Histeria di kalangan pelajar di Malaysia ini bukan fenomena, bukan perkara baru. Ia sudah lama terjadi bahkan sejak dari tahun 70-an lagi.
Sejak dari tahun tersebut, tidak ada ‘solution’ yang tepat. Pada kebanyakan masa ia hanya dikaitkan dengan misteri, rasukan, hantu. Tidak ada siapa yang boleh menghalang dari percaya. Percaya adalah hak individu. Solution hanya satu: Nothing Last Forever.
Baru-baru ini apabila berlaku kejadian histeria di Sekolah Menengah Tanjung Lumpur, pihak media cuba mengaitkan dengan misteri dan rasukan. Andaian itu dibuat sesudah menginterview pekerja perempuan Indonesia di rumah kongsi sebelah sekolah tersebut. Sememangnya, selayaknya, pekerja perempuan Indonesia itu mengaitkan dengan misteri kerana mungkin dia peminat cerita seram dan tahyul. Bukankah banyak cerita-cerita seumpamanya dari Indonesia, selain Korea. Bahkan cerita hantu yang pertama sekali saya tonton adalah filem Indonesia, “Beranak Dalam Kubur.” Pelakonnya kalau tak silap ialah Mieki Widjaya, Poula Romokoy. Panggungnya, Capitol Klang, tempat yang sama saya menonton Bobby, Saturday Night Fever, Grease, ABBA The Movie, Battlestar Galactica. Panggung itu sekarang sudah arwah. Sama dengan panggung Capitol Banting.
Saya percaya tak ada manusia yang penakut di Malaysia ini. Filem seram sangat diminati. Cerita-cerita seram sangat digemari. Kalau ada “Rumah hantu” pada karnival misalnya, lihat, begitu panjang barisannya. Kalau takut takkan meminati. Suatu masa dulu buku bersiri, “Siri Bercakap Dengan Jin” adalah antara buru yang terlaris di Malaysia. Jadi, ramai yang meminati “seram” dan membuktikan tidak takut. Tak percaya? Tulislah satu cerita seram (atau tak berapa seram), pasti akan laris.
Sesungguhnya, kata-kata menggambarkan keperibadian atau pekerjaan atau kisah lampau seseorang. Sebagai contohnya: baru-baru ini, semasa menghadiri pengebumian tokoh wartawan dan pejuang, A. Samad Ismail, sebelum saya duduk bersebelahan dengan A. Samad Said, ada seorang yang tiba-tiba menyampuk, “Semuanya kerana Cina.” Saya sedang bercerita dengan penggali kubur tentang kubur baru yang tidak boleh digunakan lagi. Kubur tersebut bersebelahan dengan dua buah apartment. Tidak tahu, sama ada persatuan penduduk apartment tersebut atau pemaju telah membuat injunksi mahkamah menghalang penggunan kubur tersebut atas berbagai alasan termasuk “takut, jatuh harga tanah, dan sebagainya.”
Jangan diperbodohkan. Jangan tak tahu membezakan antara injunksi dengan saman. Penggali kubur pun tahu injunksi itu adalah perintah larangan, bukan saman. Dan perintah itu boleh diketepikan. Injunksi ada 2 iaitu ex-parte (tanpa kehadiran) dan inter parte (pun tanpa kehadiran boleh juga dilaksanakan). Dan jangan sekali-kali lupa, injunksi itu boleh dijadikan bahan penting jikalau hendak menyaman balas, jika hendak membalas. Bukan mengetepikan injunksi tetapi digunakan untuk, “Apa yang di’injunksi’kan?” Itulah perlunya tahu agar tidak dipedaya dengan peguam. Maklum saja, bukan senang hendak mencari peguam yang beretika.
Berbalik kepada kisah bantahan tanah perkuburan di bawah JAWI itu. Maaf, saya tak pasti JAWI atau DBKL. Orang di sebelah saya menyampuk, “Semuanya kerana Cina.” Saya membalas, “Encik ini kata, yang Melayu pun ramai yang turut membantah.” Saya merujuk kepada cerita penggali kubur tersebut. Kemudian cerita berkisar tentang Parti Komunis Malaya. Bukankah ‘branding’ British bahawa Parti Komunis Malaya itu jahat kerana ia penentang British dan salah satu dari 13 parti yang menuntut kemerdekaan? “Semuanya kerana Cina” kata orang tadi. “Tapi, dalam PKM pun ramai Melayu.” Akhirnya saya bangkit dan meninggalkan manusia yang anti sangat dengan Cina itu. Tak tahu mengapa dia anti dengan Cina tetapi tidak anti dengan penjajah seperti Portugis, Belanda, Siam, British, Jepun. Tapi dari mulut orang itu saya mendapat tahu bahawa nama asal Bangsar ialah, “Sungai Putih”. Benar atau tidak tidaklah saya tahu.
Itulah yang saya maksudkan, “kata-kata menggambarkan keperibadian atau pekerjaan atau kisah lampau seseorang.”
Mudahnya begini: apabila terlihat peristiwa histeria maka setiap orang yang memandangnya mempunyai persepsi sendiri. Jika yang melihatnya ialah bomoh, pasti akan dikaitkan dengan rasukan, tahyul dan sebagainya. Seandainya yang melihat ialah ahli psikologi, maka ia akan dilihat dari sudut psikologi. Seandainya yang melihat ialah “pakar motivasi” ia akan dikaitkan dengan berfikir positif.
Jadi, kerana itu histeria dikaitkan dengan berbagai-bagai sudut. Namun yang paling banyak dan besar ialah kaitannya dengan hantu, rasukan, seram, bomoh, misteri. Mengapa tidak dilihat dari sudut lain selain dari hantu? Mengapa dirujuk kepada bomoh?
Tahun 70-an, saya rasa sekolah pertama yang mengalami histeria adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Datok, Banting. Saya menyaksikannya di depan mata. Bahkan tujuan saya ke sekolah selama sebulan adalah untuk melihat histeria yang misteri itu, bukan untuk belajar. Ada semacam “thrill”. Ia terjadi lingkungan 2 bulan. Selepas itu jarang berlaku dan akhirnya lenyap. Seronok rasanya melihat peristiwa budak perempuan (termasuk dua orang budak perempuan satu kelas), meraung, menjerit dan berlari-lari dikejar-kejar.
Yang pasti, hanya budak perempuan yang terkena histeria. Kalau ada budak lelaki yang terkena, ia mengarut atau mungkin bukan lelaki sebenar. Sejak dari 70-an hingga baru-baru ini hanya perempuan yang terkena histeria. Itulah pokok persoalannya histeria sebenar, yang saya rasa tidak ada kaitan dengan hantu dan sebagainya. Kalau betul dirasuk hantu, solution yang paling mujarab bukan panggil bomoh tapi jemput ibu bapa dan anak murid sekali solat hajat beramai-ramai dan baca yassin beramai-ramai selama termampu. Kalau mampu 7 malam, kalau tak mampu 3 malam. Inilah yang paling mujarab. Bukan terpedaya dengan bomoh penipu.
Persoalan seterusnya memgapa ia pilih-pilih sekolah. Tak semua sekolah kena begitu. Misalnya, SMK Telok Datok bersebelahan dengan SMK Sultan Abd Samad tetapi mengapa hanya SMK Telok Datok sahaja yang terkena. Bagaimana pula dengan Methodist English School di depan sana?
Persoalan seterusnya ialah, mengapa hanya murid Melayu sahaja yang terkena histeria?
Persoalan seterusnya ialah, mengapa mesti terjadi sebelum waktu rehat?
Persoalan seterusnya mengapa hanya menimpa murid perempuan yang sentimental sahaja, walaupun yang aktif pun boleh terkena tetapi yang ramai adalah yang sentimental.
Persoalan seterusnya adalah, mengapa hanya yang ‘regular’ sahaja. Maknanya, orang yang sama akan terkena. Walaupun yang terkena itu diarahkan bercuti, nanti apabila datang ke sekolah semula akan terkena kembali.
Bagaimana ia terjadi? Saya akan ceritakan berdasarkan ingatan masa lalu. Mula-mula satu jeritan sekuat-kuatnya akan terdengar dari murid perempuan di blok bangunan sana. Selepas itu, bersahutan dengan jeritan dan laungan yang sama rentak. Dalam masa beberapa saat selepas itu, menjeritlah pelajar perempuan bernama Latifah di sebelah saya. Dia menjerit dan menggelupur di lantai. Kurang dari seminit, seorang lagi pelajar perempuan bernama Hanifah yang duduk di depan saya menjerit sekuat-kuatnya dan berlari keluar. Keadaan menjadi tak tentu arah. Jeritan demi jeritan bersahut-sahutan. Tak lama kemudian kelihatan kejar mengejar. Murid yang histeria menjerit sambil berlari-lari keliling sekolah dan dikejar oleh guru dan murid perempuan lain (biasanya pengawas). Murid lelaki dilarang mengejar, sebab nanti jadi isu.
Keadaan berlaku dalam lingkungan 1 hingga 2 jam. Selepas itu reda. Murid yang terkena histeria biasanya direhatkan di bilik guru.
Esok, peristiwa yang sama akan terjadi lagi. Akan ada jeritan, menggelupur dan kejar-mengejar.
Sebagaimana biasa mentaliti orang Melayu, fokus adalah kepada bomoh. Seingat saya, 5 orang bomoh telah dipanggil untuk ‘merawat’. Namum kelima-limanya kecundang. Histeria tetap terjadi.
Kemudian kejadian itu reda selama beberapa minggu. Selepas itu terjadi semula tetapi semakin kurang bilangannya. Kejadiannya pun singkat sahaja. Selepas itu, selang beberapa bulan, sepi dan lenyap.
Saya bertanya kepada Latifah. Apa yang dirasai sebelum terjadi. Latifah mengatakan dia tidak ingat apa-apa. Tiba-tiba sahaja menjerit. Begitu juga dengan Hanifah. Sama saja. Apabila terdengar jeritan, tiba-tiba sahaja dia menjerit. Tanpa diduga, tanpa dirancang.
Tidak lama kemudian, Latifah dan Hanifah dihantar ke Kuala Lumpur. Hanifah menceritakan, dia di bawa ke hodpital untuk kajian. “Wayar-wayar disambung ke kepala dan disambung ke meter.” Kata Hanifah. Saya pun tak berapa faham apa maksud dia. Tapi saya rasa ada kaitan dengan gelombang otak.
Ini pendapat saya sendiri dan ia tidak semestinya betul. Jadi jangan pertikai kerana ia pendapat saya sendiri. Histeria ada kaitan dengan gelombang otak. Secara psikologi perempuan lebih lemah dari segi emosi. Perempuan lebih depress, stress. Pernah mendengar gila meroyan pada lelaki? Gila meroyan ini ada kaitan dengan emosi dan terjadi selepas melahirkan anak.
Kata Sidney Sheldon dalam buku Doomsday Conspiracy,”Kata-kata dan pemikiran tidak hilang. Ia kekal di dunia ini.” Maksudnya, apa saja yang kita perkatakan, suara, pemikiran, kata-kata akan kekal terapung-apung dan akan ditangkap oleh gelombang otak yang lain. Memang agak rumit dan tidak masuk akal.
Untuk memudahkan: gelombang (wave) otak akan terus berlegar dan hinggap pada mereka yang mempunyai atau selairan dengan gelombang otak tersebut. Histeria sebagai contoh. Apabila seorang menjerit dan jeritan itu telah ditangkap oleh pelajar yang sama gelombang otak dengan pelajar yang menjerit, lalu sama-sama menjerit dan terjadi histeria. Buktinya, mengapa tidak semua pelajar perempuan ‘menangkap’ gelombang dan seluruh pelajar menjerit, menggelupur dan berlari-lari. Hanya yang sama gelombang sahaja yang akan menangkap dan melakukan perkara yang sama.
Itu teorinya. Penyelesaiannya: Asingkan pelajar yang selalu terkena histeria itu. Cutikan selama beberapa minggu. Kemudian, jangan datangkan serentak sebaliknya, satu demi satu. Berhenti dari menggunakan khidmat bomoh. Teruskan solat hajat, doa dan bacaan al-Quran. Ingat, “Nothing Last Forever.”