Razzi Armansur

Guru yang pergi tak kembali

Kira-kira 2 bulan lepas saya membaca (dengan percuma) buku, “The Other Side Of Me” di Borders. Saya selesai membacanya 2 hari. Bermakna 2 hari berulang alik ke Borders. Buku tersebut adalah Memoir Sidney Sheldon. Hari ini, saya mendengar berita, Sidney Sheldon telah pergi tak kembali.

(photo)
Sebagaimana berjuta kanak-kanak di dunia menangisi kematian Enid Blyton, saya berasa sedih dengan kematian salah seorang guru penulisan saya — Encik Sidney Sheldon.

Pada tahun 1991, saya menulis kepada beliau dan dibalasnya surat saya itu dengan disertakan gambar berautograf. Katanya beliau akan datang ke Kuala Lumpur, tetapi paling dekat ialah datang ke Singapura. Gambar tersebut saya framekan dan digantung di pejabat saya (pada masa itu) di Taman Tun Dr Ismail. Pada tahun tersebut juga kalau tak silap saya kematian kontroversi penyanyi Sudirman Haji Arshad.

Tidak keterlaluan kalau saya katakan, selepas saya menulis kepada beliau, nama Malaysia disebut (walaupun sangat ringkas) di dalam novel Doomsday Conspiracy.

Sidney Sheldon adalah salah seorang guru saya selain AlRies, Jack Trout, Dr. Sulaiman Masri dan yang terkini Puan (Mbakyu) Ainon Mohd.

Mereka tidak sedar saya berguru dengan mereka kerana saya belajar menggunakan teknik ‘Modelling’ — Apa yang orang lain boleh lakukan, saya boleh belajar melakukan. Sebab itu gaya penulisan saya memang saya akui adunan gaya penulisan Sidney Sheldon dan AlRies & Jack Trout. Itulah menariknya teknik Modeling yang saya paparkan dalam buku saya HIDUP UNTUK MENANG.

Hampir kesemua buku Sidney Sheldon pernah saya baca. Yang pasti semuanya edisi kulit keras, sama ada beli yang baru di Book Distributor Sdn Bhd (Damansara Height) atau yang edisi murah di KL Big Shop, Popular atau yang 2nd hand di Pay Less Book. Sebab itu saya boleh rasa perubahan gaya penulisan Sidney Sheldon. Mungkin faktor usia menyebab tulisan beliau kurang menyengat. Namun sengatan mula terasa kembali dalam buku The Other Side Of Me, tetapi itulah buku terakhir karya Sidney Sheldon.

Di antara kebanyakan buku Sidney Sheldon itu saya amat menyukai: The Sands Of Time, Doomsday Conspiracy, If Tommorow Comes, Nothing Last Forever.

Novel Sidney Sheldon edisi kulit keras dan paperback diterbitkan serentak oleh beberapa penerbit. Biasanya hanya setelah 6 bulan hingga 1 tahun kulit keras berada di pasaran barulah diterbitkan edisi paperback. Saya suka terbitan William Morrow.

Sidney pernah berkata, “Saya akan menulis dengan harapan pembaca tidak akan meletakkan buku selagi belum selesai.” Memang benar, kita tidak sabar untuk berpindah ke bab berikutnya bila membaca novel Sidney Sheldon. Bahkan bila telah berakhir, kita berharap agar ada satu lagi bab terakhir. Juga, Sidney Sheldon tidak akan menulis tentang sesuatu tempat dan keadaan di dalam novelnya jika tidak dibuat kajian. Contohnya: melalui novel Doomsday Conspiracy, saya tahu dengan lengkap apa di dalam Pentagon. Saya tahu cara melepaskan diri dari penjara di Spain dengan mengambil kesempatan dalam pesta lembu liar (ratusan lembu dilepaskan di satu lorong dan orang ramai riuh rendah melarikan diri dari lembu seperti dalam The Sand of Time).

Kata Sidney, “Saya tak akan menulis tentang makanan di Indonesia misalnya, jika saya tidak merasainya sendiri terlebih dahulu.”

Teknik itulah yang digunakan oleh Sidney Sheldon. Kita kaum penulis perlu mempelajari teknik tersebut. Teknik inilah yang saya tiru kerana saya akan ke Morib dan beberapa kampung sekitar Banting untuk menjejaki sebuah kisah sekitar tahun 50’an hingga 60’an.

Sidney Sheldon pergi tak kembali pada usia 89 tahun, meninggalkan ilmu pemulisan yang sangat berharga untuk saya.

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.