Keadaannya sekarang seolah-olah sesiapa pun boleh dipanggil “Ustaz”, diberi gelaran “Ustaz” dan dalama masa yang sama boleh menggelarkan, membahasakan diri sendiri “ustaz”. “Ustaz rasa, perkara ini boleh…”
Syaratnya mudah sahaja. Ikut persepsi ramai. Itu saja. Persepsinya — jikalau berkopiah, berjubah, bela janggut, cakap-cakap pasal agama sikit-sikit, boleh menjenamakan diri sebagai ustaz. Semudah itu.
Untuk lebih ‘mengustazkan’, selain membahasakan diri “Ustaz”, boleh juga menggunakan, “Ana” untuk membahasakan diri dan “Anta” untuk menggantikan ‘kamu’. Mudah sahaja.
Sewenang-wenangnya masyarakat Malaysia boleh meletakkan Datuk, Dr., di depan nama, maka kini, sewenang-wenangnya juga orang boleh meletakkan “Ustaz”. Tujuannya? Supaya dipandang warak, alim (tahu), bahkan untuk melariskan produk.
Kalau ‘ustaz’ berdasarkan uniform — jubah, janggut, kopiah, ana, anta, maka siapa sahaja yang memakai uniform doktor, bolehlah dipanggil ‘Doktor’. Begitu?
Masalahnya di Malaysia ini manusia senang diperdaya. Selagi ada yang boleh diperdaya, selagi itulah makin ramai yang memperdaya. Alangkah pelik dan hairannya, senang-senang percaya seseorang itu adalah ‘Datuk’ ‘Dr.’ ‘Ustaz’ ‘Ustazah’, tanpa menyiasat terlebih dahulu. Yang memperdaya, apatah lagi, semakin ‘rancak’ memperdaya.
Alangkah peliknya, semudah itu digelar dan menggelarkan diri sendiri ustaz. Selain itu:
1. Mengajar agama Islam di sekolah, boleh dipanggil Ustaz. Ini boleh dimaafkan kerana memang agak hampir walaupun tidak tepat.
2. Mengajar Tadika Islam, dipanggil Ustazah. Ini memang mengarut.
3. Belajar jurusan agama di Universiti hanya sampai ijazah, dipanggil Ustaz atau Ustazah.
4. Ada juga bomoh yang membahasakan diri sebagai “Ustaz” dan suka dipanggil “Ustaz.”
5. Boleh baca doa dalam Bahasa Arab dan hafal beberapa ayat Quran, Hadis — tersenyum-senyum dipanggil “Ustaz”.
6. Kerja di jabatan yang ada kaitannya dengan Islam — panggil Ustaz.
7. Siak masjid pun dipanggil Ustaz.
8. Menulis satu dua buku yang ada bau-bau Islam, ada bunyi-bunyi cinta Islamik (kononnya) serta-merta mengisytiharkan atau diisytiharkan sebagai Ustaz.
9. Jadi fasilitator kononnya proram Islamik pun dipanggil Ustaz.
10. Di dalam MLM, lain sikit orangnya, cakap sikit pasal Halal Haram, serta merta dipanggil Ustaz.
11. Sebelum pertengahan tahun 90-an, kalau masuk Arqam secara automatik boleh dipanggil Ustaz dan Ustazah.
Jadi, apa sebenarnya syarat untuk menjadi Ustaz? Jikalau Dr. Medik mengambil masa 7 — 8 tahun untuk belajar perubatan dan kedoktoran, Dr. Falsafah pula perlu melalui Ijazah, Master, PhD, untuk mendapat gelaran Ustaz pula tidak semudah yang disangka. Jikalau di Timur Tengah, hanya yang belajar sehingga PhD sahaja yang layak dipanggil “Ustaz,” jikalau menjadi pensyarah di universiti atau kolej. Jadi, yang jaga unta, yang jual minyak atar, walaupun berjanggut, berserban, tidak boleh dipanggil Ustaz.
Di Malaysia pun sepatutnya begitu kerana Ustaz ini adalah gelaran yang ada kaitan Islam. Bagaimana kalau merujuk hukum muamalat kepada bomoh yang menggelarkan dirinya ‘ustaz’?
Hanya pensyarah yang berkelulusan sekurang-kurangnya Master dalam bidang agama sahaja yang layak dipanggil Ustaz dan Ustazah di Malaysia ini. Apa yang lebih menghairankan, mereka seperti keberatan apabila dipanggil Ustaz. Mungkin keraan faham sangat, bukan kecil tanggung jawab orang yang bergelar ‘Ustaz’.
Maksud bidang agama merangkumi — syariah, usuluddin (usul dan ad’din), fiqh, dan sebagainya. Bagaimana jikalau belajar Bahasa Arab dan Kesusateraan Arab? Sudah pasti tidak layak untuk dipanggil “Ustaz” dan menggelar dirinya “Ustaz”.