Razzi Armansur

Kalau begini, saya pun hendak menjadi Ustaz…

Malam tadi, bertemulah dengan sahabat lama, Akhil Hayy. Kali terakhir bertemunya di depan pejabat Inteam di Bandar Sri Damansara, 3 atau 4 bulan lepas. Itupun memang tergesa-gesa. Dulu memang mudah untuk bertemu, berbincang. Tetapi semenjak Akhil Hayy makin popular dan semakin sibuk dari timur ke barat, dari utara ke selatan, hanya menuggu waktu terselit-selit saja dapat bertemu beliau.

Projek penulisan buku kedua dengan beliau pun tertangguh lebih 2 tahun. Judulnya sudah ada, cuma masanya yang tiada. Sebenarnya, menurut Zig Ziglar, “Bukan tidak ada masa tetapi tidak ada arah.” Saya yang tidak ada arah.

Bertemu sahabat lama malam tadi bukanlah dirancang. Bahkan sebenarnya nasib menyebelahi. Selesai ceramah di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah (atau Masjid Sungai Pencala) atau URL untuknya: pencala.com, saya menemui Ustaz Akhil.

Cuma ada sedikit kesilapan apabila Akhil Hayy menyebut tentang Sungai Pencala. Kata beliau, “Di Sungai Pencala ini penduduknya sederhana, tidak kaya dan tidak miskin.” Itu kurang tepat Ustaz. Di sini ada Super Rich, Rich dan Sederhana. Istilah miskin di sini berbeza dengan miskin di luar Sungai Pencala, kerana sesungguhnya tidak ada orang miskin di sini. Hendak menggambarkan betapa kayanya Sungai Pencala — masjid pun ada dua, berdekatan (atau istilahnya ‘sebelah-menyebelah’).

Berbual singkat selepas selesai ceramah, nampaklah wajah Akhil Hayy yang jelas keletihan. Fizikalnya juga semakin slim.

“Ustaz, nampak letih sangat.”

“Memanglah Kang, tak henti ana dari hujung ke hujung negeri.”

“Hari tu jumpa nampak lebih cergas.”

“Jadi, sekarang ni nampak ana ni kurang handsome ke Kang?”

“Heheh… bukan kurang handsome, tapi nampak sangat keletihan.”

(photo)
Akhil Hayy di depan Murano. Mohon jangan salah sangka. Ini permintaan saya. Ini juga bukan bergambar bersama kereta seperti di dalam MLM. Saya yang mendesak Akhil Hayy bergambar. Nombor plate dikaburkan atas permintaan Akhil Hayy.

Semasa hendak balik, nampaklah kereta baru beliau, Murano menggantikan Citra. Sudah tentu ia mengejutkan dan menggembirakan saya kerana peningkatan kehidupan Akhil Hayy. Memang dengarnya, desas-desusnya Akhil Hayy semakin mewah kini. Beliau kini dilmpahi rezeki yang sangat lebat. Bagaimanapun, ia amat sesuai dengan usaha beliau tanpa henti sejak dari tahun 1998.

“Wah… kalau gini saya pun nak jadi Ustaz…”

“Boleh…”

Suatu masa dulu, semasa menginterviu untuk buku “Kaya Sebelum Miskin,” Akhil Hayy bertanya kepada saya, “Mengapa mereka yang dikaitkan dengan dakwah dan Islam, seolah-olah wajib dikaitkan dengan daif?” Saya tak ada jawapan. Saya pun musykil amat, mengapa jikalau misalnya Ustaz memandu Mercedes akan dipandang serong dan lebih dipandang manis jikalau menunggang kapcai atau Proton Saga. Pelik kan? Mengapa mereka yang dikaitkan dengan Islam perlu dikaitkan dengan daif, murah, miskin? Hukum dan fatwa manakah itu?

Mari kita gunakan akal kita: Mengapa kalau artis yang tidak pernah menjurus atau mengajak ke syurga, sebaliknya merintis jalan ke neraka, bayarannya tinggi. Jemputlah artis untuk menyanyi, pasti mereka mengenakan bayaran yang tinggi walaupun sebenarnya tidak ada lagi yang mahu membayar tinggi. Namun artis yang masih perasan diri mereka laku akan mengenakan bayaran yang tinggi. Atau sekurang-kurangnya persepsi orang ramai bahawa artis memang tinggi bayarannya.

Tetapi, alahai, jikalau pendakwah yang mengajak kebaikan, sudah set persepsinya, mesti dibayar murah. Dan ramai yang angkat kening jikalau pendakwah mengenakan bayaran yang tinggi. Pelik benar, mengapa tidak ada yang angkat kening apabila artis mengenakan bayaran yang tinggi?

Akhil Hayy saya rasa sedang ‘rebranding’ pendakwah dan menghapuskan anggapan lapuk, Islam mesti percuma, dikaitkan dengan miskin, daif, selekeh. Saya amat berharap, Akhil Hayy akan menghebahkan mengembalikan makna sebenar “zuhud” yang sering disalah ertikan.

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.