Beberapa hari lepas menemani Pengasas syarikat jualan langsung Desquera Worldwide membeli kereta Ferrari di Mofaz Cars (dulu Exoticars). Dewan pameran tersebut terletak di jalan masuk ke Sungai Pencala. Pada malam 31 Ogos dan 1 Januari, selalunya sekitar dewan pameran tersebut penuh sesak dengan orang ramai yang menyaksikan pertunjukan bunga api yang dilancarkan dari Ikano, bertentangan dengan dewan pameran tersebut.
Pengasas Desquera Worldwide, Encik Idris Mohd Said bergaya dengan Ferrari baru. Pengasas Ukhwah.com tumpang sekaki di sebelahnya. Pengasas Desquera dapat harta juta-juta. Pengasas Ukhwah.com dapat penat saja.
Memang setiap hari lalu di depan dewan pameran tersebut, cuma pada hari tersebut sahaja berpeluang masuk ke dalam dewan pameran tersebut melihat-lihat kereta-kereta eksotik. Juga berpeluang masuk ke dalam kereta, memegang stereng dan seketika berangan-angan sudah memiliki kereta yang mahal dan hebat belaka. Ada BMW, Mercedes CLK, Hummer, Bentley dan Ferrari.
Pada hari tersebut Encik Idris membayar deposit kereta yang berharga hampir RM2 juta itu. Saya pun tak tahu apa keperluannya membeli kereta tersebut. “Kalau akulah Deris, aku utamakan usahawan di dalam Desquera. Biar mereka semua memandu kereta hebat, kamu memandu kereta biasa saja, orang ramai lagi tabik dengan kamu. Tapi, ini adalah impian kamu, kamu berani dengan impian, kamu berani mencapai impian. Hari ini impian kamu menjadi kenyataan.” Kata saya setelah diminta pendapat.
Ada orang ambil kesempatan…
“Dari segi bisnes,” Kata Idris, “Kamu tengok nanti, Desquera akan meletup selepas ini kerana mereka lebih percaya kalau mereka mempunyai impian dan berusaha bersungguh-sungguh menjayakan impian, mereka boleh berjaya. Aku mahu supaya mereka membuang perkataan mustahil. Aku nak jadi model yang boleh dicontohi. Tak mustahil untuk memiliki apa saja asalkan ada impian dan komitmen.”
Jadi, tujuannya membeli kereta yang eksotik itu bukan pembaziran atau menayang, sebaliknya ada motif tersendiri. Carilah apa nak dicari…
Model sudah ada di depan mata, ikuti sahaja.
Saya mengenali Idris sejak dari tahun 2002. Selepas itu menghilang akhirnya pada tahun 2005 ditemukan semula. Beliau telah membukan syarikat jualan langsung DESQUERA WORLDWIDE. Kemudian ada 8 anak syarikat di bawahnya. DESQ PUBLISHING adalah salah satu usaha yang ada bekas tangan saya. Saya pernah dilantik menjadi “Pengurus Media” di Desquera tetapi saya lebih suka bekerja secara tidak terikat.
“Dalam tentera, apa yang penting ialah kesetiaan.” Encik Idris pernah berkata demikian. Semasa Desquera hampir tutup dahulu, sahabat-sahabat menjauhkan diri. Alhamdulilah saya kekal bersahabat dengannya sehingga kini.
Banyak yang boleh dipelajari dari Encik Idris. Keberanian beliau terutamanya. Kesungguhan dan komitmen juga dapat dicontohi. Dan yang penting, “Jangan peduli apa orang kata. Sepanjang hayat memang sentiasa ada orang yang mengata kita. Tak luak pun, tak mati pun dikata orang. Kalau sepanjang masa fikirkan apa orang kata, menangani masalah apa orang kata, bila masa kita nak fikirkan kemajuan?” Kata Idris menasihati.
Itu memang saya setuju sangat — Hukum seimbang menyebut, “Ada yang suka, pasti ada yang benci.” “Ada yang mengutuk, pasti ada yang menyanjung.” Ini dikuatkan lagi dengan kata-kata yang pernah saya dengar, “Walau sebaik mana seseorang itu, pasti ada yang membencinya. Walau sejahat mana seseorang itu, pasti ada yang menyukainya.”
Idris menggunakan RAHSIA AJAIB untuk memperoleh Ferrari — Set Boleh dan Fokus. Jika anda membaca buku RAHSIA AJAIB UNTUK BERJAYA anda akan mengetahui dengan tepat bagaimana memperoleh ‘Set Boleh’ dan ‘Fokus’.
Dan jika anda masuk ke dalam ofis Idris, di sekeliling dinding penuh dengan gambar Ferrari. Ia sengaja dilakukan untuk menambahkan fokus dan mengingatkan diri supaya berusaha gigih untuk mendapatkan apa yang menjadi impian. Gambar-gambar Ferrari itu adalah sebagai ingatan bahawa beliau mempunyai impian yang mesti diusahakan.
“Agak lambat juga. Saya mengambil masa 5 tahun untuk mencapainya.” Kata Idris.
Kembali kepada Keinginan >> Kemahuan >> Keperluan. Ada keperluan lain yang menggantikan tempat Ferrari sebelum ini, jadi ia hanya sekadar keinginan sahaja. Dengan meletakkan gambar-gambar Ferarri di sekeliling bilik, keinginan menjadi kemahuan. Memang mahu memiliki Ferarri, bukan sekadar keinginan sahaja.
Kemahuan berterusan setiap hari, seolah-olah makin mendesak setiap hari bila dikelilingi oleh ‘Ferarri’ setiap hari. Ada pilihan lain? Tidak ada kerana kemahuan berubah menjadi keperluan.
“Aku bukan lagi inginkan Ferarri sebaliknya aku perlukan Ferrari.” Kata Idris.
“Aku pun.” Kata saya, sambil fokus kepada kereta lain. Hanya beberapa orang teman rapat saya tahu apa kereta yang menjadi kegilaan saya bertahun lamanya. Tapi, masih gagal menukar kepada keperluan kerana ada keperluan lain yang lebih mendesak — ibarat orang yang mempunyai diploma tetapi berhasrat memohon kerja doktor.