Razzi Armansur

Ekzos besar otak kecil

Anak bongsu saya, Ezika Armansur, yang bakal mewarisi Armansur.com Berhad memang peminat kereta-kereta mewah. Tanyalah apa saja tentang kereta mewah, dia boleh menjawab. Bahkan dalam portfolio dirinya ditulis, “Mengedar kereta mewah” sebagai cita-cita. Melayari internet mencari imej kereta-kereta mewah adalah hobinya. Impiannya mahu memiliki Lamboghini Diablo. Saya sendiri pun tak tahu bagaimana rupa Lamboghini Diablo itu.

Saya sendiri tidak tahu wujudnya “M Class” dalam keluarga Mercedes tapi dia memberitahu saya wujudnya “M Class”. Tentang kereta Smart menggunakan enjin Brabus pun dia tahu (Promosinya dalam filem Da Vinci Code). Pendek kata setiap kereta yang lalu di depannya, dia tahu modelnya. Tapi kadang-kadang mulutnya celupar macam abahnya. Bila ada kereta buruk kopak-kapek model lama kata Ezika, “Kereta suicide bomber.”

Suatu hari Ezika memberitahu, “Kereta Cheyenne ekzosnya ada empat, tapi senyap.” Cheyenne ialah keluarga Porsche, selain 911, Boxster, Cayman. Dari mana dia tahu Cheyenne ada 4 ekzos tidak saya tahu. Mungkin dia selalu melihat Cheyenne lalu di Taman Tun. Selalunya dari jauh dia sudah memberitahu, “Bah, Cheyenne…”

Apa yang ingin saya ketengahkan ialah — kereta mahal, empat ekzos, senyap. Kereta murah, 1 ekzos, bunyinya macam semboyan perang. Perhatikan — hanya kereta murah sahaja yang dihias-hias macam kereta sarkis dan ekzosnya boleh dilalui 2 ular sawa dengan bunyinya hampir seperti trombone dalam pancaragam sekolah. Ini mengesahkan betapa rendahnya IQ orang yang menyebabkan tauke kedai aksesori kereta senyum lebar. Selagi masih ada orang gila bunyi semboyan perang dan gila menghias kereta seperti sarkis, selagi itulah kedai aksesori kereta masih terus bertahan. Selagi ramai yang gila sport ream dan tayar yang nipis, selagi itulah tauke Cina kekal kaya. Selagi masih ramai yang melekatkan benda-benda tak ada fungsi di kereta, selagi itulah tauke Cina kedai aksesori sentiasa berangan-angan untuk membesarkan kedai atau menambah cawangan. Selagi masih ada yang meletakkan seperti duri landak di belakang kereta, antena-antena besar dan pelik-pelik belaka dan ada satu tali cas ke bumi yang tak ada fungsi sama-sekali (biasanya kereta wira) ? selagi ada kereta yang dipandang menjijikkan itu, maka selagi itulah keuntungan tauke Cina aksesori makin meningkat.

Kenapa tak pernah timbul istilah, “Kayakan Cina” pula? Kalau untuk perkara berfaedah selalu bising pasal “kayakan Cina.” Orang-orang beginilah yang akan menjadikan kehilangan kereta sebagai isu mengatasi masalah gempa bumi. Kalau artis nasyid yang sudah merudum, dia akan menghubungi Al-Jazeera, CNN, BBC, MSNBC untuk mendapatkan publisiti. Buat-buat cerita kereta hilang, tak lama kemudian ditemui semula, masih dalam keadaan yang utuh. Agaknya, pencurinya sama bodoh. Setahu saya dalam masa 1 jam saja — kereta yang dicuri biasanya sudah berubah — sekurang-kurangnya nombor plate sudah pasti bertukar. Sekurang-kurangnya — kereta itu sudah berada terlalu jauh dari tempat dicuri. Ini tidak — semuanya masih utuh seperti asal dan sangat berdekatan dengan tempat hilang.

Dan tak mungkin polis akan sentiasa mencari kereta tersebut sebab pertama, bukan satu saja kehilangan kereta dalam sehari, sebaliknya beratus-ratus. Kedua, dia ingat dia siapa hendak diberi perhatian serius oleh polis? Seolah-olah berhari-hari polis menumpukan mencari keretanya. Yang DiPertuan Agung? Menteri? Mungkin juga boleh masuk World Guinness Record Books, kalau pencuri itu sendiri menghantar kereta tersebut ke balai polis dan menyerahkan kereta yang tak diusik itu kepada polis sambil menyerah diri dalam masa yang sama sengih-sengih, tersipu-sipu.

Mengatasi semuanya ialah cerita “Gembala dengan serigala.” Kalau dah selama ini kaki kelentong, berhak atau tidak kita ragu-ragu dengan cakapnya? Kalau sebelum ini kelentong, bohong, gipang dijadikan budaya hidup, berhak atau tidak kita ragu-ragu walaupun berkata benar? Kalau sebelum ini sibuk mengatakan studio berharga RM500,000 walhal tak sampai pun RM50,000, berhak atau tidak kita syak bahawa dia memang kaki pembohong. Akan sentiasa ada pembohong selagi masih ada yang rela dibohongi. Satu lagi kena ingat — pembohong akan sentiasa melebih-lebih menutupi pembohongannya. Bermati-matian mengesahkan ia bukan bohong untuk menutupi pembohongan.

———————

Tak semua yang berkereta murah menghias-hias kereta dan menukar ekzos menjadi sebesar batang pisang. Hanya yang rendah IQ atau yang mungkin mengalami masalah pendengaran saja yang akan menukar ekzos seperti bunyi kilang papan. Hanya yang kurang akal saja yang akan melakukan begitu. Kalau cukup akal tentu tahu ia mengganggu. Hanya yang menghadapi masalah jiwa sahaja yang mencari perhatian dengan memekak menggunakan ekzos. Satu lagi penyakit orang gila ialah dengan memasang stereo kereta sekuat-kuatnya. Gila perhatian, rendah akal, rendah pendidikan. Orang yang berpelajaran tak akan melakukan begitu. Orang yang berpendidikan tidak akan menjadikan keretanya hampir menyamai kereta berhias flora dan fauna berserta duri-duri landak di bumbung kereta.

Soalnya, pernah tengok tak kereta mewah dihias-hias macam opera cina itu? Pernah lihat Porsche, Merc, Jag, Murano, BMW, Evo dihias-hias dilekat-lekat dengan benda-benda tak ada fungsi? Pernah?

Apa mesejnya? Mesejnya mudah — yang berkereta mewah sebahagian besarnya adalah orang kaya (atau menyamar kaya), pendidikan tinggi, pergaulan luas — takkan nak tumpu kepada benda karut, menghias-hias kereta, meletakkan yang pelik-pelik belaka seperti ampaian di belakang kereta, ada benda macam sayap satelit yang hampir semuanya tidak ada fungsi. Tak payah taruk benda itu pun kereta boleh jalan seperti biasa.

Taruk benda-benda karut dan pelik begitu adakah boleh menjadikan kereta itu seperti kereta Batman? Taruk duri landak di bumbung kereta boleh menjadikan kereta hebat? Menjadi andam kereta begitu adakah orang lain akan kagum? Sangkaannya memang orang akan kagum. Itu sangkaan orang yang IQ rendah itu. Hakikatnya orang geli melihat kereta sebegitu. Orang loya mendengar bunyi stereo macam di kawasan rumah estet kelapa sawit atau penempatan Indon begitu.

Orang yang berpendidikan memasang stereo dengan perlahan saja. Orang menyumpah seranah bila kereta gila dengan ekzos sebesar anaconda itu lalu. Hanya yang satu ‘wave’ atau sealiran sahaja yang akan kagum. Orang yang rendah IQ sahaja yang akan mengkagumi hasil perbuatan orang yang rendah IQ juga. “Burung yang sama jenis akan terbang bersama.”

Saya sama sekali tidak menghina orang yang berkereta murah. Apa yang saya maksudkan ialah orang yang rendah IQ ini hanya mampu untuk berkereta murah sebab yang dihias-hias hanyalah kereta murah sahaja. Ramai yang berkereta murah, berkereta nasional tetapi tidak langsung diusik penampilannya — masa beli begitu, sampai sudah begitulah. Jika anda mengatakan mereka tidak mampu, bermakna anda ada niat untuk menghias-hias kereta anda. Bukan tidak mampu, tetapi tidak mahu. Mereka ada akal. Hanya sebahagian kecil sahaja yang kurang akal menghias kereta mereka seperti menghias pelamin.

Kalau tak mengganggu ketenteraman awam, tak mengapa. Dengan bunyi yang mengejutkan orang tidur atau tersentak ketika hendak lelap, adakah itu tidak mengganggu ketenteraman awam? Contohnya: semenjak terbinanya Pencala Link (dulu dipertikai — kenapa tak buat merentasi Taman Tun Dr. Ismail, Bandar Utama; kenapa mesti merentasi Sungai Pencala?), yang memecah keheningan malam adalah kereta sarkis berbunyi seperti semboyan amaran tsunami. Kalau pemilik kereta tersebut ada otak, atau cukup otak, takkan berbuat begitu.

Berikut ialah dialog kedai kopi — yang mana suatu malam saya ‘ter’lepak di kedai kopi yang sangat saya elakkan:

“Kenapa hanya orang yang berkereta murah saja yang mengias kereta. Tak semua tapi keseluruhannya yang rendah pendidikanlah. Orang yang berkereta mahal tak nak menghias kereta.” Saya seperti moderator membuka perbincangan.

“Sebab tak mampu nak beli kereta mahal, sebab itu modified.” Ada yang menyuarakan pendapat.

“Kenapa yang mampu tak buat begitu?” Saya menyoal kembali.

“Sebab kereta dia memang dah mahal, tak payah modified…” Ada jawapan lagi.

“Ohh maksudnya, kalau kereta Kancil dimodified sebab tak mampu nak beli Waja, sesudah dimodified akan jadi sama dengan Waja?” Saya menyoal kembali.

“Bukanlah…”

“Pernah nampak tak orang yang berkereta mahal modified kereta? Kenapa hanya orang yang berkereta murah saja modified kereta mereka? Isunya bukan kereta tapi tahap pemikiran orang yang berkereta.” Sebagai moderator saya menutup perbincangan kedai kopi dengan membuat kesimpulan.

Perbincangan kedai kopi hanya berkisar di sekitar cawan kopi.

Suatu malam kononnya, buat reunion untuk Kelab IT. Reunion dibuat di kawasan rumah salah seorang pengasasnya — Ajam. Malam itu, kami berempat — saya, Farid, Ajam, Krul duduk di restoran di Damansara Damai. Apa yang sangat menghairankan saya, mengapa Ken Ken dan Brothers dua peruncit terbesar aksesori kereta membuka cawangan di situ. Apa yang ingin saya tahu — mengapa membuka cawangan di situ? Siapa sasarannya? Kemudian Ajam membuka cerita, “Kebanyakan yang tinggal di flat sebelah depan adalah bekas-bekas penghuni setinggan.” Patutlah, Ken Ken dan Brothers sudah bersedia membuka sebesar-besar kedai di situ, sebab selalunya, di kawasan rumah setinggan peratusan ‘pakar penghias kereta dan ekzos semboyan’ memang tinggi, bahkan amat tinggi.

Lihat kembali, peratusan manusia bagaimana yang tinggal di rumah setinggan? Bijak atau tidak strategi peruncit aksesori kereta? Jadi, janganlah hendak pertikai kebijaksanaan kaum Cina berniaga kerana perniagaan sudah budaya mereka sejak 5,000 tahun dahulu. Jangan iri, jangan dengki, jangan pertikai — tiru saja kebijaksanaan mereka. Kesimpulannya — memang sentiasa tepat kata-kata, “Those who know less will tell more; those who has less will show more.” Sepanjang zaman sentiasa betul.

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.