Razzi Armansur

Malu dengan tokoh Islam!

Pagi ini ke Sekolah Menengah Taman Tun Dr Ismail, urusan pembelian buku sekolah anak bongsu saya yang juga salah seorang pewaris Armansur.com Berhad, Ezika Armansur. Tahun ini masuk ke Tingkatan Satu. Peringkat pra-remaja. Cepatnya masa berlalu. Seperti baru semalam menghantarnya ke Tadika Abim di seberang jalan, hari pertama di sekolah rendah dan kini sudah bersekolah menengah.

Melihat ke senarai buku, di sekolah menengah, ‘rompakan’nya kurang. Tidak perlu beli buku kerja yang mengarut dan tidak digunakan. Berbeza dengan sekolah rendah — kena ‘rompak’ saban tahun. Wajib beli yang tidak perlu dibeli. Pikul ke sekolah setiap hari. Sudahlah menjadi mangsa ‘rompakan’, kena memikul ‘batu-bata’ ke sekolah setiap hari pada usia yang masih muda, memanjat tangga ke tingkat 3 sekolah. Jikalau bertanya kepada guru besar (yang kurang bertanggung jawab), mereka sudah sedia dengan alasan.

Kena ‘rompak’ dan kemudian diri sendiri menjadi mangsa. Senang cerita — yang merompak riang ria, yang dirompak ‘dipenjarakan’. Siapa yang merompak? Anda sendiri tahu siapa yang merompak berjuta-juta ringgit di atas sana. Rajin-rajinlah membaca artikel bermutu di Universitipts.com.

Melihat kelas-kelas di sekolah menengah tersebut, terasa sangat tokoh Islam tidak dihargai. Nama asal tokoh Islam diubah, di’Inggeris’kan. Mungkin malu dan terasa bahang kemunduran jikalau meletakkan nama asal mereka. Ini kerana, ‘branding’ yang dibina oleh Islam dan bukan Islam bahawa Islam itu mundur memang belah berjaya. Hari ini apabila sebut Islam sahaja tergambarlah peperangan, keganasan, kemunduran, kemalasan, maksiat, hiburan, tak perlu solat, penipu, pembelit, mungkir janji. Setuju? Siapa yang ‘branding’kan begitu? Kafir zindik dan kafir harbi amat kurang memainkan peranan. Yang paling besar memainkan peranan adalah orang Islam sendiri. Betapa ramainya orang yang dilahirkan Islam, diserukan azan di telinga, dibacakan surah tertentu di dada, akhirnya apabila telah berkuasa menjadi ‘anti-Islam’.

Ibnu Sina, tokoh yang ternama dalam pelbagai bidang penting, namanya disebut sebagai Avicenna di sebelah Barat yang menyanjung dan mengakui tokoh ternama ini. Tapi mengapa di Malaysia, khususnya di Sekolah Menenngah Taman Tun Dr Ismail itu lebih bangga dan selesa menyebut Avicenna, bukan Ibnu Sina? Mengapa menyebutnya dalam Bahasa Inggeris? Tidak tahukah bahawa Bahasa Inggeris adalah bahasa kemunduran? Tidak tahukah, negara yang paling miskin di Asia Tenggara ini, Filipina, 90% rakyatnya fasih berbahasa Inggeris? Tidak tahukah negara terkaya di dunia ini, Norway, tidak menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi.

Pada pendapat saya, meletakkan Avicenna itu bangga kerana dikaitkan dengan bahasa Inggeris, sebaliknya meletakkan Ibnu Sina itu malu kerana dikaitkan dengan Islam. Setuju?

Begitu juga dengan kelas-kelas lain seperti Rhazes. Mengapa tidak meletakkan Al-Razi (eh nama aku..)? Malu? Patutnya diletakkan nama Ibnu Rushd tetapi mungkin kerana malu diganti dengan Averroes.

Mungkin ada guru atau guru besar yang mengatakan, “Alah… hanya nama saja…” Kalau hanya sekadar nama, kenapa tak letak nama-nama syurga, neraka, atau nama-mana syaitan? Atau jikalau kita mementingkan kononnya ‘modal insan’ mengapa tidak diletak nama-nama sikap mulia seperti Amanah, Jujur, Tekun… Oh… tak boleh, malu sebab tidak berbunyi Inggeris….

Kemudian, kelas utama, nombor satu ialah Einstein. Ini yang paling tidak kena. Mengapa tidak tokoh Islam lebih utama? Mengapa tidak meletakkan Ibnu Sina sebagai nama kelas utama? Malu, tidak universal sebab tidak berbau Inggeris. Jadi, sahlah apabila selalu kita dengar bahawa kita masih dijajah oleh British.

Khabarnya kita ini negara Islam tetapi mengapa malu atau tidak mengutamakan tokoh-tokoh ilmuan Islam? Mungkinkah kerana negara kita adalah negara Islam Hadhari?

Ada satu lawak yang saya peroleh dari forward e-mel: Disoal orang yang baru dibangkitkan di dalam kubur, sampai soalan, “Apa agamamu?” Si mati termenung sebentar mencari jawapan kerana keliru, Islam apakah agamanya. Akhirnya menjawab, “Islam Hadhari.” Dia kemudian disoal kembali, “Kamu dari Malaysia ke?”

Jadi 2 kesilapan di situ. Pertama, tidak meletakkan nama tokoh Islam sebagai utama. Kedua kerana mengasing-asingkan kelas atau meletakkan ‘gred’ pada kelas. Kita harap, mereka yang menyibuk atau mendakwa atau didakwa sebagai “Pakar Motivasi” dapat membuka mata dan membantu membetulkan perkara ini.

Begitu juga yang menyibuk dengan NLP, harap dapat membuka mata dan membantu membetulkan kesilapan ini. NLP adalah cabang ilmu psikologi yang tidak boleh hanya dengar-dengar dan cilok sikit-sikit di sana sini. Nanti ia akan membahayakan diri sendiri dan orang yang mendengar di sekeliling sebagaimana kata Sir Isaac Newton, “Tahu sedikit adalah bahaya.” Kalau hanya tahu sikit-sikit tak payahlah berkokok merosakkan orang yang hendak tahu. Kalau bergambar dengan “burung yang sejenis akan terbang bersama” kemudian kedudukan yang sama dikatakan sebagai ‘modelling’ adalah salah. Mungkin yang paling sangat hampir ialah ‘mirroring’ yang digunakan untuk membina ‘rapport’. Mirroring disengajakan, dilakukan, bukan terjadi secara tidak sengaja, semasa bergambar misalnya.

Apa yang saya maksudkan, sistem ‘gred’ tersebut semakin memundurkan murid tetapi hanya memudahkan cikgu (Nota: hendak mencari cikgu mudah, yang susah adalah mencari pendidik. Nak mencari cikgu yang mengajar menggunakan emosi lagi mudah. Lebih mudah lagi nak mencari cikgu yang beranggapan, “Nak buat sungguh-sungguh pun gaji saya banyak tu saja.” Sehabis amat mudah sekali adalah mencari yang berkata, “Saya ini makan gaji saja.”)

Gred kelas tingkatan satu berdasarkan keputusan UPSR. Saya tak tahu sejak bila pula UPSR sebagai kayu pengukur? Saya juga tak tahu, sejak bila UPSR itu dijadikan pengukur kepandaian?

Mana-mana murid yang kononnya dapat banyak A di dalam UPSR akan memasuki kelas utama tadi. Di situlah kononnya berhimpun murid-murid pandai. Macam telur, ada gred. Yang pandai setempat, yang kurang pandai berdasarkan kurang A akan ke kelas bawah. Sudah tentu ini memudahkan cikgu. Kalau masuk kelas pandai sudah ada ‘mindset’ mengajar begini, begini, begini. Kalau masuk kelas bodoh, kelas corot, sudah ditetapkan setting bagaimana cara mengajarnya.

Sistem tersebut telah diamalkan berpuluh tahun dan menghasilkan hanya satu perkataan iaitu: GAGAL!

Di Dalam NLP tersedia satu teknik yang pernah diamalkan oleh pendidik (bukan cikgu) yang bijak. Sistem tersebut menghasilkan kejayaan cemerlang. Mungkin Guru Besar dan pendidik tersebut tidak tahu apa itu NLP, tetapi telah mengamalkannya. Teknik tersebut adalah teknik ‘modeling’ yang disahkan 1000 kali lebih baik dari sistem gred.

Sistem gred akan hanya menjadi lebih kepada sistem Pusat Serenti yang disahkan gagal. Bagaimana nak menggambarkan kegagalannya? Dari satu Pusat Pemulihan Dadah di Kuala Kubu Baru, kini menjadi beratus-ratus Pusat Serenti.

Apabila penagih dadah bertemu penagih dadah di Pusat Serenti mereka akan bercakap tentang dadah. Fokus kepada dadah, keluar dari Serenti, dadah juga yang dicari. “Burung sejenis akan terbang bersama.”

Sistem ‘modeling’ mesti menggantikan sistem gred jika tidak mahu murid yang tidak dapat banyak A di dalam UPSR terus mundur. Sistem ini amat mudah: Langkah pertama adalah menghapuskan sistem gred dan menghimpukan yang kononnya dapat banyak A setempat, yang kurang A setempat. Mereka akan terus mundur. Dan belum pasti yang banyak A akan terus maju.

Letakkan bersebelahan. Yang pandai diletakkan sebelah yang kurang pandai. Jadi, yang kurang pandai akan ‘modeling’ yang pandai. Sangat mudah! Walaupun mudah namun hasilnya amat menakjubkan. Tak percaya? Anda boleh mencuba sendiri. Ia telah dilaksanakan pada tahun-tahun 70-an, 80-an dahulu dan amat menakjubkan hasilnya.

Namun, semua itu hampir tidak ada gunanya sebagaimana yang saya nasihatkan anak saya, “Di Malaysia, negara Islam Hadhari ini, pelajaran berasaskan lulus peperiksaan. Di negara kafir seperti Amerika, England, Australia, Norway, Jepun, pelajaran adalah berasaskan ilmu dan pelaksanaan ilmu. Di Malaysia, yang penting lulus peperiksaan. Di negara kafir yang penting adalah memperoleh ilmu. Tahu pulak kita marah kalau bangsa kafir maju, kenapa tak menyalahkan sistem sendiri yang mengutamakan lulus peperiksaan sahaja. Jadi, di Malaysia inilah kilang ‘siswa belon’, tak ada isi tapi naik ke atas.”

Mengatasi segalanya adalah sebagaimana yang digambarkan dengan tepat oleh peribahasa Turki, “Ikan membusuk bermula dari kepala.” Kalau kepala di atas sana hanya dipenuhi dengan duit, bolehkah badan dan ekor dipenuhi dengan ilmu? Penyelesaiannya: “Memotong piramid bermula dari atas.”

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.