Razzi Armansur

Hebatnya Lelaki 77 Tahun!!

Malam tadi terpandang berita di TV (ter… maknanya tidak menetapkan masa duduk mengadap TV, sebab sejak NTV7 diambil alih Media Prima dah tak ada pertandingan sihat antara NTV7 dengan TV3. Kalau TV1? Itu bukan tandingan — itu stesen TV kampungan). Semasa terpandang itulah terlihat berita lelaki bongkok dibawa polis ke mahkamah (keluar dari mahkamah sebenarnya) atas tuduhan merogol anak (atau cucu) sendiri. Umurnya 77 tahun. Wow!

Baru kena tuduh belum bicara lagi. Kalau benar kesalahannya (setelah dibicarakan), maka bersedialah — orang tua ini akan dimasukkan ke dalam World Guiness Record — “Perogol tertua dari negara Islam Hadhari” Bersedialah juga syarikat-syarikat kecil yang memasarkan tongkat ali, segala rupa kopi yang pelik-pelik belaka di pasaran untuk mengambil orang tua ini sebagai duta. Atau sudahkah Ali Cafe bersedia untuk mengambil orang tua ini menjadi model iklannya? Biasanya hanya syarikat-syarikat kecil saja yang sibuk mencari duta. Artis dijadikan duta — apa fungsinya? Siapa sasarannya? Bukankah nanti terjadi “linking” — artis kan kaki kelentong dulu kini dan selamanya — produk pun produk kelentong.

Mana ada syarikat-syarikat besar pakai duta? Tanyalah kepada Canon — adakah jualan kameranya meningkat dengan mengambil duta? Dan kalau tak payah berduta, bolehkah terus meningkat? Tanyalah Biofeld — dalam industri MLM yang semakin menyakitkan jiwa — adakah dengan berduta-duta begitu mampu menceriakan semula industri MLM? Ramly Burger, Rempah Mak Siti — tak payah duta-menduta, jualannya terus melonjak. Kalau letak duta (artis misalnya), saya pasti jualannya merudum.

Dalam satu pameran industri desa terpandanglah Minyak Afiat, minyak yang sudah berpuuh tahun — konon rebranding. “Siapa ini?” Tanya saya kepada bunting gambar perempuan. “Duta kami, isteri Lan A to Z” Saya tak kenal siapa Lan A to Z itu. Dalam hati berkata, “Siapa dia? Kalau Lan A to Z pun tak kenal, saya kena kenal isteri dia ke? Taruk duta ini, sales naik ke?” Lain kali jangan tunjuk muka bangga pakai duta, suara bangga produk pakai duta.

Berbalik kepada lelaki 77 tahun tadi — benarkah dia merogol? Bagaimana dia mampu merogol pada usia yang sudah dilambai-lambai setiap hari oleh batu nisan. Mengapa dia merogol? Mengapa masih bernafsu lagi? Mengapa ia terjadi di negara Islam Hadhari? Sampai pagi ini saya tak mendapat jawapan.

Kita semakin lali dengan jenayah. Setiap hari kita diasak oleh media elektronik dan bercetak (multimedia) dengan berita pembunuhan, mayat ditemui, rompak, rogol. Bila sesuatu itu diasak setiap hari, kita semakin lali. Dalam masa terdekat nanti kita tidak hairan kalau ada pembunuhan depan mata kerana kita sudah lali.

Yang sangat kita bimbang ialah “branding” — Malaysia negara Islam yang banyak jenayah. Orang akan mula mengaitkan dengan negara kafir. New Zealand negara kafir, hampir tak ada jenayah. Dulu kecurian kambing masuk muka depan akhbar. Kini tak tahu. Singapura bukan negara Islam tetapi jenayahnya kurang. Akan terjadi linking dan branding: Islam = jenayah, ganas. Saban hari juga kita ngeri mendengar hukuman yang diterima. Perogol biasanya akan tua di penjara — 20 tahun, 20 sebatan. Demo sebatan pun telah dijaja dan ditunjukkan. Pengedar dadah kena mandatori hukum gantung. Namun semuanya itu tidak pernah mengurangkan jenayah ? bahkan makin bertambah subur!

Jika kita melakukan apa yang kita selalu lakukan, kita akan mendapat apa yang selalu kita dapat — jadi bukankah sampai masanya mengubah cara? Kalau hukuman yang ada makin menyebabkan jenayah subur, apa ikhtiar kita? Bila Rasulullah SAW tidak dapat membaca “Iqra?” adakah Jibrail R.A memukul dan memarahi Rasulullah? Jibrail memeluk dengan lembut, menenangkan Rasulullah SAW, memujuk hingga Baginda boleh membaca dengan lancar.

“Takkan hukum hudud kot…” Demikian yang selalu kedengaran. Apa masalahnya dengan hukum hudud itu? Janganlah hanya dengar-dengar saja sudah menolak. Memang selalunya yang menolak dan melenting dengan hukum hudud ialah mereka yang hanya dengar-dengar sahaja tidak mendalaminya. Makna hudud pun tak pasti sudah melenting. Dalam kepala terbayang potong tangan, rejam batu, pancung kepala (kalau murtad dan sesudah dibei peluang enggan balik ke agama Islam macam Azlina Jelani).

Kalau betul hukum hudud itu kuno, mari kita bandingkan dengan hukum moden. Berapa orangkah yang kena potong tangan, rejam dan pancung di zaman Rasulullah SAW (pemerintahan 23 tahun) jika dibandingkan dengan hukum moden sekarang — berapa orang yang di dalam penjara, berapa orang yang sudah digantung dan sedang menunggu hukum gantung, berapa orang yang sudah disebat, berapa orang yang menunggu hukuman sebat? Kalau ia hukum kuno, cuba bandingkan kadar jenayah negara yang mengamalkan hukum hudud dengan negara yang tidak mengamalkan hukum hudud. Masih sangsi dengan hukum ciptaan Allah SWT? Habis cerita

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.