Sejak dulu kalau orang bertanya khabar mesti disertakan dengan pertanyaan, “Anak berapa?” Ada orang bertanya, “Duit berapa”? Rasanya tidak ada. Juga tidak ada yang bertanya, “Isteri berapa?”
(photo)
Jika anda bertanya kepada mereka apa sebenarnya mesej korban, jawapan mereka pasti pelik. Jika anda bertanya apa syarat-syarat haiwan sembelihan korban yang kita pelajari semasa Tingkatan Lima, pasti mereka akan nganga dan mula mereka-reka jawapan.
Apa mesejnya?
Suatu masa dulu saya cuba berlawak bila orang bertanya “Anak berapa?” Saya tanya kembali, “Kenapa tak tanya duit berapa?” Kebanyakannya akan gelak bila mendengar soalan saya itu. Petua untuk perbualan, perbincangan yang harmoni ialah gembira pada permulaan. Jika dimulakan dengan senyum dan gelak akan menghasilkan suasana gembira.
Dalam Spiderman 2, ada satu lawak menarik yang dibuat oleh Doc Oc, sebelum menerangkan dengan serius. Lawaknya: “Sesiapa ada kehilangan wang 25,000 dollar yang diikat dengan getah gelang? Sebab saya hanya jumpa getah gelangnya saja.”
Tak semua orang boleh terima lawak kita sebab manusia berbeza-beza. Tidak ada 2 manusia yang serupa. Bila saya cuba melawak, “Kenapa tak tanya duit berapa?” orang yang saya sebutkan tadi mula menerangkan, “Kita sebagai orang Melayu beradat sopan… bla, bla, bla…” Pengajarannya: ada masa kita boleh berlawak dan ada masa tak sesuai melawak lebih-lebih lagi dengan orang yang tak berapa suka humor.
Mengenai pertanyaan tadi, apa mesejnya? Mengapa sentiasa bertanya, “Anak berapa”? Mudah saja — anak adalah harta yang sangat besar mengatasi segala rupa harta milik peribadi di muka bumi ini.
Dalam peristiwa Qurban, Nabi Ibrahim diperintahkan Allah SWT untuk mengorbankan ANAK, bukan mengorbankan unta atau harta lain. Nabi Ismail pun rela (kerana Allah) mengorbankan harta yang paling berharga dalam diri iaitu nyawa.
Mesejnya? Mudah sekali: untuk mendapatkan yang terbaik, mestilah sanggup mengorbankanyang terbaik. Konon hendak menjadi jutawan yang bertaqwa tapi kenapa enggan berkorban yang terbaik? Eksport yang terbaik, barulah boleh mengimport yang terbaik.
Setiap pengorbanan pasti akan mendapat balasan di dunia ini apatah lagi di akhirat. Di dunia ini, untuk kehidupan sehari-hari dan demi peningkatan hidup ke arah kebaikan, semestinya perlu mengeksport yang terbaik untuk mengimport yang terbaik.
Jangan sekali-kali seperti kebanyakan orang — hanya teringin mengimport yang baik-baik belaka tetapi mengeksport yang buruk belaka. Malah ramai yang lebih teruk lagi: hanya hendak mengimport sahaja tetapi amat keberatan hendak mengeksport. Eksport dulu baru import. Jangan terbalik — import dulu baru eksport.
Buruk eksport kita, buruklah import kita. Sebagai contohnya: kita mengeksport kelentong — kita letakkan Dr. di depan nama kita walaupun kita ini hanya sampai ijazah saja, atau pernah kursus homeopati lalu tanpa segan silu meletakkan Dr. Atau kursus mandi bunga dan ais lalu meletakkan Dr. Atau kita hanya pandai masak dan membebel lalu kita meletakkan Chef di depan nama kita — itu eksport kita, bersedialah untuk mengimport keburukan demi keburukan suatu masa nanti. Kita mengeksport kelentong, maka kita akan mengimport kelentong juga — berpanjangan.
Dari dulu — ibadah korban di Malaysia ini hanya dibuat fizikalnya sahaja — menarik lembu, gelak ketawa menumbangkan lembu, menyeksa lembu sebelum disembelih, riuh-rendah, gegak-gempita, AJK yang bangga memakai tag nama sebesar daun pisang termasuk juga AJK yang berebut hendak bersuara melalui hailer — itu saja sejak dulu. Tak percaya tanyalah salah seorang dari mereka, atau tanyalah seberapa ramai — “Apa sebenarnya di sebalik korban ini?” Bahkan kalau ada ustaz (termasuk ustaz (?) Rufaqa’ ) tanyalah. Pasti anda tidak akan mendapat jawapan yang tepat. “Korban ini kira kita ikut Nabi Ibrahim menyembelih anaknya, Nabi Ismail,” itulah jawapan yang paling kerap anda dengar. Jawapan yang tepat. Ia akan menjadi lebih tepat, jika dicari mesej di sebalik peristiwa tersebut. Apa mesejnya, di sebalik Nabi Ibrahim mentaati perintah Allah SWT itu? Kenapa diminta menyembelih anak seolah-olah Allah itu kejam, seolah-olah ajaran Islam itu zalim dan gila?
Dari dulu, ibadah korban telah menjadi seperti Robin Hood. Tahu kisah Robin Hood? Niatnya murni, caranya keji, matlamatnya tak sampai.
Saya sendiri sentiasa ragu-ragu dengan cara ibadah Korban ini dijalankan. Saya tak melihat jauh sebaliknya di tempat saya sendiri. Berpuluh-puluh ekor lembu tumbang di Sungai Pencala dan Balai Islam tapi cara pembahagiannya tak pernah menepati ajaran sebenarnya. Sepanjang yang saya lihat, pembahagian daging diutamakan kepada orang-orang kaya terlebih dahulu. Ia sudah terbalik. Setahu saya utamakan orang miskin walaupun sangat sukar nak cari orang miskin di sini. Sebab itulah jika suatu hari nanti jika saya nak berkorban, saya akan berkorban di Kemboja, bukan di Kuala Lumpur ini.
Selepas mendapat mesej, bagaimana boleh kita aplikasikan ibadah Korban ini di dalam kehidupan dan peningkatan hidup di atas muka bumi dan seterusnya berlarutan ke alam baqa’?
Mesejnya telah kita perolehi: hendak mengimport yang terbaik mestilah mengeksport yang terbaik terlebih dahulu. Itu mesejnya. Apa yang terbaik dari dalam diri kita ini? Apa pula yang terbaik yang kita miliki? Sudikah mengorbankannya? Sudikah mengeksport?
Jangan bercakap pasal kejayaan di dunia dan akhirat jika tak faham tentang ibadah Korban. Jangan memenatkan mulut hendak menjadi jutawan Islam jika enggan mengeksport apa yang terbaik dari dalam diri kita dan apa yang kita miliki di luar diri kita.
Jangan bercakap pasal jurang luas (bahkan terlalu luas) antara miskin dengan kaya, antara bijak dengan bodoh, jika enggan mengaplikasikan mesej dan pengajaran dari ibadah korban. Kalaulah yang kaya sudi berkorban dengan harta yang dimiliki (bukannya menunggu wartawan semasa menyerahkan lembu di kawasan pilihanraya) tetapi berkorban harta yang ada untuk membantu orang miskin. Pihak yang miskin pula bukan hanya nganga sebaliknya berkorban ‘kekayaan’ di dalam diri untuk mengusahakan modal yang dikeluarkan oleh orang kaya. Orang kaya tadi, dijamin, sebagaimana janji Allah SWT akan dapat mengimport lebih banyak kekayaan. Orang miskin itu pula pasti akan mengimport perolehan yang membolehkan mereka keluar dari kemiskinan, sesudah mengeksport ‘kekayaan semula jadi’ dari dalam diri mengusahakan modal yang dihulurkan oleh orang kaya.
Modal semestinya dalam bentuk kewangan dan ilmu.
Itu impian kita. Tapi makin hari kita makin tenggelam dalam mimpi bila saban hari kita menyaksikan bagaimana pihak tertentu membolot dengan rakus kekayaan negara, menindas dan menyeksa kaum yang miskin dengan berbagai-bagai kenaikan harga barang keperluan. Si Bodoh akan mula membandingkan, “Kenaikan yang kecil dibandingkan dengan negara lain.”
Masa Raya Korban, adik ipar saya, Dr. Wan Zayana (Dr betul bukan Dr Ayam) datang ke rumah — saya bertanya tentang tol di Australia, Amerika dan UK — Memang ada tol tetapi dikhususkan untuk lori-lori dan laluan bisnes dan di luar jalan utama, bukannya jalan kegunaan rakyat. Pendek kata, yang kena tol adalah bisnes, bukan rakyat. Rakyat diBELA bukan diBELAsah di negara kafir. Tradisi memBELA rakyat, bukan Tradisi memBELAsah rakyat.
Apa pula pendapat anda bila artis berkata begini, “Kenaikan ini elok untuk ekonomi negara.” Sekarang nilai sendiri otak manusia yang bergelar kononnya artis itu?
Teringat saya seorang Dr Ayam, apabila ditanya mengenai gejala maknyah dia menjawab, “Maknyah ini ada yang kerja sebagai editor, jadi secara tak langsung maknyah ini meningkatkan ekonomi negara.” Sekarang nilai sendiri otak orang yang tak segan silu meletakkan Dr. di depan namanya. Begitukah pemikiran orang yang mempunyai PhD? Sah, memang sah, PhD cap ayam.
—-
Seandainya diamalkan pengajaran dalam ibadah Korban, insyaAllah, semakin sempit jurang antara miskin dan kaya.
Bukankah semasa dalam ihram kita memakai pakaian yang sama? Di mana jurangnya antara yang kaya dan miskin ketika itu?