Razzi Armansur

Bila satu telah ditemui

Ini fatwa saya sendiri: semasa mencarinya memang sukar menemuinya. Tetapi jika tidak berputus asa dan mengubah cara mencarinya, hingga menemuinya (jika anda melakukan apa yang anda lakukan selama ini, anda akan mendapat apa yang anda dapat selama ini), optimis, pasti, maka anda akan menemui, insyaAllah.

Maknanya, bahagian yang sukar ialah membuka pintu. Bila pintu telah terbuka, banyaklah yang ditemui. Contoh lagi: hendak mengumpulkan RM1,000, RM100,000, RM1,000,000 yang pertama memang sukar (betul-betul juta bukan sekadar sedap mulut menyebut jutawan), tetapi bila telah berjaya mengumpulkan RM1 juta yang pertama, RM1 juta yang kedua, ketiga, keempat lebih cepat berbanding yang pertama. Katalah yang pertama mengambil masa 10 tahun misalnya, maka yang kedua, ketiga, keempat dan ke seratus lebih pantas. Sampai 10 tahun untuk mengumpulkan RM1 juta yang pertama? Memang itulah lumrah dan sejarahnya. Paling minimum yang pernah saya saksikan ialah 5 tahun. Itu hakikat sebenar ‘jutawan’, bukan ‘jutawan fantasi’ atau ‘sesedap mulut menyebut jutawan’. Tapi 10 tahun itu adalan ‘time frame’ — masa yang dijadikan ‘pancang’. Lebih dari ‘pancang’ itu adalah lumrah, kurang dari ‘pancang’ itu adalah bonus. Jika kurang percaya, semak dulu mereka yang berjaya menjadi jutawan di sekeliling anda (pastikan betul-betul kerana ramai di sekeliling kita yang lancar menyebut jutawan tetapi tidak tahu berapa angka digit jutawan), anda akan mengesahkan ‘time frame’ tersebut.

Begitu juga dengan bidang yang lain. Membuka pintu lebih sukar berbanding menemui berbagai-bagai perkara selepas pintu terbuka. Buktikan sendiri.

Ramadan lepas, semasa Ukhwah.com mengadakan ‘Grand Iftar’ untuk kali ke 5 di KL-Sentral, saya bertemu dengan Aman Shah. Siapa Aman Shah ini? Generasi baru tak kenal. Generasi lama seperti saya ramai yang kenal. Bagaimanapun, suara Aman Shh pasti kedengaran seiap kali Hari Raya dengan lagu “Kepulangan Yang Dinanti” (Bergema suara takbir di angkasa, selembut bayu meresap ke dalam jiwa, betapa hatimu terharu, menyambut anakmu kembali…)

Yang peliknya, sejak sekian lama, saya memang nak bertemu dengan Aman Shah. Memang saya telah set di dalam fikiran dan fizikal saya (Rahsia Ajaib) suatu hari nanti atas kehendak Allah saya akan bertemu dengan Aman Shah. Ada tujuannya. Pada tahun 90’an, terserempak di Taman Tun, tapi tak berkesempatan menyatakan tujuan saya.

“Kau teka berapa umur aku.” Tanya Aman Shah sesudah bersalaman, bersembang-sembang sementara menanti azan berbuka puasa. Nasi, ikan, sayur dan dua gelas minuman di depannya.

Saya menung sekejap kerana tidak mahu meneka. Memang pelik, Aman Shah memang awet muda.

“Saya dah 53” Kata Aman Shah.

Saya terpegun dan pelik. Wajahnya masih seperti 40’an.

“Apa rahsianya” Tanya saya yang juga sangat inginkan awet muda tanpa suntikan botox atau placenta (uri). Kalau vitamin C bolehlah… Herman Tino pun lebih kurang umur Aman Shah dan sememangnya seangkatan, wajahnya juga awet muda. “aku wes limang puluh ro (Aku dah lima puluh dua)” Kata Herman Tino suatu malam di restoran (tak tahu lokasi restoran itu) semasa minum teh dengan Akhil Hayy. Secara tak sengaja terserempak Herman Tino yang berasal dari Kanchong Darat, Banting itu kemudian berhijrah ke Kampung Sungai Gulang-Gulang, Tanjung Karang. Kini beliau mengusahakan Restoran D5 di Kota Damansara.

“Kuasa Allah…” Kata Aman Shah. Jawapan yang paling tepat namun kurang tepat kerana “takdir di tangan Allah, tadbir di tangan manusia.”

Kembali ke zaman jahiliyah, zaman serba tak kena di Banting dan Kuala Lumpur. Salah satu kumpulan yang saya minati ialah kumpulan Tha Queens. Bukan Queen yang penyanyinya mati kerana AIDS itu, tapi The Queens kumpulan 2 orang adik beradik perempuan dari Singapura. Seorang namanya Fara Diba dan seorang lagi, yang matanya bulat, hidung mancung saya tak ingat namanya. Salah satu lagu paling popular ialah “Tak Mengapa” (asal: A Rahman Hassan) dan satu lagi kesukaanku ialah: “Aku Jangan Digoda”.

Fara Diba ini berkahwin dengan Aman Shah.

Sejak dari itu, saya mencari-cari Aku Jangan Digoda itu, untuk nostalgia. Kerana itulah saya sejak dulu menanam niat bertemu Aman Shah untuk bertanyakan tentang lagu yang dinyanyikan oleh isterinya itu. Saya nak minta lagu tersebut dari beliau, sambil dengan harapan, isterinya, atau beliau masih menyimpan lagu bersuara manja dan remaja itu.

(photo)
The Queen pada tahun 80’an. Yang belakang itulah Fara Diba. Yang depan itu berwajah Arab dan bermata bulat, tak ingat siapa namanya.

Rahsia Ajaib (judul buku saya yang akan berada di pasaran bulan Oktober ini, terbitan PTS) terjadi — saya bertemu Aman Shah tanpa diduga. Tapi gagal untuk mendapatkan lagu tersebut dari beliau.

“Saya dah bercerai dengan Fara Diba, 17 atau 18 tahun dulu.”

“Erkkk…”

Begitulah kisahnya. Apa yang sangat saya kagumi ialah tentang Rahsia Ajaib — bila suatu masa dulu saya fokus hendak bertemu dengan Aman Shah suatu hari nanti, akhirnya saya bertemu, walaupun mengambil masa bertahun. Walaupun maksud saya bertemu itu tidak kesampaian. Kata seseorang, “Berhati-hati dengan apa yang anda impikan, anda mungkin akan memperolehinya.”

Dunia ini kecil. Aman Shah menghulurkan kad. DINA. Ada nama produk DINA pada kad itu. Tahun lepas, ketika pelancaran album Akhil Hayy di Saloma Bistro, syarikat yang membawa jenama produk DINA itulah yang menaja majlis tersebut. Syarikat itu jugalah yang menaja ‘road tour’ Akhil Hayy.

Bila kita mencari, kita akan menemui. Itu pegangan saya sejak dulu. Contohnya, sejak dulu lagi saya mencari lagu The Queens itu. Akhirnya, saya menemui. Saya menemuinya melalui sahabat yang dikenali di ireans.com. Dari laman web beliau popoknet.blogspot.com akhinrya saya menemui lagu: Aku Jangan Digoda

Apa mesejnya? Kalau saya boleh menggunakannya untuk mendapatkan lagu yang menjadi nostalgia zaman jahiliyah, bolehkah saya atau anda menggunakannya (Rahsia Ajaib) untuk perkara lain yang lebih hebat? Jawabnya: kalau saya boleh mendarab 2 x 5, pasti tidak ada masalah saya mendarab 123456 x 7890

Pencarian diteruskan. Masih ingatkah lagi saya pernah memberitahu anda bahawa saya sudah beberapa lama mencari lagu Steps yang jiwang yang berjudul, “Sekian Lama Aku Merinduinu” yang ada kenangan jiwang? Lagu tersebut nyayian Idzhar. Kenangannya ialah video klip lagu tersebut di sawah padi, kalau tak silap di Tanjung Karang, Idzhar menyanyi di luar, di sawah dan seorang anggota kumpulan itu, Veronica Nunis berada di sebalik langsir rumah. Alangkah jiwangnya!

Sekali lagi zaman jahiliyah. Saya mengenali Veronica dan adiknya dalam satu pertunjukan pentas, seingat saya di Kelanang, Banting. Alangkah lucunya, sanggup saya, dari Banting menaiki bas ekspres ke stesen Kelang-Kuala Lumpur. Dari situ menaiki bas lain menuju ke Jalan Bacang, di Jalan Ipoh ke rumah Veronica dan keluarganya. Kelakar mengenangkan kesungguhan untuk perkara yang tak berfaedah itu. Maklum saja, zaman jahiliyah.

Saya tak tahu, nama Nunis ini sebenarnya nama Portugis atau nama apa? Pelik sungguh, beberapa tahun kemudian saya mengenali seorang lagi penyanyi yang nama keluarganya Nunis. Masih ingat peserta Bintang RTM yang dirasakan paling ‘tough’ saingannya — zaman Ramlah Ram menjadi juara? Sebaris dengan Ramlah Ram adalah Jamilul Hayat, Najib Hanif, Carol Ormila dan seorang yang saya sebut tadi: Michelle Anne Nunis.

Kumpulan Steps diketuai oleh anak Ahmad Nawab. Tak ingat namanya. Penyanyinya pula ialah Idzhar dan Veronica Nunis.

(photo)
Idzhar kiri sekali dan Veronica di depan. Album ini mengandungi lagu Sekian Lama Aku Merinduimu

Idzhar atau nama penuhnya Mohd Idzhar Md Noer telah pergi tak kembali pada pagi 26 Jun 2004 akibat penyakit campak dan telah dikebumikan di kampungnya di Kulim. Al-Fatihah.

Saya menemui lagu jiwang tersebut di ireans.com. Hanisah, adik presiden Ukhwah.com yang memberitahu saya tentang ireans.com. Apa yang ingin saya ketengahkan ialah: semasa bertahun mencarinya, saya tidak menemui. Selepas saya menemui di ireans.com, sekarang ani banyak sekali laman web yang membolehkan download lagu tersebut.

Apa mesejnya? Bila pintu telah terbuka, banyaklah yang akan ditemui dan keluar masuk. Yang sukar ialah semasa membuka pintu.

Bukan hanya untuk lagu, untuk apa saja. Sukarkah mengumpulkan RM100,000 yang pertama? Setengah orang sukar, setengah yang lain tidak sukar. Mungkin bertahun untuk mengumpulkan RM100,000 yang kedua, ke sepuluh dan ke seratus.

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.