Razzi Armansur

Keburukan menanti jikalau tergesa-gesa

Sejak sekian lama orang tua selalu berpesan, “Melakukan sesuatu, jangan tergesa-gesa, buruk padahnya.” Maksudnya, hendaklah mengkaji setiap sudut akan kesan dan akibat tindakan kerana memang pasti, “Setiap tindakan menghasilkan tindak balas.” Itu Hukum Newton. Kata-kata lama kaum Jawa pula, “Alon-alon janji kelakon.” (Perlahan tapi kesampaian).

Walaupun saya tak berapa setuju dengan kata-kata Jawa lama itu tetapi ia banyak kebenarannya. Tak berapa setuju kerana masa kini semakin pantas. Baru sahaja hari Rabu minggu lepas, hari ini sudah Rabu kembali. Kalau buat perlahan-lahan kita akan ditinggalkan masa. Itu sudut lain. Sudut yang lain pula, makna “Alon-alon janji kelakon” adalah berkaitan dengan kesabaran. Kaum Jawa (lama) memang penyabar. Mereka tidak berniat pun menjadi jutawan, bahkan tidak pernah sekelumit pun kedengaran perkataan jutawan, berkat kesabaran akhirnya mereka menjadi jutawan. Bermula dari kebun yang hanya sekangkang kera, tapak rumah, setiap inci keliling rumah digunakan secara maksimum, ditanam sayur-sayuran dan buah-buahan untuk makan sendiri, selebihnya dijual. Dengan berjimat-cermat begitu, mereka membeli satu ekar kebun. Melalui masa, dari seekar menjadi 10 ekar. Seekar nilainya RM100,000. Kalau 10 ekar = RM1,000,000 (dah jutawan) yang menghasilkan kira-kira RM10,000 sebulan, hasil kelapa sawit.

Sebab itulah jikalau anda ke Banting, di sini berkumpulnya kaum Jawa, kebanyakan mereka adalah jutawan. Tetapi yang pasti, sekelumit pun mereka tidak menyebut jutawan kerana memang begitulah sebenarnya — yang jutawan tidak akan sekelumit pun menyebut jutawan. Pernah mendengar perkataan tersebut dari Syed Mukhtar Bukhari? Azman Hashim? Mustapha Kamal? Ananda Krishnan?

Dalam kitab, “Seni Peperangan”, kata-kata Sun Tzu mestilah difahami dengan bersungguh-sungguh kerana setiap hari kita “berperang” — dalam bisnes, politik, kehidupan. Mahu tidak mahu, setuju tidak setuju, kita tetap bersaing (persaingan adalah ibarat peperangan). Kata Sun Tzu, “Kenali kekuatan musuh, kenali kelemahan musuh, kenali kekuatan diri, kenali kelemahan diri, kemenangan adalah pasti.” Semestinya setiap sudut, setiap aspek mesti diteliti. Gunakan “Kalau” — “Kalau dia buat begini, kita buat begini, kalau dia ke sini, kita ke sana, kalau Pelan A tak menjadi, kita buat Pelan B, C, D, sampai Z.”

Maksud lain, jangan tergesa-gesa, kerana jikalau tergesa-gesa banyak perkara penting akan terlepas pandang. Anda tergesa-gesa hendak mengejar sesuatu sehingga terlupa minyak hanya tinggal sedikit, sedangkan minyak itulah yang paling penting untuk menggerakkan kereta.

Kita ke Negeri Perak untuk membuktikan kebenaran kata-kata orang tua, “Jangan tergesa-gesa, buruk padahnya.” Setiap sesuatu mesti diteliti. Tindakan dan tindak balas mesti diteliti.

Krisis Menteri Besar dengan Sultan di Perak telah berlaku semasa Tan Sri Ghazali Jawi (ayah Tajul Rosli, Menteri Besar sebelum PRU12). Bukan hanya sekarang sahaja. Pelik dan amat pelik, tidak ada sepatah pun yang mengatakan Ghazali Jawi menderhaka pada masa itu. Tidak ada laungan memekik, “Taat setia pada Raja hingga ke titisan darah terakhir” (tu diaaa), tidak ada repot polis, tidak ada laporan kepada BPR. Sultan Idris Shah tidak berkenan kepada Ghazali Jawi sebagai Menteri Besar bernazar tidak akan mencukur janggut selagi Ghazali Jawi masih menjadi Menteri Besar.

Mengapa tidak memecat sahaja Ghazali Jawi? Kerana dalam perlembagaan, undang-undang, termaktub, Sultan TIDAK BOLEH memecat Menteri Besar. Sultan BOLEH melantik Menteri Besar tetapi tidak boleh memecat. Kena faham betul-betul. Menteri Besar hanya boleh disingkirkan melalui undi tidak percaya dan Menteri Besar itu sendiri letak jawatan. Habis cerita. Mudah saja.

‘Rampasan kuasa’ di Perak dilakukan secara tergesa-gesa hingga terlupa satu benda yang amat penting sekali iaitu kuasa Speaker DUN. Speaker adalah orang PR. Kuasa Speaker memang besar dalam Dewan. Selalu anda melihat persidangan Parlimen di TV yang tidak adil, dipotong-potong, bab yang mengenakan Pembangkang akan dipanjangkan sepanjang mungkin, Speaker berkuasa menghalau, menggantung Ahli Parlimen. Terkini, tempoh hari Speaker menggantung Gobind Singh Deo (anak Karpal Singh) selama 1 hari. Pernah dulu Ahli Parlimen digantung selama 6 bulan. Itu hak dan kuasa Speaker Dewan. Tidak ada siapa boleh mempertikaikan.

Pada masa speaker menggantung Ahli Parlimen Pembangkang, tidak pernah terjadi Speaker mesti memberi keterangan kepada polis atau dilaporkan kepada BPR. Mengapa? Kerana tak ada kena-mengena dengan dua badan itu. Kuasa Speaker adalah mutlak. Baru-baru ini, apabila Pembangkang membuat usul undi tak percaya terhadap Paklah, usul itu ditolak oleh Speaker Dewan. Mengapa? Kerana dia berhak untuk menolak atau memperkenankannya. Tidak ada pun pihak Pembangkang membuat laporan polis atau BPR, kerana mereka faham undang-undang dan perlembagaan.

Speaker ini tidak boleh dipecat kerana dia hanya boleh diturunkan dari kerusi Speaker melalui undi tak percaya dan meletak jawatan sahaja. Undi tak percaya tak mungkin akan terjadi kerana Speaker tersebut boleh menolak usul undi tak percaya terhadap dirinya.

Itulah hukum, undang-undang dan perlembagaan DUN yang diguna pakai di seluruh negara-negara Komenwel. Yang faham dan tahu hukum, perlembagaan, undang-undang tidak akan mencari publisiti murahan. Yang faham akan menjadikannya peringatan, ingat pesan orang tua, “Banyak buruknya jikalau tergesa-gesa.” Ingat pesan Sun Tzu, “Kenali kekuatan musuh, kenali kekuatan diri sendiri, kenali kelemahan musuh, kenali kelemahan seendiri, kemenangan adalah pasti.”

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.