Razzi Armansur

Legenda Ayam

Akan ada yang marah jika membandingkan ayam dengan manusia. Patutkah marah? Sebaiknya, jadikan ia sebagai ukuran, inspirasi dan pendidikan. Tak salah belajar dari ayam. Yang salah besar ialah menyamar sebagai Dr. Ayam.

Apabila anda sudah diangkat sebagai orang yang dipercayai biasanya sedikit sebanyak (atau begitu banyak) ego akan meningkat. Anda enggan belajar dari orang yang anda pandang kedudukannya lebih rendah dari anda. Itu lumrah manusia kerana manussia sentiasa mengamalkan ‘know who’. Anda hanya mahu belajar dari orang yang lebih tinggi kedudukannya dari anda. Itulah lumrah dan hakikat yang perlu anda terima.

Kerana hendak dipandang tinggi, supaya diterima kata-katanya, tak hairanlah ramai yang meletakkan pangkat gila atau tiga suku di depan nama. Ramai yang menipu dengan meletakkan Dr di depan nama walau kelulusannya hanya SPM atau dari “Neverheard University” atau dari universiti online tanpa akreditasi.

Suatu hari di pejabat Inteam, saya melihat designer mereka membuat design sungguh cantik sekali. Saya bertanya kepadanya. Hazamin Inteam yang di sebelahnya menegur, “Aik, takkan profesional belajar dari amatur.” Masa bila pula saya ini profesional? Cuma saya ini agak lama juga ‘bermain’ dengan Photoshop, cuma profesional itu telalu jauh di hadapan. Lalu saya berkata pada Hazamin, “Saya tak ingat peperangan apa tapi Rasulullah pernah dipimpin oleh remaja yang jauh lebih muda dari Baginda.” Pemimpin tak semestinya sentiasa di depan.

Jadi, oleh kerana kita ini ego, mahukah kita belajar dari ayam? Malulah kita. “Aku nak belajar dengan ayam? Malulah aku. Ayam yang kena belajar dari aku!” Malu? Memang malu dan jatuh ego tetapi rugi besar. Banyak pelajaran percuma dari ayam terlepas begitu saja kerana masalah ego.

Apa yang boleh dipelajari dari ayam? Pelajaran pertama ialah MALU. Kita mesti malu pada ayam kerana ayam jauh lebih hebat dari kita. Malu saja tidak mencukupi, sebaliknya kita perlu mencontohi ayam. Ayam bangun lebih awal dari manusia. Sebelum azan subuh ayam sudah bangun. Kita manusia (termasuk aku) sebaliknya bangun selepas azan, bahkan selalunya solat subuh gajah (tak tahu dari mana dapat istilah ini. Kenapa disebut subuh gajah? Apa kaitan gajah dengan subuh?).

Ayam selepas bangun akan melakukan senaman ringan — mengepak-ngepak kepaknya. Itu dikira senaman. Manusia? kebanyakannya akan menyambung kepada episod kedua — tidur balik (aku pun kadang-kadang begitu). Seribu satu alasan disediakan — mengantuklah, malam tadi tidur lewat, lambat lagi nak ke ofis, bangun pun tak ada buat apa. Pendek kata lebih banyak alasan dari penyelesaian. Ayam lebih hebat — tak pernah tidur semula selepas bangun.

Suatu hari seorang remaja bercakap. Saya mendengarnya dengan teliti kerana menarik sekali kata-katanya, “Kehidupan orang Islam adalah selepas bangun subuh. Jadi kalau tidur balik selepas subuh bermakna sudah habislah kehidupan pada hari itu.” Betul sekali kata-katanya. Malulah pada ayam (seruan ini untuk saya dan yang terkena) — sedang kita tidur, ayam sudah bangun dan meraikan hari baru dengan riang sekali.

Malulah kita pada ayam kerana sedang kita tidur sama ada dalam episod satu atau dua, ayam sudah mencari rezeki. Kita selalu merungut “Bilalah nak menjadi jutawan.” Berkali-kali sudah khatam membaca buku, tapi tak juga menjadi jutawan.

Sedang kita selalu bercakap pasal amal bakti tetapi untuk membuang kaca atau duri dari jalan pun enggan, ayam yang martabatnya jauh lebih rendah dari kita ini setiap pagi berbakti kepada masyarakat. Ayam berkokok mengejutkan manusia. Walaupun baktinya untuk zaman ini tak berapa diperlukan lagi berbanding zaman Hang Tuah dan Kesultanan Melayu Melaka, tapi tetap dengan ikhlas tanpa mengharap balasan, ayam berkokok mengejutkan manusia supaya bangun cepat.

Ayam tak perlu meletakkan Dr di depan namanya untuk mencari rezeki yang halal. Manusia (sebahagian) pula tanpa segan silu meletakkan Dr di depan nama dan mencari pendapatan dengan menipu masyarakat yang mudah ditipu.

Ayam juga rajin. Perhatikan ayam (tak kira ayam kampung atau ayam bandar, asalkan bukan ayam ternak) yang tak henti-henti berkais mencari makan, mencari rezeki yang halal. Kita ini? Kira balik semula — lebih banyak main-main, lepak, ketawa-ketawa dari bekerja. Kira sendiri, memang ada kebenarannya. Pendek kata, apa cara sekalipun, ayam sentiasa menang dari sudut kerajinan dan bekerja.

Suatu malam, seseorang memberikan saya pengajaran besar yang berkaitan dengan ayam. Mula-mula dia bertanya berapa berat badan saya. Masa itu saya slim lagi, 60kg. Berapa pula pendapatan saya sebulan dia tanya. Saya kata lingkungan RM2,000. Lepas itu nilai diri saya dikira berdasarkan pendapatan dan berat = 2,000 bahagi 60 = RM3.40. Dia bertanya, “Orang rumah beli ayam selalunya berapa sekilo?” “Err… dalam RM5.00 sekilo.” Dia bertanya dengan nada menyakitkan hati, “Mana lebih mahal? Ayam ke kamu?” Terkena aku…

Apa sumbangan kita kepada Bahasa Melayu? Hampir tak ada. Bahkan ramai yang hendak menghapuskan. Kecil-kecil lagi diajar supaya tidak bercakap bahasa Melayu dan telah dimasukkan ke dalam otak kanak-kanak bahawa bahasa Melayu itu bahasa kemunduran sedangkan hakikat sebenarnya bahasa Inggeris adalah bahasa kemuduran. Mundur sebab hanya diminati oleh Amerika dan England, juga negara termiskin di Asia iaitu Filipina. Apa kena mengena dengan ayam? Ayam dijadikan peribahasa. Itu kira sumbangan besar kepada bahasa Melayu. Agak banyak peribahasa yang berasaskan ayam, tapi nampaknya kebanyakannya yang negatif sahaja: Cakar Ayam; Bapak Ayam; Ibu Ayam; Tidur Ayam; Dr. Ayam; Bagai anak ayam kehilangan ibu; Bagai ayam terkena sampar; Bagaikan ayam, bertelur sebiji, riuh sekampung; Hangat-hangat tahi ayam (siapalah yang mencipta peribahasa ini? Dia mencuba dulu ke?)

Besar atau kecil sumbangan ayam terhadap pembangunan bahasa Melayu? Mari bandingkan sumbangan kita terhadap pembangunan bahasa Melayu. Pasti kalah dengan sumbangan ayam. Ayam juga lebih glamour dari kita kerana ada lagu khusus untuk ayam dengan judul yang sama “Ayam” nyanyian Jalil Hamid (wong jowo). Ada orang mencipta lagu dan menyanyikan nama anda? Kalau perempuan mungkin ada; kalau lelaki rasanya tak ada. Ada lagu “Nora” tapi rasanya tak ada lagu “Ahmad”. Lagu “Nora” itu ada kenangan zaman remaja dan jahiliyah dulu…

Lebih menarik lagi, ayam memeningkan para pengkaji sejarah, lebih pening dari menyelesaikan “Da Vinci Code” dengan teka-teki yang tak pernah terjawab sejak purbakala hingga akhir zaman. Teka-tekinya mudah saja, “Ayam atau telur dulu?” Pernah dengar “Itek atau telur dulu?” atau “Dinasour atau telur dulu?”

Ayam juga mendidik kita tentang promosi dan publisiti. Betapa pentingnya promosi dan publisiti dalam bisnes. Telur itek lebih mahal dan dikatakan lebih berkhasiat tetapi mengapa ia kurang popular? Kerana tidak ada iklan dan publisti. Selepas bertelur ayam akan riuh sekampung, berketuk untuk jangka masa panjang. Sebenarnya itulah pengiklanan. Ayam telah lama mengajar kita tentang promosi dan publisiti tetapi oleh kerana kita ego, kita enggan belajar dari makhluk yang kita anggap lebih rendah martabatnya dari kita.

Jadi, bagaimana sekarang? Apa lagi yang boleh dipelajari dari ayam? Berbakti, bangun awal, rajin, redha, menyumbang kepada pembangunan bahasa Melayu, apa lagi? Redha? Bagaimana ayam dikatakan redha? Redha disembelih dijadikan makanan manusia. Bahkan di seluruh dunia ramai yang menjadi jutawan dengan menjual makanan beraskan ayam. Contohnya, KFC. Memang besar sekali sumbangan ayam kepada tamadun manusia. Bila pula kali terakhir kita redha? Kasut terkoyak sedikit sudah bising. Tak redha.

Bakti ayam diteruskan melalui cerita yang popular. Cerita ini beberapa kali diulang-ulang dan saya suka membawakan cerita ini bila dalam perbincangan: Suatu hari seekor burung helang bertelur dan telurnya itu jatuh ke tanah (tapi peliknya tak pecah pulak). Telur itu dikutip oleh ibu ayam dan dieram. Menetaslah telur helang itu dan bila terbuka saja matanya ia terus memanggil ibu ayam, “Emak!”

Anak helang itu hidup dan membesar dalam kumpulan ayam. Makan, minum, tidur, berkais, berkomunikasi seperti ayam. Sesekali anak helang itu terbang seperti seekor ayam.

Suatu hari anak helang itu terlihat burung helang (mungkin ibunya) terbang melayang-layang di udara. Anak helang itu begitu tertarik dan kagum melihat helang itu terbang berpusing-pusing, melayang-layang.

“Apa itu, Emak?” Tanya anak helang itu.

“Itulah helang, musuh kita” Jawab ibu ayam. “Kita makanan ia.”

“Kenapa kita tak boleh terbang begitu, Mak?” Tanya anak helang itu lagi.

“Bangsa kita memang tak boleh terbang begitu kerana kita ayam.” Jawab ibu ayam sambil mengajak pergi.

Anak helang itu berpuas hati dengan jawapan ibu ayam dan berlalu dari situ. Tajuk cerita ini ialah, “Ayam Selamanya”. Moralnya? Bahawa di dalam diri kita ini tersedia potensi yang amat besar. Tersedia kekayaan, potensi, kehebatan yang tidak ada tandingannya sebagaimana difirmankan oleh Allah SWT bahawa manusia adalah sebaik-baik kejadian — lebih baik dari malaikat, syaitan dan makhluk lain. Tapi kita selalunya membataskan keupayaan kita. Kita sendiri yang menghalang keupayaan kita akibat dari kepercayaan dan didikan yang kita terima sejak dari kecil.

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.