Razzi Armansur

Dari kata-kata kenal orangnya

Web RazziArmansur.com ini tidak dapat di update selalu bagai dulu. Dulu mungkin setiap hari ada bahan update baru. Sekarang sudah terlalu sibuk dengan 1001 macam kerja penulisan yang nampaknya tidak ada penghujung. Ibarat pekebun — saya kini sedang menanam semula. Hasil tanaman 10 — 15 tahun dulu telah saya nikmati. Selama 10 tahun itu saya telah menghasilkan 20 buku yang mana royaltinya saya perolehi tanpa henti sampai sekarang dan akan datang, InsyaAllah. Jika saya tidak menulis 20 lagi buku baru untuk fasa ke 2, maknanya tidak ada peningkatan.

Itulah saja harta yang kelak akan saya tinggalkan untuk anak-anak saya: Edika Armansur & Ezika Armansur. Juga untuk masyarakat. Kesemua 20 judul itu sudah bermain-main di kepala. Salah satunya kisah yang berlaku di Banting dan Morib pada tahun 50’an. Bilalah saya nak ke Banting dan Morib tu.. Akan dicatat satu per satu dan ditulis dengan teliti selama 10 tahun mendatang. Setahun 2 — 3 buku yang berkualiti. Kalau tak fikirkan kualiti, mungkin boleh 5 — 6 buku setahun.

Semalam pergi ke PTS menghantar 9 manuskrip buku-buku lama. Semua buku inspirasi dan umum saya diterbitkan oleh PTS Profesional secara berperingkat-peringkat. Mereka akan upgrade buku-buku saya. Sekali lagi saya bersyukur kerana menjadi “yang pertama” di Malaysia. Rupanya tanpa disedari ramai sungguh yang meminati buku bisnes atau inspirasi yang ditulis dalam bentuk fiksyen. Saya memulakannya dengan Rahsia Dari Damansara (gabungan fiksyen dan non-fiksyen) kemudian Mendaki Puncak Kejayaan (gabungan fiksyen dan non-fiksyen), Jutawan MLM, Kampung Kaya, Misi: Orang Kaya Baru. Semalam Nazrul minta tulis satu buku seumpamanya “Bagaimana cara hendak mendedahkan dan mendidik anak-anak meminati bisnes”. (Saya tak berapa faham. Nazrul mengulang, “Bagaimana nak membisneskan anak-anak…” Kemudian sama-sama ketawa… manalah ada perkataan membisneskan…) Ia dalam bentuk fiksyen dan mestilah lebih hebat dari Kampung Kaya. Sedang memikirkannya….

Buku-buku MLM (ada 5 judul dan 2 judul lagi sedang ditulis) akan diterbitkan oleh Walasri.com, tetap diedarkan oleh PTS menggunakan sistem Pixar. Saya percaya pada PTS kerana sistem mereka yang diakui cemerlang. Lagipun — mereka di PTS sudah seperti adik-beradik saya — terasa sangat kemesraan mereka bila berkunjung ke situ. Mereka memanggil “Datuk (K)ang” atau “Tun Dr. Kang Razzi” atau “Kang” saja. Nama “Razzi Armansur” macam tak ada di PTS baik di PTS Wangsa Melawati atau PTS Batu Caves.

Di PTS Wangsa Melawati bertemulah dengan beberapa orang sahabat lama. Antaranya ialah blogger yang saya minati: Mat Jan — dan juga pelukis komik yang sedang mencipta nama: Pernah bertemu Matjan dan Alwan di Penang tahun 2004, semasa Ukhwah.com mengadakan Mega JK bersar-besaran. Sebelum itu saya memang selalu membaca blog beliau. Tak sangka bertemu kembali di PTS.

——-

Tak lama dulu, teringat ketika memberi ceramah (percuma) kepada beberapa orang. Ceramah saya mengenai bagaimana suasana sekeliling kita dapat memberi berbagai-bagai idea sama ada untuk hidup, bisnes atau ciptaan baru. Bahkan, hampir kesemua objek (ciptaan) di sekeliling kita ini adalah berdasarkan alam sekitar. Kapal terbang berasaskan burung, Tangga berpusing berasaskan cengkerang siput, Terowong Pencala Link berasaskan rangka dada manusia yang kuat untuk melindungi organ-organ penting.

Saya bawakan kisah bagaimana kertas dicipta. Kertas dicipta di Negara China setelah seorang professor yang sedang berehat terlihat labah-labah memakan dan melumatkan daun buluh kemudian diluahkan dan dileperkan. Itu asal permulaan ciptaan kertas — dari daun buluh. Belum pun habis saya bercakap seorang yang saya kenali bertanya, “Habis tu kenapa harga kertas turun naik?” Saya terkedu mendengar soalan itu.

Sekarang anda nilai sendiri ? pandai atau bodoh yang bertanya itu. Saya cakap lain, penerimaannya lain. Agaknya kalau saya bercakap mengenai penciptaan kapal terbang terhasil bila dua adik-beradik tukang basikal memerhatikan burung terbang, dia akan bertanya, “Habis tu kenapa MAS mengalami kerugian?”

Nasib baik dia tak memulakan dengan, “Saya merasa terpanggil untuk…” (Hanya si poyo, orang yang tak tahu apa-apa, tapi lagak tahu sahaja suka memulakan mukadimah bodoh begitu).

Jadi, lain kali bila berbual atau mendengar sesuatu, ini cara yang sebaik-baiknya:

1. Dengar dengan penuh teliti hingga selesai. Bila fikiran anda merayau mencari-cari apa yang akan anda ucapkan selepas ini, segera hentikan perayauan itu. Ia mengganggu konsentrasi.

2. Fahami apa sebenarnya yang diucapkan. Jika ia mengenai ciptaan kertas adalah tolol jika mengaitkan dengan harga kertas masa kini.

3. Jangan memonopoli cakap. Orang lain pun nak bercakap juga. Sebagaimana kita mahu orang lain mendengar dengan penuh minat, kita mestilah mendengar dengan penuh minat apa yang orang lain perkatakan.

4. Jangan membuat keputusan segera. Biarkan habis bercakap dulu, fahami, barulah kita boleh membuat pengesahan.

5. Jangan sesekali memotong cakap orang. Sabar, giliran anda akan sampai. Anda benci bila cakap anda dipotong? Orang pun benci juga. Gigit lidah anda jika tergerak hendak memotong.

6. Jika terserempak nak sama-sama bercakap, dulukan orang di depan anda. Biar dia bercakap dulu.

7. Jangan menyampuk-nyampuk cakap orang walaupun anda tahu apa yang sedang diperkatakan itu. Biarkan dia bercakap sendiri, tak payah menyampuk, menokok tambah dan sebagainya, melainkan anda diminta.

8. Jangan sekali-kali buat-buat faham. Ini amat bahaya — Little knowledge is dangerous. Bahkan orang lebih menghormati anda jika anda bertanya, “Boleh terangkan lebih lanjut tak, saya masih kurang faham. Bagi contoh sekali.”

9. Hanya katak dan “leader-leader katak MLM” yang suka melompat-lompat. Jadi, habiskan satu-satu topik sebelum melompat atau memotong ke topik lain.

10. Dan inilah yang penting sekali. Jangan bercakap kalau tak tahu atau hanya tahu sedikit. Lebih baik menjadi pendengar dari bercakap perkara yang kita tak tahu atau atau hanya tahu sikit-sikit.

11. Jangan pula macam kura-kura… diam saja. Kalau tak tahu apa nak dicakap, lebih baik bertanya, bukan diam saja macam kura-kura demam?

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.