Razzi Armansur

Mutiara di depan masjid

Selepas terawih, bertemu sahabat di depan masjid. Sembang-sembang sikit sebelum balik. Tapi bagi saya, malam Ramadan tahun ini, maksudnya pada malam saya bersembang di depan masjid itu, saya mendapat mutiara yang sangat berharga.

Saya mendapat tazkirah ringkas yang sangat penting. Dan, perlu saya paparkan di sini supaya dapat dikongsi bersama, supaya mutiara penting itu tersebar.

Kata sahabat yang memberi tazkirah ringkas itu:

1. Bermaafan bukan di bulan puasa atau Hari Raya, sebaliknya sepanjang masa, sepanjang hayat kerana kita tidak tahu bila tempoh usia kita. Bagaimana kalau tak sempat minta maaf, kita sudah pergi tak kembali?

2. Kadang-kadang, mungkin kita malu nak minta maaf, atau tak kesampaian nak minta maaf, masih ada cara iaitu dengan mengirimkan Fatihah kepada orang yang kita pernah buat salah. Kirimlah sebanyak-banyaknya, sedaya mungkin. Sambil buat kerja, sambil memandu, sambil berehat, kirimlah Fatihah dan niatkan, “Fatihah ini aku kirimkan untuk orang yang pernah aku bersalah.” Menurut sahabat tadi, kalaulah si polan itu tidak memaafkan, Fatihah yang kita baca tadi dapat memberatkan timbangan kita di akhirat nanti dan semoga menjadi lebih berat dari dosa atas kesalahan pada seseorang tadi. Allah Maha Kaya, Maha Pengampun, Allah Maha Mengetahui.

3. Jangan sekali-kali lupa untuk memohon kepada Allah SWT juga supaya dosa kita kepada manusia diampunkan Allah. Mohon kedua-duanya — mohon ampun sebab berdosa pada Allah dan mohon ampun sebab bersalah pada manusia. Allah Maha Pengampun, Maha Mengetahui.

4. Mustahil tidak ada orang yang bersalah dengan kita. Kita ada bersalah dengan manusia lain, sudah tentu ada manusia lain yang bersalah dengan kita. Bagaimana? Hanya memaafkan sahaja? Ya, maafkan mereka. Dan, ini penting sekali: kirimkan Fatihah sebanyak-banyaknya kepada orang yang melakukan kesalahan kepada anda sama ada anda ketahui atau sebaliknya. Niatkan: “Fatihah ini adalah untuk orang-orang yang bersalah denganku sama ada sengaja atau tidak.”

5. Jadi, setiap hari, sepanjang hayat, kirimkan Fatihah kepada orang yang telah anda lakukan kesalahan dan orang yang bersalah dengan anda sama ada disengajakan atau sebaliknya.

Kaedah tersebut sangat simple tetapi kesannya amat besar. Marilah sama-sama kita mengamalkannya.

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.