Petang Aidiladha. Pergi ke Mutiara Damansara. Di sini ada Tesco, Ikea, Ikano, Curves. Dulu perkampungan orang asli, kini perkampungan hypermarket. Moga-moga kawasan ini akan terus aman damai dan terhindar dari menjadi kawasan maksiat seperti Bangsar.
Selain diwartakan kawasan maksiat dan tadahan hujan arak sama tinggi dengan Bukit Bintang, Bangsar juga kawasan lelaki mengada-ada, pelik dan menjijikkan. Pernah melihat lelaki (bukan suami) dan perempuan (bukan isteri) berpegang tangan dan si lelaki yang memegang beg tangan perempuan? Loya? Jijik dan meloyakan! Dan ada pula persamaan — si lelaki selalunya memakai cekak rambut.
Saya memandang ke arah The Curves. Terlihatlah kedai buku yang besar BORDERS. Tempoh hari dikhabarkan ada kedai buku terbesar di Berjaya Times Square. Nama kedainya ialah BORDERS. Kini dibuka di The Curves. Dengan ini sudah ada 3 kedai buku besar sekitar Mutiara Damansara. 1 POPULAR di Ikano, 1 MPH di The Curves dan baru dibuka BORDERS. Kesemuanya besar-besar belaka. Lebih menimbulkan tanda tanya BORDERS adalah milik syarikat besar: Berjaya Group. Apa mesej yang hendak disampaikan hinggakan syarikat besar seperti Berjaya Group itu membuka rangkaian kedai buku?
MPH dan Popular saling bersaing. Bahkan MPH dengan MPH pun bersaing kedai buku siapa lebih besar. Lalu di kedai buku memang tak pernah sepi — sentiasa ada orang ramai. Pekerjanya sentiasa sibuk. Kaunter pembayaran sentiasa ada yang berbaris. Apa mesej yang hendak disampaikan dan apa peluang yang tersedia untuk penulis? Fikirkan.
Tahun 1990, tahun kelahiran anak sulung saya Edika Armansur — saya mula serius menulis. Saya berazam untuk menjadikannya sebagai kerjaya sama seperti kerjaya doktor, guru, juruterbang, kerani. Di sekeliling kita ini ramai yang serba tahu, tukang ramal dan jururunding, tanpa gaji mereka dengan rela hati memberikan nasihat. Ramai sangat di sekeliling anda. Berkatalah seseorang kepada saya pada tahun tersebut, “Jadi penulis tak boleh kaya.” Satu ayat penyata yang merosakkan. Berhati-hatilah. Sepatah kata yang merosakkan akan kekal berada di dalam fikiran orang lain menyebabkan anda mempunyai “saham” atas kerosakan tersebut.
Namun saya tak menyalahkan orang yang berkata begitu. Sesudah 15 tahun, masih ramai yang tidak menghormati penulis. Masih ramai yang menganggap penulis adalah kerja daif, miskin, terpinggir. Masih kekal pertanyaan, “Boleh cari makan ke menulis?” Jangan menyalahkan pengguna. Pengguna berkuasa, dan hak dan persepsi sendiri. Sebaliknya kita ini kaum penulis yang perlu melihat kepada diri sendiri, mencari kesilapan kumpulan kita ini, kemudian mengubahkan, memartabatkan kerjaya ini.
Mari kita berada di pihak pengguna, sekejap. Bila seseorang mengatakan “Saya penulis” kepada kita (pengguna) apa yang tergambar di fikiran. Tergambar penulis sastera yang kelihatan daif, miskin, papa kedana dan imej selekeh. Jadi berhak atau tidak kita ini kaum penulis digolongkan sama seperti imej penulis sastera itu? Itu imej yang dibawa, berhakkah kita dihormati? Berhakkah tulisan kita dinilai dengan harga yang tinggi?
Saya terlalu musykil — mengapa agaknya seni dan sastera dikaitkan dengan selekeh? Selekeh ini ajaran siapa? Ajaran Islam? Islam tak suka penganutnya selekeh. Islam suka penganutnya kemas dan bersih. Islam juga menganjurkan umatnya mencari kejayaan dan kekayaan bukan menzahirkan imej malang, miskin, papa kedana. Pernah satu ketika seorang lelaki berkemampuan ditegur oleh Rasulullah kerana berpakaian sama seperti orang miskin. “Allah lebih suka kita menzahirkan nikmat pemberianNya.”
Perlukan imej seperti itu? Apa yang hendak ditonjolkan melalui imej malang, derita dan seumpamanya. Sebab itu saya sangat meluat dengan orang-orang seni (?) yang mempamerkan imej malang, kecewa, papa kedana, miskin — pakai baju lusuh, songkok buruk, beg sandang yang sudah koyak. Imej inilah yang merosakkan kita kaum penulis lain yang serius mencari mencari kehidupan melalui penulisan. Seorang dua yang membawa imej musafir, ramai kaum penulis yang menanggung akibat. Apa perlunya imej seperti itu.
Mengapa mesti selekeh dikaitkan dengan karya? Apa perlunya selekeh? Perlu? Apa perlunya penyajak pakai baju buruk? Miskin? Takkan sampai begitu miskin. Duit royalti tak mampukah untuk membeli sehelai baju baru dan songkok baru? Tidak terfikirkah imej buruk seperti itu menyebabkan penulis-penulis lain dipandang rendah dan dipelekehkan. Pengguna tidak faham genre di dalam penulisan. Bagi mereka, asalkan seni, karya, penulisan, buku, kaitannya ialah penulis sastera yang daif.
Bagaimana kalau penulis datang dengan Porsche Carerra 911? E200 Compressor? Bertali leher dan memakai kot, kemas, menawan kemudian terdengar bisikan, “Itulah penulis sipulan sipulan…” Orang akan hormat. Karya yang dihasilkan dari sehelai kertas kosong akan dihargai. Bayaran akan ditingkatkan. Mutu kehidupan penulis akan meningkat. Pening kepala makin kurang, menghasilkan penulisan, ilmu-ilmu yang berkualiti untuk kemajuan umah.
Apa peluang yang akan kita raih dari pertumbuhan kedai buku yang amat memberangsangkan. Adakah kita bersedia? Atau adakah kita hanya akan putih mata sahaja melihat kedai buku makin banyak dan besar belaka. Pengguna yang berkuasa. Bagaimana kalau selama ini pengguna dihidangkan dengan tulisan karut dan tidak berkualiti?
Ilmu-ilmu karut dan tulisan yang tidak berkualiti begitulah yang yang menyebabkan pengguna loya dan mengklasifikasikan semua penulis akan membekalkan ilmu karut dan bohong. Sama seperti pengguna akan mengklasifikasikan semua penulis adalah sengsara sebagaimana imej yang ditayangkan oleh penulis sastera (sasterawan).
Sedikit masa dulu rakyat Malaysia mabuk dengan telemovie. Mula-mula memang berkualiti. Lama-kelamaan kerana nak mengejar duit, telemovie dibuat secara tangkap muat. Menjijikkan. Pengguna mencebik kepada segala rupa telemovie walaupun berkualiti akibat dari tangan-tangan tidak bertanggung jawab yang merosakkan pasaran. Jadi, kaum penulis perlu mempertahankan industri buku. Jangan sampai ada tangan-tangan perosak yang merosakkannya. Yang tahu akan menulis, yang hendak tahu akan hanya membaca. Setiap orang ada peranan masing-masing. Kalau ayam cuba hendak terbang seperti helang atau helang cari makan di tanah seperti ayam ? tunggu sajalah kehancurannya.