Apabila Rasulullah menyampaikan khutbah terakhir, Saidina Abu Bakar berasa amat sedih hingga mengalirkan airmata. Beliau sedih mendengar bila Rasulllah menyebut bahawa agama Islam telah sempurna dan lengkap.
Kata Saidina Abu Bakar, “Akan kelihatanlah cacat celanya bila sesuatu itu telah sempurna.” Atau maksud lain, akan dicari cacat celanya, kekurangannya bila sesuatu itu telah sempurna. Bukankah itu sikap semula jadi manusia?
(ini ialah riwayat, mungkin betul atau tidak betul).
Sempurna di sini, maksudnya ialah bila mengamalkan kedua-dua keperluan dan kepentingan orang Islam iaitu Al-Quran dan Hadis. Bukan sekadar tahu, dibaca dan dihafaz bahkan semestinya diamalkan kandungannya. Itu maksud sempurna dalam Islam.
Selanjutnya, semestinya Islam yang disampaikan oleh Rasulullah SAW, bukan Islam Hadhari. Suatu hari nanti kita akan berada di dalam tanah, disoal oleh Malaikat Nungkar dan Nangkir. Salah satu soalan (yang bocor) ialah, “Apa agamamu?” Apa jawapannya? Nak jawab “Islam agamaku” atau “Islam Hadhari agamaku”?
Sikap semulajadi manusia telah disebut oleh Saidina Abu Bakar itu. Di depan kita ada sesuatu yang elok, amat menarik, sah, wajib, pasti kita akan mula mencari kekurangannya. Setuju? Sepanjang masa kita mengamalkan begitu. Yang peliknya, bila ada sesuatu yang buruk atau cacat di depan kita, tidak pula kita mencari kebaikan dan kelebihannya. Setuju?
Bagaimana mengatasinya? Betulkan persepsi kita — tidak adil jika kita hanya mencari kekurangan dan cacat cela pada sesuatu yang telah sempurna tetapi tidak mencari kelebihan dan kebaikan pada sesuatu yang cacat atau buruk.
Cerita baldi bocor ini boleh dijadikan teladan:
Setiap pagi tukang kebun akan mengandar air dari sungai dengan menggunakan dua baldi disangkutkan pada kayu yang dipikul pada bahu. Salah satu baldi tersebut bocor dan tukang kebun tersebut asyik terlupa hendak menampalnya.
Setiap pagi juga menggunakan arah yang sama mengandar baldi dari sungai berhampiran. Juga, setiap pagi dia akan mengandar mengikut kebiasaan — baldi yang bocor di sebelah kiri.
Suatu hari, beberapa bulan kemudian, tukang kebun itu berasa agak pelik kerana pokok-pokok bunga di sebelah kiri jalan yang dilalui setiap pagi lebih subur dari pokok-pokok di sebelah kanan. Setelah lama memikirkan, barulah tukang kebun itu mendapat jawapan dari kemusykilannya — baldi di sebelah kiri bocor dan tanpa disedari telah menyirami pokok-pokok bunga di sebelah kiri jalan. Itulah sebabnya pokok-pokok tersebut subur kerana disirami air setiap pagi.
Dalam keburukan, kecacatan, pasti ada kelebihan. Namun sebagai manusia biasa, kita tidak nampak kerana persepsi dan amalan kita ialah mencari kekurangan pada kelebihan, bukan sebaliknya.
Sebagai tambahan, kadang-kadang juga, mencari-cari kekurangan pada kelebihan amat merugikan. Cerita di bawah ini adalah boleh dijadikan teladan. Cerita ini saya tulis bersama Dr Azman Ching untuk buku Khazanah Inspirasi:
Dalam sebuah negara, seorang raja mencari menantu lelaki yang paling berani. Tak kira sama ada keturunan raja atau rakyat biasa asalkan berani.
Untuk menguji keberanian, seseorang mesti sanggup terjun ke dalam kolam buaya ganas dan mestilah berjaya keluar dari kolam yang dalam itu dengan selamat.
Maka berkumpullah rakyat jelata dan anak-anak raja untuk mencuba nasib. Setelah lebih sejam menunggu tidak ada seorang pun yang sanggup terjun ke dalam kolam yang dipenuhi buaya ganas dan lapar itu.
Tak lama kemudian terdengar ‘plummmm!!” — bunyi manusia jatuh ke dalam kolam. Rupa-rupanya ada yang berani terjun. Sesudah bersusah payah, akhirnya lelaki yang terjun itu berjaya keluar dari kolam dengan selamat. Raja terus mengumumkan bahawa dialah menantu pilihan yang dicari-cari selama ini dan bakal dilantik menjadi Raja Muda.
Lelaki tadi tak puas hati, sambil menggenggam penumbuk, dia mencari-cari, “Siapa tolak aku tadi? Siapa tolak aku tadi?”
Bila sudah memperolehi kebaikan, janganlah dicari-cari keburukan. Untuk apa? Selalunya untuk mempertikaikan. Perlukah mempertikaikan itu? Apa faedah besar dan kecil dari mempertikaikan itu?
Pada suatu hari seorang sahabat mengadu yang dia mempunyai rasa rendah diri keterlaluan dan berasa takut untuk berurusan. Saya cuba mengajar sebahagian kecil teknik NLP untuk mengatasinya. Bukan saya pandai, tapi menyampaikan apa yang saya tahu sahaja.
Langkah pertama saya mengesyorkan supaya membaca selawat sebelum berurusan dan menemui orang yang menyebabkan dia rendah diri dan takut.
Bahkan sebelum itu saya beri amaran, takut dengan manusia, silap-silap terpesong niat boleh menjadikan syirik. Memang agak pelik manusia di muka bumi ini — tidak hairan, tidak rendah diri dan tidak takut dengan Allah SWT tetapi takut dan rendah diri dengan hamba Allah. Pada tuan tidak takut tapi takut pada hamba. Tuan atau hamba yang berkuasa sebenarnya? Pelik? Memang pelik dan itulah didikan yang kita terima sejak sekian lama, sebati dengan hidup kita.
Selawat adalah ringkas dan amat besar faedahnya. Sedangkan Allah dan para Malaikat berselawat ke atas Rasulullah SAW, mengapa kita manusia berat dan enggan berselawat?
Selawat menambahkan 10 kebaikan dan mengurangkan 10 keburukan, itu secara ringkasnya. Kalau macam saya ini, perlu berjuta-juta selawat untuk mengurangkan keburukan di dalam diri saya ini.
Jadi, dengan 10 selawat, sahabat kita tadi akan menjadi bertambah yakin dan berani (kebaikan) dan berkuranglah takut dan rendah diri (kekurangan).
Formula mudah: tak percaya, tak optimis = tak menjadi. Setuju?
Mudah? Memang sangat mudah, cuma selalunya yang berkaitan dengan Islam, Allah, Rasulullah, ramai yang tidak percaya dan tidak optimis. Memang itu didikan kita sejak dahulu di bumi Malaysia ini. Yang berkaitan dengan Islam mesti dihindari kerana Islam itu daif, ekstrim, pengganas. Itu didikan dan branding yang kita terima, bukan dari kafir, tetapi dari orang Islam yang anti-Islam. Bilangan manusia ini memang ramai dan lebih bahaya dari kafir. Tidak keterlaluan kalau dikatakan, hari ini, yang memusuhi Islam bukan kafir kerana tugas mereka telah diambilalih oleh orang yang dilahirkan sebagai Islam dan pernah mengucap dua kalimah syahadah. Adakah mereka berjaya? Sangat berjaya! Contoh mudah: kita segan atau takut hendak menyebut ALLAH. Bukan takut Allah tetapi takut dicop sebagai Islam yang ekstrim. Menyebut Allah dicop ekstrim dan jumud, begitu ‘branding’ yang telah dan sedang dibina. Sebab itu dengan lancar sebutan Allah diganti dengan TUHAN supaya nampak global, universal dan sesuai. Jadi, sebutan ALLAH itu tidak global, tidak universal dan tidak sesuai? Tuhan itu umum. Di Batu Caves pun ada Tuhan. Tuhan kita khusus iaitu ALLAH.
Berbalik kepada sahabat tadi. Saya memberitahu tentang sebahagian kecil teknik NLP. Pejam mata sekejap, dengan segera gambarkan orang yang bakal ditemui itu mengecut dan menjadi kecil, katek, berada di bawah kita. Prosesnya lebih kurang 1 saat. Buat 5 — 10 kali (5 — 10 saat). Buka mata dan temui orang yang hendak ditemui itu. Dengan kuasa Allah, hilang rasa rendah diri dan takut-takut. Mudah? Memang amat mudah.
Bagaimana kalau belum pernah bertemu dengan orang yang hendak ditemui? Anda boleh membayangkan atau dengan mudah membayangkan tempat pertemuan, kemudian bayangkan orang tersebut bersama tempat tersebut mengecut dan menjadi kecil di hadapan kita. Mudah? sangat mudah.
Kalau rasa rendah diri dan takut-takut berurusan dengan orang yang di dalam bangunan, bayangkan bangunan tersebut mengecut dan menjadi kecil di bawah kita. Dengan kuasa Allah, kita menjadi lebih yakin berurusan.
Jadi, sahabat tadi pun melaksanakannya kemudian memberitahu hasilnya. Menurutnya — hasilnya amat mujarab. Serta-merta menjadi yakin dan berani.
Kerana mengetahui kehebatan hasilnya dia pun mengajar orang lain. Tahu bagaimana orang lain itu mempertikai? Atau mencari-cari keburukan sesudah menemui kebaikan. Begini cara mempertikai: “Habis sepanjang masa kena tutup mata lah? Setiap kali nak berurusan kena tutup mata?” Biasa anda dipertikaikan begitu? Jangan sesekali ambil pusing kerana manusia yang mencari keburukan di sebalik kebaikan memang merata-rata ada.
Bagi saya, dia tidak gunakan akal. Tutup mata dan bayangkan itu hanya 10 saat sahaja. Kedua, ia bukan dilakukan di khalayak ramai — lakukan di rumah. Ketiga, bila sudah biasa, tak perlu lagi tutup mata dan membayangkan kerana rasa rendah diri sudah tidak ada lagi. Keempat, bila sudah biasa, dengan mudah boleh membayangkan tanpa perlu menutup mata.
Kesimpulannya, manusia memang suka mempertikai dan mencari keburukan di sebalik kebaikan. Sikap semulajadi manusia. Hanya jika kita mengubah persepsi ini, barulah kita pandai menghargai, bukan mempertikai.
Bagaimana mengubahnya? Mudah saja. Kita berada di pihak yag memberi. Apa perasaan anda bila memberi hadiah pada seseorang, orang itu pula mula mencari-cari kekurangan dan keburukan?