Razzi Armansur

Jejak Kasih Rahsia Ajaib

Harapan saya, buku RAHSIA AJAIB UNTUK BERJAYA benar-benar akan membawa keajaiban kepada pembaca dan pengamalnya. Itulah harapan saya. Bagaimanapun, tidak boleh hanya mengharap. Allah SWT menghendaki manusia berusaha, bukan sekadar menadah dan mengharap.

Promosi mesti diperhebatkan supaya buku tersebut menjadi kontroversi, menarik keinginan untuk membaca buku tersebut. Dari keinginan berubah menjadi kemahuan. Akhirnya kemahuan menjadi keperluan. Buku Rahsia Ajaib Untuk Berjaya perlu dibaca dan dipraktikkan, diamalkan kandungannya.

Syukur Alhamdulillah, menurut PTS ia adalah antara buku yang laris jualannya. Kembang hidung saya yang memang kembang ini bila Editor Pengurusan, Rozita Abd Razak menyebut, “Kang memang sudah ada pengikutnya sendiri, terbit buku apa pun akan habis…”

Sesuatu telah terjadi. Satu ‘Jejak Kasih’ melalui buku tersebut telah terjadi. Melalui buku tersebut ditemukan semula dengan saudara yang suatu masa dulu masih kanak-kanak, kini telah dewasa, bersuami dan mempunyai anak yang lebih ramai dari anak saya. Melalui internet atau lebih tepat lagi melalui jasa baik Google yang menyediakan khidmat blogspot secara percuma.

Secara tidak sengaja, saya terjumpa blog yang menyebut tentang buku Rahsia Ajaib Untuk Berjaya. Anggapan saya begini: pada Hari Raya Haji lepas, mereka mengadakan kenduri daging korban (1/3 bahagian boleh dimakan oleh keluarga yang berkorban). Seperti biasa, dalam masyarakat Jawa ada ‘nasi ambang’ yang saya sebut di dalam buku tersebut. Mungkin, hanya kemungkinan, buku dan nama saya disebut semasa mereka menghidangkan nasi ambang yang dikaitkan dengan kandungan buku tersebut dan kemudian dikaitkan dengan nama penulisnya.

Sudah tentu saya mula mengagak bahawa mereka adalah saudara saya bila mereka menyebut Paman Razzi Armansur. Dalam komuniti Jawa, hanya saudara akan dipanggil Paman (Pakcik). Jika bukan sudara akan dipanggil ‘Lek’ ringkasan ‘Pak Cilik’ atau ‘Mak Cilik’ (Pakcik atau Makcik). Kalau lelaki dipanggil ‘Paman’, jika perempuan dipanggil ‘Bik’ (ringkasan Bibik). Tapi sekarang sudah disalah gunakan: Bibik untuk panggilan orang gaji Indon. Satu kesilapan istilah.

Berhari-hari saya cuba meneka dan mengingati. Akhirnya, sahlah, mereka adalah ‘sethulur’ (saudara). Bukan bau-bau durian tetapi memang saudara agak dekat. Berhari-hari saya cuba mengingati nama-nama seperti Alin, Ain, An, Ami. Suatu masa dahulu mereka ini memanggil saya dengan ‘Acik Shake’ — zaman kegemilangan penyanyi Dato’ Shake. Sudah tentu saya akan gelak sendiri apabila mengingatinya.

(photo)
Jembatan bengkok yang saya catatkan di dalam buku Rahsia Ajaib Untuk Berjaya. Zaman jahiliyah dulu, di sinilah lepak dari petang bersambung ke malam hingga ke larut malam. Nota: Di kampung ini jugalah setting bagi buku Kampung Kaya

Jika anda telah membaca buku Rahsia Ajaib Untuk Berjaya, anda akan menemui watak bernama Zakaria Jalal. Haji Jalal dan isterinya saya panggil Embah Lurah atau Embah Haji dan Embah Mutiah. Embah adalah atuk. Lebih tepat lagi Embah Lanang untuk lelaki, Embah Wethok untuk perempuan. Di setengah tempat dipanggil Nyai.

Nenek saya bernama Embah Saodah. Embah Saodah ini adik-beradik dengan Haji Jalal. Ketiga-tiganya, Embah Lurah, Embah Mutiah, Embah Saodah sudah tidak ada lagi. Al-Fatihah.

Jadi saya dengan Zakaria adalah kalau tak silap saya, dua pupu. Kemudian seorang lagi adik beradik mereka ialah Embah Saidi. Di dalam buku tersebut ada satu lagi watak bernama Ahmad Saidi. Jadi, Ahmad dengan Zakaria adalah sepupu.

(photo)
Bersama Zakaria di hadapan banglo beliau. Zakaria baru balik dari kebun. Mesti mengamuk kalau dia tahu diambil gambar, “Hoi, aku tengah comot ko ambik gambar!”

Zakaria anak bongsu sebab itu dipanggil Pak Usu walau sebenarnya dalam masyarakat Jawa tidak ada gelaran seumpamnya. Bagaimanapun, bagi generasi kelima atau keenam kaum Jawa, mereka sudah tidak tahu lagi bertutur dalam bahasa Jawa. Sudah tidak ada lagi ‘Bahasa Jiwa Bangsa’. Uniknya dalam keluarga Zakaria ialah turutan abjad dari A hingga Z. Dari Aminah hingga Zakaria. Kakak Zakaria yang sulung bernama Aminah. Orang kampung memanggil Ustazah Aminah. Saya memanggilnya Acik Minah. Suaminya bernama Haji Silim yang kini menjadi Ketua Kampung Sungai Lang setelah pemergian Haji Jalal lingkungan dua tahun lepas.

Anak-anak Acik Silim dan Acik Minah itulah bernama Alin, Ain, An, Ami. Itu sahaja yang saya ingat. Mungkin ada lain.

Lama dahulu saya terdengar, budak-budak yang dulu kecil dan selalu bermain buaian di hadapan rumah itu kini telah menjadi Doktor. Saya dengar dua atau tiga di antara mereka telah menjadi Doktor medik. Yang pasti Umi Azlin (Alin) memang bergelar Dr. Umi Azlin.

Bagai mimpi, cepatnya masa berlalu. Masih terbayang mereka kecil-kecil belaka gelak-gelak, kadang melaung memanggil “Acik Shake!!!” bila saya berbasikal atau singgah di rumah mereka. Zaman di kampung, persaudaraan memang rapat dan ada banyak masa. Masih terbayang, duduk di buaian bersama Embah Lurah di hadapan rumah, berbual-bual sambil memerhatikan satu demi satu Alin, Ain, An, Ami melintas jalan mendekati buaian tempat atuk mereka duduk berehat berbual-bual dengan saya.

Rumah mereka bersetentangan rumah atuk mereka. Sebelah rumah mereka ialah rumah Lek Kateng. Sebelah rumah Lek Kateng itu rumah Embah Saidi. Sebelah rumah Embah Saidi pula ialah surau Kiyai Marjuki yang saya catatkan dalam bab “Perancangan Di Surau” dalam buku Rahsia Ajaib Untuk Berjaya. Kini di sebelah surau itu ialah rumah Mejar (B) Buang, abang Zakaria. Seingat saya, anak sulung Buang bernama Farah.

Kini melalui masa, yang dulu rapat menjadi renggang. Sayu dan amat sedih. Suasana sekeliling yang mendesak menyebabkan manusia makin terdesak hingga tidak ada masa untuk merapatkan persaudaraan. Dulu khabarnya di kampung, masa banyak terluang dan persaudaraan memang rapat. Itu 20 tahun dahulu. Kini, yang pasti hanya pada hari kebesaran sahaja saudara-mara, adik-beradik dapat berkumpul.

Bayangakanlah, mereka yang mempunyai anak ramai, seperti Embah Saidi dan Embah Maroh pun kesepian apabila anak-anak telah dewasa dan membina keluarga sendiri. Jadi, apalah nasib saya yang hanya mempunyai dua orang anak sahaja? Suatu masa nanti sekiranya Allah memberi belas dan simpati memanjangkan umur, saya akan mengalami kesunyian dan kerinduan pada anak-anak. Bukan saya menjangkakan tetapi bersedia dengan realiti.

Sesungguhnya saya merindui suasana 20 tahun dahulu.

Berikut ini saya paste tulisan dari blog tersebut. Dengan ini juga saya meminta izin untuk berbuat demikian. Nama saya berubah menjadi Paman Rozi. Jika hendak tahu — dalam sebutan Jawa nama saya ialah Roji atau Ji atau Jik. Tapi, ia di’Melayu’kan pula menjadi Rozi (macam nama perempuan pulak ) Sebak rasanya membaca catatan suatu masa dulu anak sulung Haji Silim dan Acik Minah yang selalu menaikkan seluar atau skirt kerana memang kurus betul Umi Azlin pada masa kecil dahulu. Teringat suatu masa dahulu Umi Azlin yang pendiam, berdiri di tepi jalan sambil menaikkan skirt memandang kanan, kiri, kanan, kiri dan berlari melintas jalan rupanya Doktor yang berbakat besar dalam penulisan.

 

Quote:
Paman Rozi Dunia semakin kecil di zaman teknologi… semakin laju, semakin tak terduga dan sering membuat kejutan demi kejutan.

Bermula dengan membaca buku “Rahsia Ajaib Untuk Berjaya’… hati terdetik; “Paman Rozi ke ni?” Dia yang aku ingat ialah saudara sebelah emak, kawan Pak Usu, selalu datang ke rumah waktu aku kecik-kecik… waktu tu tu aku ‘Alin’ dan “Ain’ masih kecik lagi.. (ha.. sekarang, Paman Rozi ingat tak kitorang ni?).. tapi tak lama lepas tu, Paman Rozi dan seorang abangnya, menghilang dari kampung tanpa khabar berita. Bak kata orang, entah mati entahkan hidup, langsung ghaib tanpa cerita…

Waktu membaca buku tu, hati semacam yakin, memang Paman Rozi. Wah, tak sangka dah jadi seorang penulis tersohor! Eh, sebagai anak Sungai Lang mestilah tumpang berbangga. Bak kata orang, siapa yang menduga anak kampung yang pergi merantau sehelai sepinggang sewaktu mudanya, ke kota yang penuh cabaran – dulu-dulu orang kata kota ‘neon dan kelkatu’.. tapi sekarang kota yang cabarannya lebih dari itu – masih boleh jadi ‘orang’… dan bukan sekadar ‘orang’, tapi boleh menulis buku memotivasi orang lain.

Tahniah! Buku yang aku baca, Paman Rozi hadiahkan kepada Pak Usu Zakaria. Seronok baca buku tu, sebab kenal dengan watak-wataknya, dan familiar dengan tempat-tempatnya, dengan nasi ambeng, pecal dan sotonya… dan menarik jalan ceritanya.

Pendapatku, kenapa Paman Rozi berjaya berada di tempatnya sekarang walau keluar dari kampung sebatang kara sehelai sepinggang; ialah kerana Paman Rozi ada jati diri yang tinggi. Itu yang dapat aku rasakan bila baca buku tu. Seingatku, tak pernah aku baca buku yang mengulas budaya kehidupan orang-orang Jawa di Malaysia yang ditulis dengan begitu menarik dan bergaya. Paman Rozi memerhati, mengimbau memori, menggarapnya dan menghargai erti menjadi anak Jawa.

Tersurat cerita-cerita anak Jawa dan tersirat rasa bangga terhadap asal-usul dan warisan bangsa. Bukan nak berbangga-bangga dengan bangsa ini dan itu. Tapi Tuhan menjadikan kita berbangsa-bangsa untuk saling kenal mengenal. Pada akhirnya, Jawa, Minang, Banjar – kita tetap serumpun Melayu.

Pada akhirnya, Melayu, Cina, Arab, Parsi, Jepun, Eropah.. kita tetap anak Adam dan ada satu Tuhan. Tapi setiap bangsa perlu ada jati dirinya dan rasa bangga dan hormat kepada warisan bangsanya. Itulah rahsia bangsa-bangsa yang berjaya dan dipandang tinggi. Buku tu banyak cerita nostalgianya, seolah-olah melalui zaman kecik-kecik dulu.. walau banyak tak berkesempatan jadi se’adventurous’ (atau se’nakal’?) Paman Rozi dan Pak Usu, maklumlah kami ni budak-budak perempuan, rasa macam terbayar hutanglah dengan membaca buku tu..

Terkejut badak bila dapat mesej “Why you call me Paman?” dalam blog.. tak sangka pulak! Ain pun mesti terkejut tu kan! Sebab tu aku kata dalam zaman teknologi ni dunia semakin kecil. Seorang yang kita rasa hanya berada di zaman silam kita, kerana dia telah tak wujud berpuluh-puluhan tahun, tiba-tiba hanya berjarak satu ‘klik’ di sana…

Tahniah Paman Rozi. Semoga terus sukses. Ingat ke tak ingat kat kitorang ni, tak kisah….tapi kalau tak ingat, memang tak patut tau.. he he..

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.