita yang berasaskan takdir itu. Kekuatan kedua adalah pada pelakon-pelakonnya. Saya menonton bukan hendak melihat pelakonnya tetapi hendak melihat lakonan dan pengarahan teater tersebut. Kalau Maya Karin menjadi tarikan, bagi saya bukan hendak melihat beliau sebaliknya lakonan beliau, sebab dulu, selalu ternampak beliau di kedai, berbelanja di Sungai Pencala ini bersama ayahnya. Namun memang tak sangka, lakonan Maya Karin pertama kali di atas pentas sangat cemerlang.
Bahkan kekuatan lakonan cerita ini adalah terletak pada ‘ibu-ibu’ Natrah. Umie Aida yang berlakon sebagai Mak Minah dan Samantha Shcubert sebagai Adeline ibu kandung Natrah. Bekas Ratu Cantik 1991 ini memang begitu berjaya sekali membawakan watak ibu kandung Natrah yang sudah pasti mahukan anaknya kembali. Suatu masa dahulu, pernah berangan-angan hendak bertemu dengan Samantha. Tak sangka sama-sekali, pada malam itu dapat bertemu dengannya bahkan kawan-kawan dapat bergambar bersama Samantha yang cantik dan masih cantik itu.
Berbalik kepada cafe Istana Budaya sementara menunggu waktu Maghrib. Melihat kepada cafe yang bersih itu saya memulakan perbincangan, “Kalau cafe ini kotor, nak tak orang yang pembersih masuk? Dan kalau cafe ini kotor, kita sesuka hati tak nak berbuat kotor, menambah kotor, bercakap kotor? Pernah tak melihat pekerja McDonald berhenti menyapu? Apa mesejnya?”
Itulah maksud ringkas bagaimana suasana membentuk keperibadian dan keadaan. Bahkan selalunya lebih dari itu. Suasana, keadaan boleh membentuk riak wajah atau air muka. Contoh mudah: jikalau anda melihat riak wajah orang-orang yang berani, hampir ada persamaan pada perawakan dan riak wajah. Lihat wajah pelumba kereta terkenal, penunggang kuda, pendaki gunung, pemimpin perang — riak atau perawakan muka mereka hampir sama. Jangan tengok bentuk muka tetapi tengok pada riak, cahaya dan perawakan muka. Mereka bergelumang dengan keberanian setiap masa. Suasana membentuk keperibadian, cahaya muka, riak wajah. Jikalau anda berpeluang bergaul dengan mereka, anda akan menjadi seperti mereka dalam masa yang singkat sebagaimana kata bijaksana, “Hendak mengetahui keperibadian seseorang, lihatlah sahabat-sahabat yang mengelilinginya.”
Lihat pula mereka yang warak. Benar-benar warak, bukan orang yang semudah ABC meletakkan gelaran ‘Ustaz’ di depan nama. Atau orang yang digelar ‘Ustaz’ oleh orang lain. Ustaz adalah setaraf ‘Mahaguru’ — berilmu dan sekurang-kurangnya mempunyai PhD. Bukan setakat pakai kopiah, jubah, boleh azan sewenang-wenangnya dipanggil Ustaz. Bukan juga ‘Ustaz Online’. Lihat pada cahaya muka mereka, anda akan melihat persamaan dari segi raut wajah, cahaya muka, perawakan.
Dan lihat juga kaki kelentong — hampir sama saja wajah kelentong mereka. Cahaya kelentong itu terpancar pada muka, perawakan dan keperibadian. Penagih dadah pun begitu.
Lihat juga pada jutawan-jutawan sebenar. Lihat pada cahaya muka mereka — ‘cahaya jutawan’ itu terpancar pada wajah, perawakan dan cahaya muka. Bagaimana pula dengan ‘jutawan dongeng’ yang selalunya terdapat dalam MLM? Mereka terpaksa ‘overdo’ bagi menonjolkan mereka ‘jutawan’ menutupi hakikat sebenar (Hakikat sebenar, aset dan liabiliti, jumlah yang melayakkan menjadi jutawan pun tidak diketahui).
Lihat juga persamaan pada ‘jutawan fantasi’ yang tidak pernah berpijak di bumi nyata. Cahaya muka (ada cahaya ke?), raut wajah, perawakan, keperibadian dan cakap-cakap mereka hampir sama saja. Dikatakan ‘jutawan fantasi’ kerana menyangka menjadi jutawan adalah berasaskan motivasi, penglipur lara, penyedap hati dan fantasi. Kalau berpijak di bumi nyata — menjadi jutawan adalah berasaskan fakta, teknikal, angka, case study. Jikalau anda bersama dengan mereka tak lama kemudian anda pun akan menjadi seperti mereka — tidak berpijak di bumi nyata, sebab kawan-kawan yang mengelilingi mereka pun sudah menjadi seperti mereka. Lihat saja wajah, raut muka, perawakan dan cakap-cakap mereka. Bahkan bahan bacaan mereka pun jenis yang mementingkan motivasi dan penyedap hati bukan fakta.
Kemudian, bandingkan raut wajah, perawakan, cahaya muka manusia-manusia yang tinggal di kawasan setinggan dengan wajah manusia-manusia yang tinggal di kawasan elit seperti di Damansara Height. Tentu anda boleh membezakan dan makin faham bahawa suasana membentuk keadaan dan keperibadian.
Pembetukan terjadi melalui ulangan. Makin lama kita berada dalam sesuatu suasana makin mantap dan kukuh pembinaan keperibadian, keadaan, raut muka. Akhirnya, itulah kehidupan kita.
Kalau suasana tersebut sama dengan kehendak dan pilihan kita, semestinya kita akan meneruskan. Tetapi jikalau ia bukan seperti yang dikehendaki, hanya ada satu cara sahaja — keluar segera dari suasana itu, jikalau anda mempunyai pilihan. Tiada pilihan? Buat pilihan!