Razzi Armansur

Cara Mudah Nak Dapat Dr.

Minggu lepas, sekali lagi ke Pesta Buku Antarabangsa 2006. Kali ini bersama Presiden Ukhwah.com, Hanan dan adiknya Hanisah serta Timbalan Presiden Portal Muslimah: Kaei yang sudah sekian lama tak bertemu. Pengarah Event, Puan Istisafa tak dapat datang sebab sudah bersama dalam pesta tersebut seminggu sebelumnya.

(photo)
Dari Kiri: Hanan, Presiden Portal Ukhwah (UM), Kaei, Timbalan Presiden Portal Muslimah (UM), Hanisah, adik Presiden (UIA). Mereka bertiga akan mengambil Master dan jika berkemampuan akan terus sampai PhD.

Apabila bertemu, banyaklah perbincangan untuk kemajuan bersama. Salah satu senda gurau yang lazim adalah mengenai Dr. Kata mereka, “Letak saja Dr. kat depan nama. Nanti kalau orang tanya, jawab saja ia bukan Doktor tapi singkatan perkataan DARI.” Lawak yang bijak dan kreatif. Semudah itu meletakkan Dr. di depan nama.

Lambakan “Dr Mee Segera” atau “Dr. Ayam” memang menjadi-jadi di dalam industri MLM dan penulisan. Jika tidak dibenteras, ia akan lebih teruk lagi. Jual tongkat ali letak Dr. di depan nama. Jual susu awal kelentong pun letak Dr. Jual mengkudu letak Dr ditambah dengan “Sir”. Buat terapi (?) mandi ais pun letak Dr. dan Sir di depan nama. Tahu satu dua perkara tentang homeopati, letak Dr. di depan nama.

Tulis novel, tulis buku “motivasi angin” letak nama Dr. di depan nama. Kelentong yang dijadikan tiket supaya “angin” laku. Tong sampah akan menarik sampah. Lihat sajalah pembaca buku yang ditulis oleh Dr Ayam.

Tapi ingat, di sekeliling kita ini makin ramai manusia pandai. Apa yang dilakukan itu boleh menjadi “boomerang”. Tunggu saja suatu hari nanti orang marah kena kelentong dengan tulisan-tulisan angin dan kata-kata angin.

Tulis buku menipu masyarakat kononnya jual aiskrim, peniaga pasar malam boleh menjadi jutawan, serta-merta meletakkan Dr. di depan nama. Kalaulah diri tahu betapa sengsaranya peringkat-peringkat hendak mendapatkan Dr atau Chef, tentu tak berani meletakkan Dr atau Chef di depan nama. Yang peliknya, Executive Chef yang original dan berpengalaman lebih 30 tahun tak pernah hendak memberitahu umum atau meletakkan Chef di depan namanya, kecuali pihak media beria-ia benar memberikan gelaran tersebut.

Tak lama lagi jual burger pun meletakkan Dr. di depan nama. Makin menjadi-jadi dan perlu tindakan tegas dari pihak kerajaan. Kalau orang yang menyamar Doktor medik boleh dipenjarakan, mengapa orang yang menyamar Doktor falsafah atau ?Doktor Anugerah? tidak diapa-apakan?

Tak ada nilai? Memang tak ada nilai di mata orang yang sewenang-wenangnya meletakkan Dr. itu. Kalaulah tahu betapa sengsaranya nak mendapatkan Dr. tak mungkin sewenang-wenangnya menggunakannya. Kalaulah kita tahu betapa besar nilai Ustaz dan Ustazah, kita tak mungkin sewenang-wenangnya meletakan Ustaz dan Ustazah di depan nama, sama seperti Arqam dan Rufaqa’.

Bagaimana cara mudah hendak mendapatkan Dr.? Sangat mudah, letakkan saja Dr. di depan nama. Ada siapa yang nak pertikai? Tak ada ? sebab, “Akan sentiasa ada pembohong selagi ada yang rela dibohongi.” Yang tahu hanya kawan-kawan rapat. Saya sendiri meletakkan Dr. di pangkal nama saya pada header e-mel saya. Lebih hebat lagi saya meletakkan “Tun” menjadi Tun Dr. Kang Razzi Armansur. Sengaja untuk memperli orang-orang yang cuba memperbodohkan orang lain.

Itu saja cara paling mudah untuk meletakkan Dr. dan menipu masyarakat. Tak perlu belanja satu sen pun. Satu lagi cara ialah dengan ke luar negara, misalnya India atau New Zealand, kononnya ada konvo dari “Neverheard University”. Selepas itu ambil gambar penyerahan scroll atau penyarungan jubah seperti Doktor Kehormat oleh Matt Salleh yang kerja di pusat tuisyen misalnya. Gambar ini dijaja dan dijadikan bukti. Pendek kata kalau rumah terbakar, jangan sampai gambar itu terbakar.

Tapi saya rasa itu pun cara bodoh. Cara paling murah pergi saja ke mana-mana kedai gambar yang menyediakan jubah dan mortarboard (topi konvo) ? bergambarlah puas-puas, banyak-banyak, besarkan dan letakkan di dinding rumah atau pejabat tanpa rasa malu dan bersalah. Mudah? Memang mudah.

Tetapi hakikatnya, untuk mendapatkan Doktor, sebagaimana yang dibincangkan bersama pembesar-pembesar Ukhwah.com tadi, memang sangat susah. Pertama, Doktor ada 3. Satu Doktor Medik dan Doktor Falsafah. Yang ketiga Doktor Kehormat (anugerah, bukan semestinya berdasarkan akademik. Hamzah Dolmat penggesek biola pun pernah mendapat Dr Kehormat. Begitu juga dengan Dato? Ahmad Nawab yang membawa gelaran Dato? Dr Ahmad Nawab).

Dr Medik mengiku aturannya hendaklah meletakkan (Dr) dengan D huruf besar dan r huruf kecil. Dr. Falsafah pula meletakkan DR dengan kedua-duanya huruf besar. Tapi aturan ini paling tak dipakai terutama oleh penipu-penipu yang menipu dan memperbodohkan masyarakat.

Doktor Medik akan bermula dari SPM, Matrik, Ijazah Kedoktoran, Doktor pelatih, Doktor penuh. Prosesnya dari ijazah hingga jadi doktor antara 7 hingga 10 tahun. Sengsara? Tanyalah siswa-siswi dan siswa-siswi medik yang berlambak di Ukhwah.com.

Doktor Falsafah pula lain ceritanya. Sudah tentu dimulakan dengan SPM. Tak ada SPM, ulang sampai lulus SPM. Lepas SPM, untuk pengetahuan Dr Mee Segera, kenalah masuk Matrik atau terus Universiti untuk mendapatkan ijazah. Dari SPM hingga ijazah selalunya mengambil masa 3 hingga 4 tahun atau 5 tahun kerana adakalanya kena ulang. Selepas dapat ijazah lihat pada point. Kalau cemerlang boleh ambil Master. Kalau point kurang dari 3, kenalah bekerja dulu selama 3 tahun baru boleh datang semula untuk mengambil Master. Dan sememangnya bukan senang nak mendapatkan Master.

Bukan boleh jumpa pensyarah dan berkata, “Pensyarah, saya nak ambil Master.” Masa, wang, tenaga, kebijaksanaan amat diperlukan untuk mengambil Master. Masa yang diambil untuk mendapat Master biasanya 2 — 4 tahun. Tengok pada masa, kewangan, tenaga, genius.

Kemudian masuk PhD yang boleh membawa gelaran Dr. Ia hanya boleh dibuat selepas keputusan Master adalah cemerlang. Selalunya kalau genius, akan mendapat rekomen dari pensyarah. Satu peringkat sudah selesai jika ada rekomen dari pensyarah. Rekomen dari pensyarah ini memudahkan dan tak semua pemegang Master mendapat rekomen tersebut.

Sama ada mendapat rekomen atau tidak, kena menghantar proposal dahulu. Proposal mengenai kajian yang akan dijalankan. Kalau diterima mengambil PhD, ia bukan tiba-tiba boleh mendapat Dr. Ia memakan masa yang sangat panjang. Paling singkat pun 2 tahun jika genius, ada masa, ada kewangan, ada sponsor. Bahkan jika ada yang mengambil masa 2 tahun, bolehlah dikira sebagai “miracle” sebab ia jarang sangat terjadi.

Paling lama mungkin hingga mencapai 10 tahun. Hasil thesis dibukukan. Bukan buku motivasi sebaliknya kajian, thesis.

Sudah tahu betapa susah dan sengsaranya hendak mendapat Dr.? Perhatikan sekali lagi, biasanya orang yang mendapat Dr. ini selalunya sudah berumur, sudah mempunyai pekerjaan yang stabil. Perhatikan. Jadi, kalau usia bawah 40 tahun, ada Dr. di depan namanya, Dr. apa itu? Kalau baru lepas SPM atau tak pernah lulus SPM tiba-tiba ada Dr di depan namanya, Dr. apa itu?Berhak atau tidak kalau kita sangsi? Berhak atau tidak kalau kita marah kerana sewenang-wenangnya ditipu selama ini?

Bagaimana nak mengenali Dr. sebenar dan Dr. Ayam? Sangat mudah dengan berdasarkan peribahasa lama, “Tong kosong bunyinya kuat.” Dr. Mee Segera akan berusaha sedaya upaya menonjolkan huruf Dr. di depan nama. Yang Dr. original (sepanjang yang saya temui) seperti malu-malu dan sebahagiannya enggan dipanggil Dr. walhal memang kita tahu dia adalah Dr. Original sama ada doktor medik atau doktor falsafah. Peribahasa lama itu memang tepat sekali.

Saya suka membawakan cerita mahaguru buta untuk mengenali Dr. Mee Segera atau Dr. Original. Seorang mahaguru buta duduk bersama anak muridnya. Lalulah 3 orang di hadapannya, satu per satu bertanyakan arah. Mahaguru memberitahu anak muridnya, “Yang pertama tadi ialah Raja; yang kedua Jeneral tentera; yang ketiga pekerja bawahan.”

Si anak murid kagum kerana Mahaguru yang buta boleh mengenai pekerjaan orang. “Yang pertama tadi kata-katanya sopan, teratur dan lemah-lembut; yang kedua teratur dan tegas; yang ketiga kasar, berterabur. Dari buah kenallah pokok.”

Kalau bukunya, ceramahnya, kata-katanya macam sarkis, sudah boleh mengenal Dr apakah dia? Bukan senang nak senang, bukan susah nak susah. Hanya orang yang bahlul dan mencari susah saja yang sewenang-wenangnya meletakkan Dr. di hadapan nama dan mencanangkannya.

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.