Razzi Armansur

Judi Halal?

Cuma masalah bahasa yang perlu diberi perhatian oleh DPB (Dewan Perosak Bahasa). Pelik memang pelik dengan peranan DPB. Patutlah makin tidak ada yang menghormati DPB dan bahasa Melayu.

DPB ini tak ada kerja lain selain mencipta bahasa-bahasa baru yang pelik dan merosakkan. Contohnya: perkataan “minda” yang berasal dari perkataan “mind”. Sampai sekarang saya tidak faham — minda itu untuk pemikiran atau fikiran? Kenapa tak pernah ada yang menyebut “Mindanya waras” atau “Pemindaannya waras” sebagai menggantikan, “Fikirannya waras” atau “Pemikirannya waras.” Ini DPB yang kena jawab.

Dewan Perosak Bahasa (DPB) juga bertanggung jawab terhadap nama-nama syarikat Sdn Bhd yang pelik-pelik belaka. Pernah melihat nama pelik seperti, “Batasan Gerimis Sdn Bhd”? “Muara Senja Sdn Bhd”? “Jalinan Rimba Sdn Bhd”? Bahasa apa itu? Bahasa apa? Bagaimana kalau kita ajukan kepada DPB. Mungkin ini jawabnya, “Kerajaan memandang serius dan tidak bercadang, akan, akan, akan, bla, bla, bla…”

Siapa yang membenarkan bahasa Melayu dirosakkan? Kita sedang menuju menjadi negara Filipina (negara paling miskin di Asia Tenggara) di mana bahasa Tagalog bercampur dengan bahasa Inggeris. Di Malaysia, Bahasa Melayu bercampur dengan Bahasa Inggeris dalam pertuturan. Di Filipina, Bahasa Inggeris jadikan keutamaan, begitulah juga di Malaysia. Ke mana perginya DPB? Apa yang dibuat oleh DPB selama ini?

Tersebutlah di media, bila ada tangkapan akan disebut, “Sindiket judi haram.” Biasa mendengarnya? “Judi haram”? Saya musykil, bagaimana yang dikatakan “judi halal”? Pernah dengar “Sindiket nombor ekor haram”? Jadi yang mana, “ekor halal”? DPB, tolonglah beritahu saya yang hendak belajar…. Pergi ke supermarket, di tempat jual arak dan daging babi anda akan melihat “Non-Halal”. Betulkah perkataan tersebut? Halal lawannya Haram, bukan Non-Halal. “Kita mestilah menghormati sensitiviti kaum dan agama lain… bla, bla, bla…”

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.