Razzi Armansur

Dari setinggan menjadi jutawan — sekelip mata

Lebih kepada dongeng, tetapi mungkin berasaskan kisah benar. Penulis novel atau penulis skrip, pasti berkata, “Mengapa saya tak terfikir.”

“Slumdog Millionaire” adalah filem yang diadaptasikan dari novel “Q & A” (judul asal. Kini diubah menjadi seperti judul filem tersebut). Adaptasinya memang dikatakan berjaya kerana selalunya memang sukar mengadaptasikan novel kepada filem atau ‘mini-series’.

(photo)
Salah satu adegan dalam filem “Slumdog Millionaire” dan novel asal yang berjudul “Q & A”

(photo)
Salah satu adegan dalam filem “Kite Runner” dan novel asal dengan judul yang sama

Filem dari Amerika / United Kingdom ini berasal dari novel pertama seorang warga India, Vikas Swarup. Ini yang lebih mengkagumkan — novel pertama, diedarkan ke seluruh dunia menjadi ‘best-seller’ dan diadaptasikan kepada filem box office.

Ia seperti mengulangi kejayaan Khaled Hosseini penulis novel “Kite Runner” yang kemudian diadaptasikan ke dalam filem box office dan yang paling memeranjatkan apabila dicalonkan untuk Anugerah Oscar. Hendak dicalonkan pun sukar, apatah lagi hendak memenangi anugerah berprestij dan klasik tersebut. Memang telus, “tak main orang dalam.”

Keseluruhan penggambaran filem ini dibuat di Mumbai dan Maharashtra, India. Edaran filem ini meluas ke seluruh dunia. Apa yang amat mengkagumkan saya ialah kebijaksanaan penulis mengaitkan rancangan popular TV “Who Wants To Be Millionaire” kepada keseluruhan jalan cerita. Rancangan TV itu sangat popular di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Kedua, apa yang amat mengkagumkan saya ialah, filem ini menggunakan belanja yang rendah (low budget film) tetapi tiba-tiba menjadi ‘box-office’. Paling mengkagumkan, filem ini telah dicalonkan sebanyak 10 anugerah Oscar! Bukan itu saja, bahkan telah dicalonkan 37 anugerah lain dan telah pun memenangi 42 anugerah lain. Apa rahsia kejayaannya? Rahsianya ialah jalan cerita!

Cerita adalah berdasarkan soalan, “Siapa yang hendak menjadi jutawan?” Serta-merta orang yang waras akan menjawab, “Saya!” Kerana tekanan hidup masyarakat setinggan dan miskin di India, Salim dan Jamal mungkin menjawab, “Saya!” Akhirnya, kedua-duanya meraih kekayaan. Jamal memperolehi kekayaan melalui game show “Who Wants To Be A Millionaire.” Abangnya, Salim, melalui jalan lain.

Cerita dimulakan dengan Jamal yang sedang disoal siasat oleh polis India. Dia disyakki menipu semasa menjawab soalan-soalan dalam rancangan tersebut. Hanya tinggal satu soalan saja lagi yang akan menjadikan Jamal sebagai jutawan, memenangi 30 juta rupee bersamaan USD1 juta, Jamal telah diheret ke Balai Polis, apabila pengacara rancangan tersebut (kalau di Malaysia Jalaludin Hassan), telah melaporkan kepada polis dan menuduh Jamal menipu.

Seksaan dilakukan supaya Jamal mengaku salah. Jamal digantung dan ibu jari kakinya dicaj dengan elektrik voltan rendah menyebabkan Jamal kesakitan.

Inspektor Polis tersebut berkata, “Bijaksana, professor, doktor, orang lain tidak pernah melepasi 60,000 rupiah tetapi bagaimana kamu yang dari setinggan boleh melepasi sampai 10 juta rupee?”

Jamal menjawab, “Sebab saya tahu semua jawapannya.”

Hamnpir kesemua soalan di dalam rancangan tersebut ada kaitan dengan kehidupan Jamal dan Salim sejak dari kecil dan membesar di merata tempat kawasan miskin di India. Contohnya, soalan pertama, “Siapakah bintang filem Zanjer pada tahun 1973.” Masakan Jamal boleh melupakan, pada tahun tersebut, ketika masih kecil lagi Jamal terpaksa terjun ke lubang najis bagi mendapatkan tanda tangan bintang filem terkenal Amitabh Bachan yang melawat kampungnya.

Contoh lain, “Siapakah personaliti yang tertera pada wang kertas 100 dollar Amerika,” Jamal tahu jawapannya kerana dia pernah memberikan wang 100 dollar kepada rakan lamanya yang telah dibutakan oleh sendikit pengemis. “Betulkah ini wang 100 dolar? Gambar siapakah yang tertera?” Tanya rakannya yang buta. Jamal menjawab, “Orang tua, botak di tengah dan rambutnya panjang di kanan kiri, macam perempuan.” “Oh… itu Benjamin Franklin.”

Dari manakah Jamal tahu semua jawapannya? Kerana dia telah mengalami soalan-soalan atau jawapan-jawapan tersebut sejak dari kecil. Pada suatu hari, kawasan setinggan tersebut diserang puak Hindu, emak mereka berdua terbunuh. Memang selalu sangat terjadi pertempuran antara Muslim dan Hindu di India, bahkan sejak dari zaman Mahatma Ghandi lagi. Salim dan Jamal melarikan diri seperti penduduk lain yang bertempiaran. Di situlah permulaan ‘kembara kehidupan’ Salim dan Jamal bermula dari umur lingkungan 5 tahun. Mereka disertai oleh seorang lagi gelandangan kanak-kanak perempuan bernama Latika. Kini mereka lengkap menjadi “Three Musketeer” sebagaimana sastera Inggeris yang mereka pelajari di sekolah. Namun, Salim dan Jamal selalu sangat ponteng sekolah dan hanya mengenali “Two Musketeer” — Athos dan Prothos. Kerana itulah soalan penting yang terakhir, “Siapakah seorang lagi Musketeer selain Athos dan Prothos?” Jamil tidak tahu jawapannya melainkan mengikuti gerak hatinya memilih jawapan A kerana kebetulan pangkal nama seorang lagi Musketeer bernama “Aramis” adalah huruf “A”. Bukankah memang banyak kebetulan dalam kehidupan ini?

Melalui soalan-soalan dari rancangan tersebut kita dibawa dibawa melihat kehidupan gelandangan dan kemiskinan di India. Setiap soalan dan jawapan dalam rancangan tersebut sememangnya ada kaitan dengan kehidupan Jamal sejak kecil lagi. Tepat sebagaimana kata Mahatma Ghandi, “Kemiskinan adalah jenayah yang kejam.” Fahamlah kita bagaimana kemiskinan akan merosakkan kehidupan jikalau tidak ada sebarang usaha keluar darinya. Semakin mengertilah kita, jurang kekayaan dan kemiskinan mesti dirapatkan jikalau mahukan negara yang makmur. Sedarlah kini kita, punca utama kemiskinan dan jurang yang amat jauh antara si kaya dan si miskin adalah penyakit rasuah. Negara yang mengamalkan rasuah adalah negara miskin. Bagaimana dengan negara kita?

Ciri-ciri filem Hindustan masih dikekalkan dalam cerita ini. Abang jadi jahat, adik jadi baik adalah contoh ciri filem Hundustan tahun 70-an, 80-an.

Pada akhir cerita ini begitu dramatik sekali. Adik-beradik ini mendapat kekayaan. Jamal mendapat $USD1 juta melalui rancangan kuiz, Salim pun mendapat banyak wang dari kegiatan samseng. Kedua-duanya wang. Babak di mana Salim mati ditembak di dalam tub mandi yang dipenuhi dengan wang dan Jamal yang tidak berapa menghiraukan wang tetapi lebih mementingkan Latika membawa erti yang simbolik. Bahawa, wang dan kekayaan mestilah diperoleh dengan cara yang baik, halal. Jikalau tidak, kekayaan akan hanya menyeksa hidup. Kasih sayang amat penting dalam hidup ini. Walaupun Salim jahat dan kejahatan itu terbentuk dari suasana dan sistem yang dilalui sejak dari kecil, namun sebagaimana setiap manusia, ada ruang kebaikan dan tersedia peluang untuk berbuat kebaikan dalam diri. Adakah ini mengiyakan, “Dalam setiap kejahatan ada kebaikan; dalam setiap kebaikan ada kejahatan”? Tidak pasti.

Itulah moral yang paling utama dari cerita “Slumdog Millionaire”. Sesungguhnya, kebenaran pasti akhirnya menyebelahi pihak yang benar.

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.