Hari Sabtu lepas, semasa Ahli MT Ukhwah.com mengadakan JK Le Tour De Melaka, saya berjalan ke hulu ke hilir di One Utama bersama anak bongsu saya, Ezika Armansur. Main bowling, main pool, tengok kasut, tengok-tengok mesin peramping badan sambil set ‘boleh beli’. Hasrat tersimpan hendak membeli kasut Reebok. Sudah menjadi keperluan bukan lagi keinginan dan kemahuan.
Dalam pada itu, Angah Faezah menelefon. Panjang benar perbualannya. Teringat suatu masa dulu perbualan panjang begitu hanya bila dia ada masalah dan hendak mengadu kepada ‘kakang’nya (abangnya atau Kang). Dari soal cinta hinggalah soal kehidupan di kampus.
Suatu masa dulu, di UIA, apabila pulang dari CC, Angah akan menelefon saya minta ditemankan balik ke kolej Halimatun. Cara menemankan unik, hanya perlu bercakap-cakap di telefon, kononnya saya menemankan dia yang agak takut balik seorang diri lingkungan pukul 1 atau 2 pagi.
Pada hari Sabtu lepas, bercakap-cakap panjang berkisar kepada pemergian Siti Puteriku Sayang yang masih lagi begitu terasa.
Sambil mengimbas kenangan bersama Siti PKS, sambil mengenang kebaikan dan keriangan Siti PKS yang tidak pernah berduka itu.
Perbualan meleret kepada kisah bomoh.
“Harap-harap jangan dikaitkan kematian Siti yang mengejut itu dengan mistik. Kita orang Islam mesti yakin dengan qada dan qadar, penyebab dan sebab.” Kata saya.
“Memang dah dikaitkan Kang…” Kata Angah dengan nada kecewa.
“Itulah yang Kang pelik. Kenapa mesti dikaitkan dengan mistik? Bomoh mana yang nak kena sepak ni?” Tanya saya yang sangat benci dengan bomoh. Belum pernah saya jumpa bomoh yang betul melainkan penipu belaka, putar alam.
Saya membawakan cerita lucu suatu masa dulu semasa kami berada di dalam industri nasyid yang hampir-hampir sampai di penghujung. Istilah nasyid adalah nasyid sudah tidak ada. Dalam Islam Hadhari, perempuan boleh bernasyid atas alasan dakwah sedangkan ada banyak cara lain untuk berdakwah.
Cerita lucunya: Seorang pengurus nasyid menerima sms dari seorang penyanyi nasyid yang baru. Sms: “Aku dah kena santau…” Kata penguius nasyid itu, “Aik, belum popular, lagu pun belum dirakam dah kena santau?” Diiringi dengan gelak ketawa.
“Kepercayaan pada mistik dan bomoh adalah mainan dalam nasyid. Lebih percaya kepada bomoh dari diri sendiri. Lebih yakin kepada bomoh berbanding keyakinan diri sendiri. Diri sendiri kan boleh minta dari Allah, buat apa membodohkan diri pakai bomoh?” Kata saya pada Angah.
“Rasanya bukan dalam nasyid tapi dalam muzik.” Angah mengiyakan.
Perbualan berterusan tentang kepercayaan orang-orang dalam nasyid yang amat percaya dan sentiasa fokus kepada mistik. “Kena selsema sikit katanya kena santau. Santau seolah-olah kebanggaan. Kalau tak disantau bermakna tidak pupular. Habis, bagaimana sekarang? Tak ada orang menyantau sebab nasyid dah tak popular?” Saya menegaskan.
“Melainkan yang educated macam Kumpulan Inteam itu taklah fokus pada mistik.” Saya meneruskan.
Kenangan bersama Siti PKS dan Angah Faezah yang setia bersahabat hingga akhir hayat Siti PKS
Yang peliknya, bomoh makin dipercayai sekarang ini. Makin menjadi-jadi. Pelik? Sudah tahu pembohong tetapi masih lagi dipercayai.
Bagaimana, jika anda seorang pembohong tetapi ramai yang percaya dengan pembohongan anda? Mestilah makin menjadi-jadi pembohongan anda.
Khabarnya hebat sangat bomoh, terlalu hebat. Santau angin, santau online perkara biasa. Selalu akan saya kata, “Kalau hebat sangat, pergi ke Israel, Amerika, santau syaitan-syaitan manusia itu. Kalau boleh santau angin, santau online, tak payah ke sana, santau saja dari rumah.”
Kononnya, bomoh Indonesia lebih hebat. Yang peliknya, Bush datang seperti ‘menyerah’ di Indonesia, tak ada pula yang dikatakan bomoh hebat menyantaunya. Memang tak ada sebab itu semua temberang.
Kalau betul hebat, lebih-lebih lagi manusia zaman dahulu, tentulah tidak sampai 400 tahun Indonesia dijajah Belanda. Bukan 4 tahun tapi 400 tahun. Mana pergi bomoh-bomohnya yang khabarnya hebat belaka?
Mana pula perginya bomoh Tanah Melayu dan Malaya menghilang hingga menyebabkan Tanah Melayu (kini Malaysia) dijajah Portugis, Belanda, Jepun, British, Siam beratus tahun?
Apa yang difokus itulah yang diperolehi. Mengapa tidak digunakan otak anugerah Allah SWT untuk memikirkan? Mata diberi dua, kanan dan kiri, begitu juga telinga dan otak satu di tengah-tengah. Mengapa menggunakan kedua-dua mata dan telinga untuk fokus kepada mistik sahaja? Mengapa tidak difokus kepada sains perubatan? Kalau begitu mengapa Allah mewujudkan bijak pandai dan saintis Islam suatu masa dahulu seperti Ibnu Sina, At-Tarmizi, Al-Razi, Ibnu Khaldun, dan ramai lagi. (Tak ada pula tokoh perbomohan).
Saya rasa, bomoh suka sangat mengambil kesempatan kerana dengan mudah kita memberi kesempatan. Pantang ada peluang publisiti, pasti akan menonjolkan dirinya.
Seingat saya, semasa runtuhnya Highland Tower pada tahun 1993 dahulu, sudah ada bomoh yang menggunakan kesempatan untuk publisiti. Bomoh itu berjalan dengan gaya kelakar dan pelik. Sebaik sahaja tiba di depan kamera, dia tiba-tiba beraksi menepuk bumi. Saya sangkakan batu-batu runtuhan Highland Tower akan terbongkar dan mangsa-mangsa yang tertimbuis dapat ditemui dengan aksi menepuk bumi itu. Rupanya hanya publisiti yang dicari.
Zaman Reformasi pun bomoh mengambil kesempatan. Di hadapan mahkamah, beberapa orang bomoh beraksi, kononnya supaya mahkamah berjalan dengan telus dan adil sepanjang penghakiman Dato Seri Anwar Ibrahim. Jika diingat kembali, itulah bahan lawak jenaka yang menakjubkan.
Yang terkini, segerombolan bomoh mencari publisiti di kala orang lain sedang berdukacita yang amat sangat. Bomoh tersebut kononnya boleh mencarikan Sharlinie, kanak-kanak yang hilang di Taman Medan, Petaling Jaya. Menurut “chief” bomoh yang berpeluang sekali seumur hidup bercakap di depan kamera TV itu mengatakan bahawa Sharlinie disorokkan di dalam rumah pangsa berhampiran. Yang peliknya, konon hebat, tapi mengapa tidak boleh beritahu dengan tepat, rumah pangsa mana, blok mana, tingkat berapa, nombor berapa. Lucu? Memang lucu. Menurutnya lagi, Sharlinie akan ditemui dalam masa 1 minggu lagi. Kelakar? Bagi kita ia kelakar, bagi bomoh ia adalah kenyataan yang amat penting.
Sekali lagi, akan sentiasa ada yang akan memperdaya selagi masih ada yang boleh diperdaya.