Saya mulakan dengan kata-kata bijaksana dari Canselor Universiti PTS, (Mbakyu) Puan Ainon Mohd. Baca sekali lagi dan akui kebenarannya. Semalam semasa berbaris di kaunter Giant, di depan saya adalah pekeja-pekerja Vietnam.
Bagaimana saya tahu mereka Vietnam? Gaya dan pertuturannya. Gaya tersebut cuba ditutupi dengan gaya remaja Malaysia — jean labuh bertali-tali, kemeja-T, rambut cacak atau memakai topi dan lambang gay sedunia — pakai subang. Sekiranya Elton John datang melawat Malaysia gembira dia bukan kepalang kerana penganut mahzabnya sangat ramai. Pemuda-pemuda Vietnam itu cuba menukar imej untuk menjadi seperti remaja Malaysia supaya disangka sebagai remaja Malaysia dan tidak akan ditahan polis. Tetapi jangan lupa, polis dan imegresen tidak mencari kelainan tetapi kesamaan (dari novel The Day Of The Jackal).
Quote:
Dari kotak komen sahabat Rastom (romantis.wordpress.com) Saya pernah kenal seorang bisnesman muda yang mengaku dia jurutera. Pada suatu masa saya nampak beliau duduk di coffehouse hotel, jam 10.30 malam masih memakai tali lehernya. Hmmm — penipu memang berusaha bersungguh-sungguh meyakin orang bahawa dia bukan penipu.
Ini dari kotak jeritan Universiti PTS (universitipts.com) Penyamar akan terlebih melakonkan watak samarannya disebabkan dia sangat mahu meyakinkan orang yang mahu ditipunya, Ingatkah lagi bagaimana staf sebuah hospital dapat mengesan seorang doktor palsu? Ada jururawat perasan si doktor penyamar itu tak pernah menanggalkan jubah doktor dan stetiscopenya (semak ejaan)
Penyamar dan penipu akan melampui batas dalam penyamaran. Perhatikan sungguh-sungguh dengan teliti supaya anda tidak akan terkena. Orang yang hendak menipu anda ada di mana-mana. Contoh lagi: Apa pandangan anda dengan seseorang meletakkan haji sampai dua kali: Haji Blabla bin Haji Blabla Al-Haj. Memang dia sudah pergi haji tapi tak semua yang pergi haji itu benar-benar buat haji. Ada yang pergi kerana hendakkan title Haji. Itu lambang orang gila pangkat. Berhati-hati bila bersahabat dengan orang yang gila pangkat — nanti penyakit gilanya menular kepada anda. Rasullulah SAW pun pergi Haji tetapi tak ada pula yang memanggil Haji Muhammad Al-Haj.
Dalam buku saya “Susah & Senang” (Yang akan diterbitkan semula oleh PTS seiring dengan Gagal & Berjaya, Kaya & Miskin, dijangka dalam bulan Julai 2007) ada satu bab yang berjudul, “Bila lampu gemerlapan, perangkap sedang dipasang.” Saya bawakan contoh tentang harimau yang begitu susah hendak cari makan selama ini tiba-tiba di depan mata seekor kambing gemuk sedang tegak berdiri. Bila harimau tersebut menerkam, masuklah ia ke dalam perangkap. Bila lampu gemerlapan, perangkap sedang dipasang. Bila melebih-lebih, awas, seseorang sedang berusaha atau dalam proses menipu anda.
Bagaimana kalau saya letakkan nama dan gelaran saya begini: Tun Dr. Kang Razzi Armansur, PhD, KFC, McD, MSC, CFC, SPM, PMR, Al-Haj. Apa persepsi anda? Tentu anda menyangka saya gila dan melebih-lebih dan sedang berusaha menipu anda kerana Dr. Ori enggan meletakkan Dr. di depan nama. Tetapi Dr. Palsu, Dr. Ayam akan melebih-lebih bersungguh-sungguh meletakkan Dr. di depan nama bahkan ada yang menyulamnya di baju.
Bila hari minggu, pergilah ke Jalan Silang atau Mydin Kota Raya. Tapi awasi beg dan poket anda 2 kali ganda dari hari biasa kerana nanti tiba-tiba akan lesap. Di situ sama ada seperti di Bangla, atau Nepal atau Jakarta. Saya tak tahu, dengar khabar mereka dah berhijrah ke KLCC. Kalau masih ada, memang dari jauh anda akan melihat seperti ada demo di zaman Reformasi dulu. Yang pasti anda akan melihat apa yang disebut oleh Canselor Universiti PTS mengenai penyamaran tadi. Di dalam Mydin, anda akan melihat Mat Indon berambut panjang menyamar seperti rockers supaya disangka orang Malaysia. Rockers Malaysia sendiri tidak begitu, tetapi Mat Indon ini melebih-lebih penyamarannya.
Sudah jelas? Memang akan sentiasa melebih-lebih orang yang hendak menipu, bagi menutupi penipuannya. Sekarang anda telah tahu. Jangan sampai kena tipu, jangan terpedaya dengan lampu yang gemerlapan.