Razzi Armansur

Dataran Sogo bergema lagi!

Kali terakhir Dataran Sogo dijadikan tempat berhimpun dan menentang, anti, adalah pada tahun 1999. Lebih tepat lagi, mulai September 1998 hinggalah pertengahan 1999. Zaman Reformasi. Perjuangan 10 tahun itu mula menampakkan kesannya pada hari ini.

Dataran Sogo bergema lagi dengan meriahnya pada hari ini, 31 Januari 2009, sepuluh tahun setelah gema laungan terakhir pada tahun 1999 di tempat yang sama.

Mengapa Dataran Sogo di Kompleks Sogo menjadi pilihan? Kerana orang kata itulah pusat atau nadi Kuala Lumpur. Benarkah? Tidak pula diketahui ketepatannya. Tetapi di situlah, tumpuan dan pusat yang mendapat perhatian. Mesejnya sampai apabila orang lalu-lalang di situ tertanya-tanya apa sedang berlaku. Lebih menarik lagi apabila masyarakat kita ini adalah masyarakat “ambil tahu”, maka sebahagiannya akan berhenti dan menyaksikan, bahkan turut serta.

Tahun 1998 – 1999, seruan untuk datang ke demo menggunakan flyer, bisik-bisik dan SMS dan sedikit penggunaan web. 10 tahun kemudian, seruan lebih menggunakan web, apatah lagi Google banyak bersedekah tapak web percuma — Blogspot. Generasi baru mungkin tidak pernah mendengar Geocities (milik Yahoo), Freeyellow, Fortunecity, Tripod. Itulah pemberi khidmat percuma tapak web. Altavista pula adalah enjin carian paling top ketika itu.

Walau apapun, bukan suka-suka datang ke Sogo untuk berdemo dan menentang. Banyak risikonya. Kena belasah, kena hambat, kena sembur water cannon, kena tembak dengan gas pemedih mata. Melainkan ada matlamat besar, tidak mungkin orang akan suka-suka datang ke Dataran Sogo menentang dan menyampaikan mesej.

Tapi pada hari ini, tidak banyak risiko. Hari ini adalah perhimpunan aman. Perhimpunan pencetus “Himpunan 100 Ribu Menentang PPSMI” yang akan diadakan pada 7 Mac 2009 nanti. Hari ini bolehlah dianggap sebagai sumbu yang akan dibakar bagi meletupkan ‘bom’. Hari ini adalah perhimpunan ‘pra’. Orang kata, ‘test power’.

Hambar? Tidak hambar. Tapi, sebagaimana biasa, media mengatakan ia hambar. Memang nampak kurang ramai jikalau dibanding dengan tahun 1998 — 1999 dahulu. Mungkin 10 kali ganda. Tetapi sebenarnya perhimpunan menentang PPSMI hari ini adalah ramai, meriah dan berjaya! Memang pada mulanya agak kurang orang sebab hujan dan lebih ramai polis dari peserta. Pada masa inilah, media akan mengambil video dan gambar bagi menggambarkan tidak berjaya dan hambar.

Bermula dari pukul 3 semakin ramai yang berkerumun. Mesej dapat disampaikan. Mesejnya mudah: “Tak ada sebab pembelajaran Sains dan Matematik yang telah berpuluh tahun menggunakan Bahasa Melayu dan telah menghasilkan kecemerlangan, tiba-tiba ditukar kepada Bahasa Inggeris, pada zaman Mahathir menjadi Perdana Menteri.” Mesejnya: “Kembalikan pembelajaran dan pendidikan Sains dan Matematik kepada bahasa asal.” Itu saja. Apa yang susah sangat? Mengapa enggan menukar kembali kepada Bahasa Melayu. Apa masalahnya?

Perhimpunan menyampaikan mesej pada petang tadi memang telah berjaya membuka mata. Daripada tidak tahu menjadi tahu; tidak ambil peduli, menjadi ambil berat. Dari menyebut, “Ala biarlah…” menjadi, “Eh… mana boleh…”

Buktinya, beberapa orang bertanya kepada saya, “Ada apa ni?” Dengan ringkas saya menerangkan, “Dulu ramai yang cemerlang sebab Sain dan Matematik menggunakan Bahasa Melayu. Lepas itu ditukar menjadi Bahasa Inggeris. Apa sebab? Tak ada sebab! Ramai yang kecundang, jangankan di luar bandar, bahkan di Kuala Lumpur ini pun… Jadi nak menuntut supaya dikembalikan kepada Bahasa Melayu.” Saya memandang tepat dan bertanya, “Setuju?” “Setuju, setuju, bagus, bagus….”

Sebenarnya ia bukan permulaan. Permulaan menentang ialah di Jalan Masjid India oleh PAS pada saat dilaksanakan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Selepas itu penentangan itu tidak berhenti, walaupun nampak perlahan. Apabila terjadinya ‘tsunami politik’ baru-baru ini, tuntutan kembali rancak!

InsyaAllah, segala usaha menentang itu pasti akan mendatangkan kejayaan dalam masa terdekat ini. Optimis!

(photo)
Mesej disampaikan. Bahasa Inggeris bukan bahasa kemajuan. Siapa berani mengatakan Bahasa Melayu adalah bahasa kemunduran?

(photo)
Sekali seumur hidup, minum-minum teh djaga keselamatan, dikawal rapi, mengalahkan VIP

(photo)
Iron Lady Ainon Mohd. terbukti ‘iron lady’, begitu tinggi sekali DETERMINATION beliau dan suami

(photo)
SN A. Samad Said menyeru. YB Tian Chua, salah seorang “die hard demonstrator” pada tahun 1998 sehingga kini.

(photo)
Peribahasa Cina menyebut, “Dalam setiap keadaan pasti ada keuntungan dan kerugian.” Inilah “Ketua Saintis Dunia” (tulisan itu yang selalu tergantung di dada beliau) sedang menggunakan kesempatan yang ada. Memang kena pada tempatnya, apa yang dijual ialah nota teknik penyelesaian Matematik.

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.