Razzi Armansur

Belajar dari DSAI

Alangkah ruginya jika melepaskan peluang belajar dari manusia yang bijaksana dalam mengatur dan melaksanakan strategi. Rugi besar jika pendidikan penting itu terlepas begitu saja. Di depan mata, setiap hari, strategi peperangan kuno Sun Tzu sedang dilaksanakan oleh DSAI.

Jangan salah faham, strategi tersebut bukan untuk politik dan peperangan saja, bahkan untuk kehidupan seharian termasuk juga untuk bisnes.

Apabila anda masuk ke alam bisnes, mahu tidak mahu, setuju atau tidak setuju anda masuk ke alam peperangan. Persaingan dalam bisnes amat sengit, saling tak tumpah dalam peperangan. Kita tidak mahu, tetapi telah terlibat. Jikalau kita tidak turut sama berperang, kita akan terpijak dan tersingkir.

Melainkan bisnes anda kurang saingan seperti bisnes keranda Cina, bisnes buat batu nisan, barulah tidak ada persaingan dan tak perlu fikirkan tentang seni peperangan Sun Tzu. Tak payah belajar dari DSAI.

Sejak DSAI keluar dari penjara, saban hari beliau menyusun strategi beliau. Perhatikan dengan dekat. Bukan setakat menyusun bahkan melaksanakannya. Kerana apa? Kita akan tahu kerana apa bila sampai masa. Pembelaan untuk rakyat terutamanya. Bagi saya, apabila ada yang berkata, “Bolehkah? Betulkah?” saya mudah saja menjawabnya, “Saya pun tidak pasti. Kita beri beliau tempoh 5 tahun. Kalau dalam masa 5 tahun tidak ada perubahan atau lebih teruk dari keadaan sekarang, ramai-ramai kita jatuhkan beliau balik.”

“Nanti huru-hara…” Memang istilah huru-hara ini telah lama ditanam dalam fikiran manusia di Malaysia. Ramai yang beranggapan jikalau pertukaran kuasa (bukan peralihan kuasa, sebab di dalam demokrasi tidak ada istilah peralihan kuasa, melainkan pemilihan rakyat: dari rakyat, untuk rakyat, demi rakyat). Bagi yang sibuk sangat dengan huru-hara itu, saya cuma bertanya, “Tunjukkan saya mana huru-haranya? Pertukaran kuasa terjadi di Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang, tapi mana huru-haranya?”

Dan telah terlalu biasa kita dengar, “DAP jahat.” Itu yang ditanamkan di fikiran sejak dari dulu. Saya bertanya kembali, “Adakah lebih jahat dari MCA, GERAKAN, SAPP dan lain-lain parti kaum Cina?” Tak ada jawapan.

Saya tak pasti sama ada benar atau tidak Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu menggunakan taktik peperangan Sun Tzu. Tapi dari pengamatan saya sendiri (tak semestinya benar), saya semakin yakin beliau menggunakan taktik peperangan Sun Tzu.

Ini sebahagian dari pemerhatian saya. Dan kita boleh gunbakan ia untuk diaplikasikan dalam kehidupan, bisnes, pekerjaan dan sebagainya:

  1. Ini yang paling utama dalam seni peperangan Sun Tzu: Kenali kekuatan dan kelemahan diri; kenali kekuatan dan kelemahan musuh. Inilah asas seni peperangan Sun Tzu. Jangan main hentam saja. Jangan pula hanya mengenali salah satu saja. Mesti mengenali dan memastikan kedua-duanya: kekuatan dan kelemahan.
  2. Cuit-cuit sikit untuk mengetahui persediaan, kekuatan, kelemahan pihak musuh. Orang sekarang kata, “Test power”.
  3. Jika musuh terlalu kuat, serang pada bahagian-bahagian yang lemah. Taktik ini telah digunakan oleh Saidina Ali. Beliau mendapat ilham ini dari tukang masak yang menghidangkan bubur panas. “Kalau panas makan tepi-tepi dulu…” Kata tukang masak tersebut.
  4. Membiarkan musuh berasa sudah terlalu kuat dan tidak mungkin dapat dikalahkan. Atau selalu disebut sebagai “over-confidence” Pada ketika ini, selalunya musuh alpa dan lalai. Pada masa inilah serangan dilakukan. Jika anda membaca buku Atilla The Hun, anda akan menemui taktik ini. Serang semasa musuh terlalai.
  5. Serangan kecil-kecilan yang bertubi-tubi akan melemahkan musuh, sebelum diadakan serangan besar-besaran sekaligus.
  6. Buat-buat lemah dan menyepi, membuatkan musuh bertambah perasan kuat dan semakin tinggi egonya dan “over confidence”. Ingat, ini hanya buat-buat. Masih ingat lagi bagaimana semasa DSAI berada dalam penjara diejek sebagai “Parti satu kerusi.” Atau “Parti sebatang kara.” Ingat, kebangkitan semula setelah buat-buat senyap memang tidak akan dapat dihalang. Sekali lagi ini dipaparkan dalam buku Atilla The Hun: serang ketika musuh menyangka kita sudah lemah.
  7. Itulah pentingnya mengetahui setakat mana kekuatan dan kelemahan musuh. Pada saat musuh dalam keadaan paling lemah, kekuatannya semakin merosot, serang serta-merta. Itulah saat keemasan untuk melakukan serangan.
  8. Kita bukan sahaja mesti kuat bahkan mestilah kelihatan kuat. Kekuatan dan kelihatan kuat ini sama ada realiti atau anggapan adalah untuk menakutkan musuh. Apabila musuh terlihat senjata bersinar-sinar di bawah matahari ditambah dengan kekuatan, musuh menjadi gerun dan “kalah sebelum berperang.”
  9. Ini mestilah sentiasa dilaksanakan sepanjang masa: lihat kawan dengan dekat, lihat musuh dengan lebih dekat lagi. Satu gerakan mengejut dari musuh boleh menumbangkan pasukan. Kawan juga mestilah diperhatikan dengan dekat kerana dalam setiap peperangan pasti sentiasa ada “musuh dalam selimut”.
  10. Menjangkakan apa yang tidak dijangkakan. Sentiasa waspada kerana apa yang tidak dijangkakan selalu terjadi di saat kita alpa.
  11. Dan inilah yang paling bahaya sekali: Perpecahan dari dalam. Jangan sekali-kali kita berpecah dari dalam kerana memudahkan musuh menyerang. Apabila kita lemah, dengan amat mudah musuh menumpaskan kita. Bahkan tanpa perlu serangan, perpecahan dari dalam lebih cepat meruntuhkan.

Itulah sebahagian dari yang saya lihat. Ini pendapat peribadi saya. Tak semestinya benar dan tak semestinya diikuti. Saya menganalisa sendiri taktik yang digunakan oleh idola saya: Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Idola saya ada dua: Tuan Guru Nik Aziz dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.