Razzi Armansur

Harta yang merisaukan sejak dalam rahim

Petang Selasa, hampir Maghrib, anak sulung saya terlibat dalam kemalangan ketika bermotor dengan rakan-rakan seperjuangannya. Lokasi, tidak jauh dari Jembatan Pencala Link. Baru balik dari The Curve, melalui Pencala Link dan menuju ke stesen minyak untuk mengisi minyak. Skuternya melanggar kereta yang baru keluar dari rumah. Kedua-duanya dipandu perlahan. Muka anak sulung saya tersembab di jalan raya. Walaupun dengan bantuan halmet dan visor halmet, kecederaan muka pun masih lagi agak parah. Hidungnya yang mewarisi hidung emaknya disyakki patah, gigi depan terperosok ke dalam, bibirnya pecah dan wajah kacukan JARAB (Jawa + Arab) telah mengalami luka yang banyak. Anggota badan lain pun banyak yang mengalami luka.

(photo)
Si sulung Edika Armansur dan si bongsu Ezika Armansur yang tidak habis-habis bergurau dan bersama walau ke mana.

(photo)
Rakan seperjuangannya sejak dari Tadika, Ahmar yang membonceng mengalami kecederaan pada kaki dan terseliuh.

Menggigil saya apabila melihat anak saya itu. Oleh kerana dia terlalu manja dengan saya, menangis meminta maaf dari saya di atas jalan raya dan di klinik. Mungkin dia sedar kemalangan itu bersebab dari satu dua perkara, tingkahnya yang menyinggung hati saya. Tapi saya mengatakan, itu adalah takdir. Orang tua, jikalau ada perangai anak yang tidak berkenan tidak mungkin menyumpah sebaliknya menasihati dan memarahi. Dan sudah tentu mendoakan. Jikalau bukan jenis kaki marah, simpan dalam hati.

Apa yang agak pelik, network mereka ini begitu kukuh sejak dari sekolah menengah. Dalam masa yang singkat, ramai rakan-rakan seperjuangan jauh dan dekat, rakan satu kolej datang membantu, mengiringi ke klinik dan ke hospital.

Di klinik, seorang bapa bertanya saya, “Berapa umur anak?” Saya menjawab, “18.” “Belajar di mana?” “Kolej Pengurusan.” Saya menjawab sambil melihat sayu wajah anak sulung saya itu.

Kami bercakap di kaki lima klinik. Puan yang memandu kereta telah bertanggung jawab menghantar anak saya ke klinik dan hospital, walaupun ia adalah takdir, turut sama dalam perbincangan ringkas. Beliau merasakan, beliau bertanggung jawab.

Orang yang bertanya umur anak saya itu menyambung, “Bila saya lihat anak kamu, teringat anak saya. Baya anak kamu itulah.” Seakan ada airmata di matanya. “Apa saja yang dia nak telah saya tunaikan. Kerana itukah? Kerana terlalu menurutkan anak?”

“Kenapa dengan anak Encik?” Saya bertanya. Puan yang di sebelah pun menunggu jawapan.

“Anak saya itu straight A student. Orang lain berebut nak hantar anak ke Alam Shah, syukur anak saya dapat masuk Alam Shah. SPM dapat cemerlang. Orang lain berebut nak ambil medik di UM, dia dapat masuk, pra-medik atau PASUM. Tapi, tahun pertama saja dia dah gagal dan tidak mahu lagi meneruskan pelajaran.”

Orang itu menyambung lagi, “Saya tanya, apa sebenarnya berlaku? Dia, anak saya itu menjawab, sememangnya dia sengaja buat. Dia tak nak belajar, dia seperti nak balas dendam kepada saya. Dia tak nak belajar, tak nak jadi doktor. Sebelum ini semua yang dia lakukan adalah untuk menyukakan hati saya.”

Saya menggeleng kepala.

Puan menyampuk, “Anak saya yang sulung pun begitu. Tahun pertama tak nak lagi belajar. Tak tahulah, apa yang dia nak.”

“Pada pendapat Puan apa puncanya?” Saya bertanya.

“Tak tahu. Saya rasa suasana. Suasana sekeliling makin pelik.” Puan menjawab.

“Sekarang ini anak Encik buat apa?”

“Dari pagi ke malam mengadap komputer. Sambil itu tengok iklan kolej swasta. Tak ke pelik, berebut yang nak masuk medik, dia menolak dan mencari kolej swasta?”

“Saya rasa dia kemaruk MySpace, Friendster agaknya.” Kata saya sambil teringat bagaimana anak saya pernah seperti terkena gam gajah Friendster dan Myspace. Lebih kurang sama seperti saya terkena gam gajah mIRC tahun-tahun 1999 hingga 2003. Malam sampai pukul 3 pagi chatting, esok pagi selepas subuh sambung balik. Tahun 2003 hingga tahun 2006 ketagih portal komuniti dan YM. Nak kata apa, kita hanya mengulang sejarah.

“Facebook pun,” Puan tadi menyebut. Maknanya pengetahuan Puan tersebut tentang social network seperti Facebook, Twitter, Digg memang tinggi.

“Facebook untuk orang tua” Saya tersenyum.

“Orang muda pun ramai.” Kata Puan.

Begitulah yang saya maksudkan. Anak adalah harta yang paling berharga. Apabila bertemu seseorang akan ditanya, “Anak berapa?” Bukan, “Duit berapa?” atau “Isteri berapa?” Tetapi secara jujur, pernahkah kita sebagai ibu bapa berasa tenang apabila mengingatkan anak? Pernah kita hilang kerisauan walau sehari apabila memikirkan tentang anak. Siapa yang panik? Anda atau anak anda apabila anak terlibat dalam kemalangan, berdarah meleleh dari mulut?

Sejak dari sebelum lahir lagi kita sudah berasa risau dengan anak kita yang masih dalam rahim. Pada hari melahirkan anak, berapa orang di antara kita yang boleh tenang? Ketika masih bayi, sepanjang masa risaukan kesihatannya. Masuk zaman kanak-kanak risau kita apabila anak-anak main agak jauh dari kita dan hilang dari pandangan mata walau hanya 2, 3 minit. Adakah anda tenang apabila bersama anak yang masih liar dan lasak apabila berada di kompleks membeli-belah? Masuk zaman Tadika, kita risau. Bagaimana pergaulan, keselamatan, makan minum di Tadika memang merisaukan. Masuk zaman sekolah rendah, pun risaukan pelajaran, pergaulan. Mendengar berita bagaimana anak sekolah rendah kena culik di sekolah, murid keracunan makanan, murid kena gilis kenderaan di depan sekolah, bas sekolah kemalangan, anak memikul beg berat memanjat tangga sekolah sampai ke tingkat tiga, makinlah kerisauan bertambah-tambah.

Masuk sekolah menengah, berganda kerisauan mengenangkan pergaulan dan pelajarannya. Bimbang sangat dengan pengaruh sekitar, buli, gengstarism. Jangan kata sekolah menengah, bahkan perkara seumpamanya amat meluas di sekolah agama.

Masuk ke kolej atau universiti makin berganda kerisauan kita. Bagaimana dengan pelajarannya, bagaimana dengan pergaulannya, kawan-kawannya, pengaruh sekitar?

Kemudian, masuk alam pekerjaan pun kita risau. Takut kena buli dan mangsa politik pejabat, silap masuk kem. Bimbang akan pergaulan selepas kerja.

Masuk alam rumahtangga, pun kita terus risau. Risaukan rumahtangganya. Sudah pasti kerisauan itu bersambung apabila kita memperoleh cucu. Sama kita risaukan anak kita semasa masih kecil dulu. Dalam 10 orang yang saya tanya, jawapannya hampir sama, “Mana lebih sayang? Sayang anak atau sayang cucu?” “Jawapannya cucu.

Bilakah akan berhenti kerisauan itu? Apabila kita telah berada di alam barzah. Tapi benarkah kita tidak ada kaitan lagi dengan anak-anak kita apabila berada di dalam barzah? Bagaimana dengan “Doa anak yang soleh?” Bagaimana mereka boleh menjadi soleh jikalau kita tidak mendidiknya menjadi anak yang soleh sekarang ini? Seseorang pernah berkata kepada saya, “Jangan tinggalkan keluarga dalam keadaan miskin apatah lagi banyak hutang. Kalau mereka miskin, mereka akan bekerja siang dan malam mencari duit sampaikan tak ada masa hendak mendoakan kita.”

Begitulah fitrahnya alam ini. Setiap sesuatu yang berharga memang tinggi harga yang perlu dibayar. Anak adalah harta yang amat berharga. Itulah harga yang perlu kita ‘bayar’ untuk memiliki harta yang amat berharga. Itulah juga gambaran sebenar kekuasaan Allah — kerisauan itu adalah tanda sayangnya kita pada anak-anak. Mudah sekali: orang yang tidak risaukan anak-anak, memang tidak sayang anak-anak.

Begitulah juga caranya Allah mendidik kita sepaya menilai betapa amat besarnya kasih sayang ibu bapa kepada kita. Apa yang kita rasai hari ini telah dirasai oleh ibu bapa kita dahulu. Dan sudah pasti apa yang kita rasai kini, akan dirasai oleh anak-anak kita juga. Ia berterusan, bersambung.

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.