Pada penghujung puasa dan awal Raya 2010, peristiwa besar telah berlaku di Banting, Selangor. Selama lebih kurang seminggu, berita tersebut begitu menggemparkan. Tidak lama selepas itu, sebagaimana biasa, oleh kerana manusia sentiasa sibuk dengan masalah masing-masing, peristiwa itu sudah dilupakan. Hanya beberapa akhbar (termasuk akhbar nyamuk) mensensasikan berita tersebut untuk melariskan akhbar.
Persoalannya — bolehkah laris akhbar tersebut, sedangkan berita di internet lebih pantas dan percuma. Bahana internet juga, akhbar yang sudah berusia 100 tahun, The Malay Mail, terpaksa diberikan percuma (walaupun percuma, masih malas orang nak mengambilnya. Hatta Makcik menjual nasi lemak pun enggan mengambilnya kerana sudah ada kertas khusus untuk membungkus nasi lemak.)
Kalau 10 — 15 tahun dahulu mungkin mereka menangkis dengan mengatakan, “Internet tak boleh percaya.” Zaman-zaman ‘Reformasi’ (1998 — 2000) di mana, itulah permulaan ledakan internet di Malaysia, walaupun Internet bermula di Malaysia pada tahun 1990, sebutan “Internet tidak boleh bercaya” sering berkumandang. Bagi saya mudah saja. Saya bertanya kembali, “Apa itu internet? Pernah guna internet? Kenapa tak boleh percaya?” Tidak ada jawapan. Rupanya hanya sekadar dengar-dengar sahaja.
Kembali kepada berita yang agak menggemparkan itu. Sebenarnya bagi kita berita itu sudah bukan lagi berita yang menggemparkan kerana sudah terbiasa kita mendengar pembunuhan kejam, ada yang dibunuh dengan bom C4, ada yang dikerat-kerat sebanyak 18 kerat, ada yang dirogol kemudian dibakar, kanak-kanak diculik kemudian mayatnya ditemui dalam beg pakaian, dan berbagai-bagai lagi. Pendek kata kita seperti sudah tidak terkejut dengan pembunuhan-pembunuhan kejam kerana sudah kerap mendengar dan melihatnya di media. Sama seperti ‘Pesta Maut’ yang terjadi penghujung Ramadan dan awal bulan Syawal — walau begitu dahsyat kemalangan tersebut, kita seperti sudah tidak hairan dan ambil peduli. Peribahasa lama menyebut, “Alah bisa tegal biasa.” Bahkan boleh dikatakan setiap hari kita melihat dan mendengar dari media, jenayah-jenayah ngeri setiap hari, seperti sudah tidak berkesan di hati kita. Agaknya pihak akhbar dan TV pun semakin bingung — disensasikan cerita-cerita ngeri tersebut, namun jualan akhbar dan rating TV makin menurun.
Ceritanya ialah kisah usahawan kosmestik, Sosilawati dan 3 yang lain, termasuk seorang pemandu (bolehlah dikatakan tidak ada kena-mengena) dibunuh. Mayatnya dibakar dan abunya dicampak ke sungai berhampiran Pantai Morib seperti adat Hindu. Berhampiran Pantai Morib adalah Kampung Endah. Tempat pembunuhan itu terjadi antara Kampung Endah dengan Batu Laut — Ladang Gadong.
Tidak tahulah mengapa perkataan ‘Jutawan kosmetik’ sentiasa diutamakan oleh media. Sepatutnya ialah ‘Usahawan Kosmetik’.
Di sini, saya tidak akan menceritakan kisah yang telah disiarkan dengan penuh sensasi oleh media sehingga menenggelamkan jenayah-jenayah yang lebih kejam sebelum ini. Apa yang ingin saya ceritakan ialah kisah lain yang ada sedikit kaitan dengan pembunuhan kejam yang ngeri itu.
Kisahnya, pada 30 September, Sosilawati dikatakan telah singgah di Kampung Sungai Lang untuk membeli kerepek. Kisah usahawan kerepek itulah yang akan saya ceritakan kali ini, kerana tiba-tiba sahaja usahawan tersebut menjadi lebih popular sedikit kerana Sosilawati membeli kerepek di tempatnya.
Lokasinya ialah di sempadan Jalan Cempaka, Kancong Darat dengan jalan besar Kg Sungai Lang Baru. Dulu, di tengah-tengah itulah rumah pengusaha atau usahawan kerepek yang kini kaya-raya itu. Cikgu saya, agak pelik namanya, Cikgu Durman, tinggal di lorong itu.
Kalau dulu, setentang dengan muka jalan itu ialah rumah pengusaha tempe. Bagi anak-anak remaja (termasuk aku) perusahaan itu tidak penting tetapi yang utama ialah gadis bernama Salmah, anak pengusaha tempe itu yang menjadi idaman remaja Kampung Sungai Lang (termasuk aku), kerana kecantikannya. Pada pertengahan tahun 80-an, rumah Salmah terbakar
Berbalik kepada usahawan dan pengusaha kerepek itu. Namanya Mahmudin bin Abas. Adiknya, Rosdi bin Abas adalah rakan sepermainan. Mahmudin sudah 30 tahun mengusahakan perusahan kerepek. Bahkan bolehlah dikatakan dia pemula perusahaan kerepek di kawasan itu. Selepas itu Junaidah Tawil (atau panggilannya — Enju) memulakan perusahaan kerepek dan biskut tradisional. Enju juga rakan sepermainan semasa kecil. Kedua-duanya, Mahmudin dan Enju menjadi kaya-raya dengan perusahaan mereka.
Kekayaan mereka dipercayai bukan diperoleh dari perusahaan kerepek itu. Tetapi perusahaan kerepek itu menjadi pemula, pencetus kekayaan mereka. Kekayaan mereka juga diperoleh berkat ‘mendalam’ — hanya satu usaha sahaja sepanjang hayat mereka, diiringi dengan kesabaran. Dan semestinya perusahaan mereka itu akan diturunkan untuk waris dan keturunan mereka. Itu pengajaran pertama — mesti ada pencetus, pemula perusahaan untuk menjadi kaya. Mesti sabar dan tabah — pengajaran kedua. Sanggup berusaha seumur hidup dengan tabah dan sabar. Pengajaran ketiga pula ialah — mendalam, satu usaha sahaja sepanjang hayat. Dan yang paling utama, seperti sudah setua sejarah — rajin.
Satu usaha sahaja sepanjang hayat sudah mencukupi, kerana hidup ini singkat sekali. Tidak kecukupan masa. Di dalam MLM sebagai contoh, nama-nama besar seperti Tajuin dan Nun, Ramli Abu Bakar, Saadah Badrus dan Wak Anis, Mejar Mohan dan Elizabenth dan beberapa orang lagi, dikatakan sepanjang hayat mengusahakan hanya 1 sahaja usaha — barulah mereka memperoleh kejayaan sebenar, bukan kejayaan yang disertai dengan paluan gong, hikayat dan dongeng. Kejayaan tanpa perlu bergambar menunjukkan ‘thumb up’ di sebelah kereta. Tidakkah mereka berasa malu apabila Syed Mokhtar Al-Bukhary atau Ananda Krishnan atau tauke Kurnia Insurans tidak pernah pun seumur hidup bergambar di sebelah kereta sambil menunjuk tanda ‘thumb up’, walhal mereka itu berjuta-juta kali lebih sukses dan kaya (tanpa paluan gong dan hikayat), berbanding mereka yang bergambar untuk majalah MLM. Benarlah kata peribahasa, “Tong kosong kuat bunyinya.”
Jadi, jikalau ada yang berkata dalam masa yang singkat boleh menjadi kaya, termasuk melalui internet, pastilah akan terpedaya jikalau percaya. Lihat sendiri, berapa tahun yang diambil oleh Bill Gates untuk menjadi jutawan dan bilionwan? Hampir sepanjang hayatnya. Begitu juga dengan Sam Walton, Azman Hashim, Ramly Mokhni dan lain-lain lagi yang kekayaan mereka tidak memerlukan paluan gong, dongeng, hikayat, penglipurlara. Hampir sepanjang hayat Ramly mengusahakan Ramly Burger.
Begitu juga dengan Mahmudin (Atau dipanggil Modin, ikut panggilan Jawa) dan Enju. Hampir sepanjang hayat mereka mengusahakan kerepek dan biskut tradisional tanpa pernah sekali pun melaung-laung, “Jutawan Kerepek.” Mereka dipercayai tidak pernah terlintas untuk menjadi jutawan sebaliknya menjalankan bisnes adalah kerana bisnes semata-mata. Apabila wang atau jutawan yang dikejar di dalam bisnes, tunggulah sahaja tunggang terbalik dan kelam kabut yang akan terhasil, bukan kekayaan. Sebaliknya, tanpa perlu melaung-laung “jutawan” — akhirnya akan memperoleh tahap itu tanpa perlu dikejar-kejar, sebaliknya hanya mengejar kualiti dan berprinsip, “Bisnes adalah bisnes.” Contohnya, Ramly Burger yang sekelumit pun tidak pernah walau sekali melaung-laungkan, “Jutawan Burger” dan meletakkan 2 gelaran pelik di depan nama — Dr. Ayam dan Datuk Palsu, adalah seorang yang kaya raya dan dermawan.
Jangan percaya dengan tahyul bahawa kekayaan boleh diperoleh dalam masa sekelip mata. Akan hanya beroleh tahyul sahaja jikalau percaya dengan tahyul tersebut.
Semasa memulakan usaha tersebut, kira-kira 30 tahun dahulu, Mahmudian menjadi bahan gelak. “Kerepek? Siapalah yang hendak makan kerepek.” Tanpa perlu berfikir di dalam atau di luar kotak, Mahmudin memang memerlukan kotak yang banyak untuk packing bungkusan kerepek kerana semakin hari semakin banyak permintaan, bukan dari Kampung Sungai Lang dan Banting tetapi dari luar. Seingat saya, pelanggan tetap pertama ialah kantin di ITM Shah Alam. Kemudian, Mahmudin menumpukan kepada pembuatan sahaja kerana tidak terlibat lagi dengan pengedaran.
Itulah pencetus kekayaan beliau dan juga pencetus hub makanan ringan, di sekitar Banting, Sungai Lang khususnya. Yang dimaksudkan pencetus itu ialah apabila hasil bisnes kerepek digunakan untuk membeli kebun, sebagaimana adat kaum Jawa membina kekayaan. Mahmudin secara berdikit-dikit membeli kebun kelapa sawit menggunakan hasil keuntungan bisnes kerepek. Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit — jumlah kebun kelapa sawit beliau kini mencecah 50 ekar dan setiap bulan menghasilkan puluhan ribu ringgit. Jikalau beliau membeli secara pinjaman, hasil setiap bulan dari kebun tersebut boleh digunakan untuk membayar balik pinjaman. Tetapi ingat, jikalau anda tidak mempunyai wang, jangan harap akan memperoleh pinjaman bank. Hanya jikalau anda mempunyai wang sahaja anda akan memperoleh pinjaman bank kerana prinsip bank mudah — memberi pinjam apabila anda tidak memerlukan pinjaman tersebut.
Apa yang boleh dipelajari dari Mahmudin dalam membina kekayaan? Yang paling utama ialah niat — jangan sekali-kali berniat untuk menjadi kaya atau jutawan atau apa sahaja yang berkaitan, sebaliknya niat utama ialah, “Bisnes adalah bisnes.” Dan yang paling utama, bisnes adalah untuk generasi akan datang.
Bukan rekaan saya, tetapi telah terbukti di depan mata — orang yang mengusahakan sesuatu kerana mengejar kekayaan atau jutawan atau apa sahaja akhirnya akan berakhir dengan cendawan dan tunggang terbalik. Seperti satu sumpahan. Mengapa kita tidak mahu belajar dari sejarah?
Untuk menggambarkan kekayaan Mahmudin, bahkan idaman hampir kesemua lelaki (termasuk aku) — isterinya 3. Wah, nak beristeri 2 pun tidak kesampaian, tetapi Mahmudin mempunyai 3 isteri. Adil — setiap isteri diberi rumah banglo yang sama reka bentuk dan keluasannya. “Jarang-jarang” maknanya, “jarang-jarang” kita dengar lelaki yang beristeri 3 (Dari filem Nujum Pak Belalang).