Razzi Armansur

Kalau begitu, universiti dan kolej pun terlibat

Anak saya Edika Armansur mengadu, katanya telefon dia paling murah di antara rakan-rakan sekolahnya. Kata saya, “Tak apalah Edi, nanti abah jadi jutawan abah belikan yang paling canggih, yang paling mahal.”

Lagipun, tak semestinya ada RM1 juta untuk menjadi jutawan. Sana-sini terdengarlah perkataan jutawan tanpa mengetahui berapa digit sebenarnya angka juta yang membolehkan seseorang menjadi jutawan. Kedengaran, “Penyanyi si pulan atau si pulan akan menjadi jutawan dalam masa yang singkat.” Kira balik hasil yang bakal diperolehi membolehkan menjadi jutawan (kalau pun mendapat bayaran — sebab biasanya masuk angin keluar asap saja. Yang pasti hanya tinggal angan-angan, tak akan mendapat bayaran apa-apa).

Kalau dibayar baru lingkungan RM300,000. Jumlah banyak itu boleh disebut jutawan? Suku jutawan sahaja. Kalau dibayar.

Kemudian, kedengaran, pemain sukan yang tidak popular tetapi diagungkan, disensasikan sebagai sukan paling top bakal menjadi jutawan. Sekali lagi dikira, tak pun sampai RM500,000 (kalau pun dapat, kalau dibayar). Itu bukan jutawan, itu hanya separuh jutawan.

Cikgu tak benarkan murid-murid sekolah rendah dan menengah membawa telefon bimbit ke sekolah, katanya atas arahan kementerian. Yang peliknya, mengapa kementerian tak memberi arahan yang sama kepada siswa universiti, kolej dan lainnya? Kalau soal gangguan, adakah akan hanya mengganggu murid-murid sekolah sahaja? Mengapa kerajaan tak menghalang kakitangan kerajaan dari membawa telefon bimbit ke tempat kerja? Bukankah itu mengganggu produktiviti?

Perkara pelik yang sama pun terjadi: murid sekolah dilarang membawa kalkulator ke sekolah. Sudah lebih 40 tahun kalkulator sampai di Malaysia, dan kononnya Malaysia ke arah negara teknologi tetapi masih tidak membenarkan murid sekolah mengira menggunakan kalkulator. Sudah tahu asas mengira, benarkan saja menggunakan kalkulator. Negara industri yang tidak membenarkan murid sekolah menggunakan kalkulator.

Matikan telefon bimbit waktu belajar. Boleh dibuka waktu rehat. Habis cerita. Negara teknologi yang mengharamkan telefon bimbit di sekolah. Teknologi? Saya rasa Malaysia sudah hilang identiti. Macam gagak yang belajar berjalan dari ayam. Gaya berjalan gagak bukan, ayam pun bukan. Dah elok-elok negara pertanian nak bertukar kepada industri. Thailand kekal pertanian dan maju dalam industri serta pertanian. Jepun, Korea berjaya kedua-duanya. Malaysia? Pertanian bukan, industri pun bukan. Bila nak balik semula ke arah pertanian, semuanya dah habis. Tanah-tanah sudah bertukar menjadi hutan batu dan padang golf. Kita ada 205 padang golf tapi tak mampu melahirkan satu pun Tiger Wood! Lucu? Memang lucu!

“Sebab agaknya cikgu irihati, cemburu tengok telefon murid yang lebih mahal.” Kata saya kepada kepada Edika. “Sebab itu telefon bimbit tak dibenarkan di sekolah.” Memang begitulah. Khabarnya yang bersekolah di Sekolah Menengah Taman Tun Dr Ismail ini, anak-anak orang kaya. Tapi saya kurang percaya sebab orang kaya yang pernah saya temui kebanyakannya menggunakan telefon lama. Begitu juga dengan anak-anak mereka. Saya rasa hanya sekadar sederhana sahaja sebab “Those who has less will show more.”

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.